Jun 16, 2010

TUSA IQ-900 Zen

PERINCIKAN keselamatan anda semasa menyelam skuba dengan komputer selam yang boleh diselaras mengikut kategori selaman udara mampat, nitrox dan selam bebas.

Pengeluar produk selam skuba antarabangsa, TUSA, melancarkan IQ-900 Zen, komputer selam lengan yang dilengkapi pelbagai fungsi dengan saiz dan rekaan yang cukup bergaya sebagai jam tangan.

Sebagai komputer yang memahami kehendak selaman rekreasi, Zen dilengkapi fungsi pemantauan selam yang membolehkan pengguna memaksimumkan waktu dasar berdasarkan anggaran kedalaman.

Fungsi hentian kedalaman (deep stop) misalnya membolehkan pemakai menetapkan paras kedalaman yang akan disusuli dengan bunyi amaran jika tidak dipatuhi. Pada penyelarasan asal kilang, fungsi itu diaktifkan secara automatik pada kedalaman 24 meter.


Paparan profil selaman dipermudahkan dengan pengiraan kedalaman, baki waktu selaman (berdasarkan kedalaman anggaran) sebelum memasuki waktu nyahmampat, graf O2, petunjuk lonjakan timbul ke permukaan dan petunjuk paras nitrogen.

Ketepatan komputer selam ini dijana oleh perisian Buhlmann ZHL-16C. Simbol C pada model ini mewakili pengesanan 16 bahagian terhadap kandungan nitrogen di dalam badan penyelam.

Buhlmann merupakan perisian terbaru selepas Haldanean 12C (12 bahagian) yang memberikan pengiraan lebih terperinci dan dinamik sekaligus membenarkan tempoh selaman lebih lama dan selamat.

Walaupun dilengkapi teknologi pengesanan 16 bahagian, pengguna boleh memilih untuk menyelam dengan lebih berwaspada melalui mod konservatif. Pengurangan bahagian pengesanan melalui mod itu sesuai untuk penyelam yang berusia atau mempunyai sistem badan yang perlahan.

IQ-900 Zen juga dilengkapi fungsi gauge untuk pengukuran kumpulan tekanan (pressure group) dan pengiraan altitud yang penting untuk selaman beraltitud tinggi.

Satu daripada keistimewaan berbanding komputer selam lain adalah penukaran bateri CR2430 (3v) yang boleh dilakukan sendiri tanpa menjejaskan jaminan produk. Bagaimanapun untuk penyelenggaraan dan ujian tekanan, ia hanya boleh dilakukan di pusat servis.

Ketahanan bateri bergantung kepada cara dan kekerapan penggunaan, secara kasarnya ia didakwa mampu bertahan sehingga 100 selaman.

Untuk selaman pada waktu gelap, komputer selam ini dilengkapi pencahayaan hijau selama tempoh tertentu mengikut penyelarasan pengguna. IQ-900 Zen didatangkan dengan pelekat perlindungan muka jam yang mempunyai kuasa pembesaran imej.

Selain untuk menyelam, IQ-900 Zen yang berfungsi sebagai jam tangan juga boleh digunakan ketika berenang tanpa rekod selaman dengan mengaktifkan mod basah.

Walaupun tidak didatangkan dalam pelbagai pilihan warna, produk buatan Amerika Syarikat itu dilindungi nombor siri yang diprogramkan di dalam komputer dan boleh dipaparkan untuk pengesahan hak milik.

Komputer selam edaran Trend Master Sdn. Bhd, itu berada di pasaran sejak awal tahun ini dan boleh didapati pada harga RM1,690. Layari http://vimeo.com untuk simulasi maya IQ-900 Zen.

Fungsi selam: udara, nitrox, selam bebas
Fungsi asas : alarm, tarikh, masa, jam-henti, amaran bunyi.
Rekod : maksimum 999 selaman, graf, masa selang, halangan terbang.
Aksesori : kabel penyambungan komputer untuk simpanan data (dijual berasingan).

No comments:

Post a Comment