TERSISIH jauh di sebelah barat Australia, Perth membangun sebagai kota metropolitan yang memiliki keunikan yang cukup tersendiri.
Dipisahkan dengan bentuk muka bumi bergunung dan gurun, bandar terdekat dengan ibu negeri Australia Barat itu adalah Adelaide yang berada sejauh 2,000 kilometer ke sebelah timur.
Seperti destinasi tarikan utama Australia yang lain, Perth menjanjikan kepuasan bercuti di tengah kota yang moden dan menikmati alam semula jadi tanpa perlu mengembara jauh dari bandar.
Metropolitan Perth berada di sepanjang tebingan Sungai Swan iaitu kawasan South West Division yang terletak di antara Laut India dengan kawasan pesisir pantai rendah Darling Range.
Bagi yang mencintai kemeriahan di tengah kota, kota kelahiran bintang filem terkenal seperti Heath Ledger dan penyanyi kumpulan rock AC/DC, Bon Scott itu menawarkan hiburan yang bertali-arus.
Dewan Konsert Perth misalnya menjadi lokasi utama penganjuran teater, opera dan orkestra. Selain itu, pelbagai jenis hiburan juga boleh ditemui di sekitar pusat kebudayaan bandar yang dipenuhi kafe, teater dan restoran. Kota Perth yang mempunyai 1.6 juta penduduk juga dikenali sebagai City of Light kerana kemeriahan bandar yang sentiasa bergemerlapan. Kawasan komersialnya menawarkan kemeriahan cahaya bangunan pencakar langit yang menakjubkan.
Lokasi terbaik untuk melihat atau merakam gambar adalah dari seberang Sungai Swan, di mana pelancong boleh melihat Central Park, bangunan ketujuh tertinggi di dunia. Penginapan di Perth ditawarkan pada kualiti yang sedikit tinggi, namun pilihan tetap disediakan bergantung pada gaya dan bajet. Sama ada hotel butik atau pangsapuri, pilihan terletak di tangan anda.
Dengan jarak pemanduan selama 30 minit dari pusat bandar, pelancong boleh menyelongkar kawasan hutan dan rekreasi pinggir bandar yang dikenali dengan nama King Park. Ia menawarkan peluang terbaik bagi yang ingin melarikan diri seketika daripada kesibukan kota Perth. Di Kings Park, pelancong dapat menyaksikan keindahan alam di sekitar Sungai Swan.
Tidak puas dengan kehijauan alam di sekitar kawasan bandar yang dibangunkan di atas tanah lembap dan paya? Pelawat juga boleh mendapatkan bot persiaran menuju ke dua destinasi utama di Perth iaitu Fremantle dan Pulau Rottnest.
Fremantle di selatan Perth menawarkan persembahan budaya di galeri dan kaki lima yang dipenuhi pemuzik jalanan. Pelancong boleh memilih untuk berhibur secara berkumpulan atau sekadar memerhati secara santai dari kafe dan restoran.
Pulau Rottnest atau Rotto adalah pusat peranginan tengah laut yang cukup popular di Australia. Ia juga dikenali dengan populasi Quokka iaitu spesies kanggaru kecil seperti tupai yang banyak menghuni pulau yang terletak tidak berapa jauh dengan Perth.
Tanpa kenderaan yang dibenarkan beroperasi di pulau Rotto, cara terbaik untuk menikmati kedamaian pulau yang dikelilingi 63 pantai ini adalah dengan menyewa basikal dan mula mengayuh.
Selain tarikan barisan pantai berpasir kuning yang banyak di sekeliling Perth, kawasan pesisir lautnya juga menawarkan peluang terbaik bagi mereka yang gemar bersnorkel atau melakukan selam skuba.
Berenang bersama jerung paus di Terumbu Ningaloo merupakan satu daripada tarikan yang menjanjikan pengalaman yang sukar dicuba di mana-mana. Dibahagikan kepada 10 perenang dalam satu kumpulan, rasai kekerdilan diri ketika berenang bersebelahan dengan spesies ikan terbesar di dunia.
Bagi yang melancong untuk menikmati selera makanan yang unik, Perth adalah kota yang dipenuhi cita rasa. Di sini pelancong boleh memilih kepelbagaian masakan dari barisan restoran China,India, Malay, Korea, Itali, Poland dan Turki.
No comments:
Post a Comment