May 30, 2011

Banjaran Hotsprings Retreat



MASIH mencari-cari destinasi terbaik untuk memuaskan hati insan tersayang pada percutian bulan madu tidak lama lagi? Lupakan kerisauan pada kos dan penerbangan yang terlalu lama ke luar negara. Resort premium The Banjaran  Hotsprings Retreat ( Banjaran ) kini menawarkan percutian kelas pertama dengan kemewahan penuh romantik dan lebih peribadi.

Destinasi pengunduran dari kesibukan kota ini adalah pilihan terbaru dan terbaik untuk lokasi percutian bulan madu di negara ini. Jaminan kepuasan penginapan bertaraf lima bintang dan layanan eksklusif dipakej dengan kombinasi alam semulajadi terbaik di sekeliling resort. Pendek kata, semuanya lengkap untuk menutup mulut si dia yang agak cerewet membuat pilihan.

Cuma mungkin agak sukar untuk anda mempercayai lokasi pilihan kaliini hanya terletak 15 minit pemanduan dari Ipoh, Perak. Resort milik Sunway International Hotels & Resorts bersebelahan dengan taman tema Lost World of Tambun ini baru sahaja memulakan operasi Januari tahun lalu.

Keistimewaannya bukan hanya pada kemewahan dan keindahan alam semata-mata. Resort ini memiliki lebih daripada apa yang didambakan oleh setiap pasangan. Peluang menjejakkan kaki di  Banjaran  baru-baru ini boleh dipuisikan seperti titik pertemuan antara bumi dengan syurga atau cebisan tanah dari kayangan.



Bayangkan kehidupan di lembah hijau yang dikelilingi puncak dan cenuram bukit batu kapur yang mempersonakan. Mistik alam yang terselindung itu dihidupkan lagi dengan pemandangan berkabus di permukaan kolam yang menjadi tarikan utama di resort ini.

Sumber air panas yang keluar dari perut bumi sejak jutaan tahun itu suatu ketika dahulu popular di kalangan penduduk sekitar Tambun untuk merawat dan mencantikkan kulit. Kini ia menjadi milik peribadi resort seluas 16 ekar itu. Seperti terlalu mempersonakan? Tunggu, kerana kolam air panas itu bukanlah penutup. Sekarang bayangkan pula sebuah gua batu kapur yang diubah menjadi bilik sauna yang dipanaskan secara semulajadi menggunakan sebahagian daripada tiga juta liter air panas yang keluar dari kolam yang sama setiap hari. Tarikan di tengah-tengah landskap itu diteruskan dengan curahan air terjun setinggi bangunan satu tingkat yang mengetuai 'orkestra' terapi air di sekitar resort.



Gambaran itu mungkin kedengaran seperti fantasi namun itulah tarikan sebenar yang ada. Keunikan tersebut merupakan sebahagian daripada kriteria yang menjadikan  Banjaran  sebagai resort kesejahteraan (wellness resort) pertama di negara ini.

 Banjaran  menawarkan tiga kategori bilik iaitu dua dari jenis vila taman dan satu vila air. Setiap unit berbumbung jerami dibina dengan rekaan Bali yang mencetuskan aura neo-nusantara seperti yang kerap digunakan pada rekaan resort-resort terkemuka. Dengan sentuhan kunci gelang pada pintu pagar gerbang, aura kemewahan vila yang mempunyai keluasan dua kali ganda saiz pangsapuri biasa itu perlahan-lahan diserap pancaindera penulis.


Ketibaan disambut oleh ruang tamu terbuka yang santai. Bertentangan dengannya adalah hadiah paling istimewa iaitu kolam renang yang selesa untuk penginapan berpasangan mahupun berkeluarga. Curahan air yang hampir memenuhi kolam ketika itu diselangi kelunakan irama klasikal yang dimainkan melalui sistem audio jenama Bose lantas menghidupkan mod istirehat.

 

Ketenangan yang dirasai terus melenyapkan kepenatan memandu selama dua jam dari Kuala Lumpur, pada petang itu. Di laman tamu itu, susunan kemas perabot bergaya kontemporari juga berjaya melengahkan saya daripada terus menjenguk ke kamar tidur. Di sebalik pintu yang memisahkan laman dengan vila penginapan itu, kelihatan katil bersaiz King dengan tilam setebal 10 inci. Landasan terbaik untuk 'mendarat'.

Namun pengunduran daripada kesibukan harian tidak bermakna anda terpisah terus dengan hiburan. Sebagai pelengkap penginapan mewah sebuah televisyen LED 40 inci dan talian Internet tanpa wayar disediakan di dalam vila.Namun kedua-duanya itu mungkin perkara terakhir yang anda ingin sentuh di tempat yang damai seperti ini.




Di Banjaran , kemewahan bermula dari langkah pertama hingga yang terakhir. Di bahagian belakang vila, sebuah tab jakuzi peribadi dan ruang mandi tanpa bumbung disediakan untuk mereka yang keberatan untuk meninggalkan vila pada hari pertama.
Pada hari berikutnya, terapi air panas di kolam geotermal pasti menjanjikan pengalaman berbeza. Beberapa buah kolah jakuzi juga disediakan di tepi kolam dengan pemandangan mengadap air terjun yang berlatarbelakang bukit-bukau. Bagi yang mencari ketenangan dalam erti kata yang sebenar, peluang bersantai dikelilingi hutan tropika itu adalah terapi terbaik untuk memulihkan kesegaran fizikal dan kerohanian.




Dari celahan bukit itu, tiupan angin sesekali dirasakan menghembus ke muka, lokasi itu juga dipenuhi oleh pelbagai spesies unggas yang sentiasa memenuhi ruang udara. Selain itu, tetamu juga disediakan dengan laluan berbatu untuk tujuan refleksologi, rawatan garrarufa iaitu spesies ikan yang diimport khas dari Turki, kolam renang umum, kerusi baring dan susunan dangau seperti memberi pilihan untuk beristirehat.

Pakej percutian kesejahteraan diri di  Banjaran  kini ditawarkan pada harga permulaan dari RM1,990 hingga RM4,650 untuk penginapan tiga hari dua malam. Maklumat lanjut mengenai pakej boleh diperolehi dari laman web www.thebanjaran.com atau hubungi talian 05-210 7777.

No comments:

Post a Comment