Mar 19, 2010

Tefta Barefoot (FIvefingers)




Sebahagian daripada model-model Tefta Barefoot.

Kasut keluaran tempatan yang seakan-akan kasut Vibram Fivefingers yang popular di US dan Eropah kini boleh didapati di negara ini dengan harga RM225.
Walaupun kasut rekaan usahawan tempatan ini dihasilkan di China, kualiti material yang digunakan boleh dibanggakan kerana setanding dengan produk keluaran antarabangsa.
Plus Minus
Setelah mencuba sendiri kasut ini (pakai untuk beberapa jam), keselesaannya boleh dipuji kerana cukup ringan, tidak berpeluh dan melekat kemas di kaki.
Fabrik yang digunakan juga baik, cuma setakat ini saya belum boleh mengesahkan ketahanan jahitan pada celah-celah jari kerana baru sahaja memakai uji. Melihat kerumitan dan keadaan jahitan yang menghasilkan bentuk '5jari terkeluar', saya tidak rasa kasut ini cukup lasak untuk diganyang di hutan.
Mungkin sekadar untuk treking yang light, jogging ala kaki ayam atau mungkin cukup sesuai dipakai dipantai.
Kelebihan kasut ini adalah pada tapak yang nipis yang memberikan impak seolah-olah pemakai berkaki ayam. Malah tidak dinafikan, ia mempunyai daya tarikan yang begitu kuat di mata orang ramai.

Faktor tapak nipis itu juga dikatakan baik untuk mereka yang mempunyai penyakit kencing manis-menurut dakwaan pengeluarnya.
Pada bahagian tapaknya pula adalah hirisan-hirisan halus yang boleh dilihat sekiranya anda mengopak tapak kasut ini. Hirisan zig zag yang direka untuk menghasilkan cengkaman di permukaan yang licin. Bagaimanapun, semasa menguji kasut ini di Air Terjun Chamang, cengkamannya tidaklah sebaik yang saya sangkakan kerana turut tergelincir ketika mendaki batu-batu basah. Jauh berbanding kehebatan selipar foam keluaran Holeys iaitu rival kepada Crocs.
Satu lagi perkara yang perlu diperbaiki adalah saiz sarung jari yang agak pendek, bagi saya yang berketinggian 176cm, penyarungan jari kaki ( terutama jari kedua dan ketiga ) masih tidak masuk habis. Namun ia tidaklah sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.
Tefta Barefoot untuk diperkenalkan untuk memenuhi gaya kasual, kasut ini juga dikatakan boleh digunakan untuk wall climbing, (yang mana saya rasa tidaklah begitu sesuai sebenarnya) - setakat climb ala kadar mungkin tidak menjadi masalah.
Apa-apa pun, semangat yang ditunjukkan anak muda kita dalam menghasilkan produk kembara sendiri itu sewajarnya dipuji.
Malah kasut yang dijual secara online itu sudah memasuki pasaran Eropah, USA dan Singapura kerana harganya yang lebih murah berbanding Vibram Fivefingers.
Namun untuk pasaran di negara ini, saya rasa harga RM225 itu mungkin masih lagi mahal. Kita harap jualan yang meningkat akan menurunkan harga Tefta Barefoot tidak lama lagi.
Tefta Barefoot dikeluarkan dalam dua model berlainan iaitu Flux dan Primitif dengan setiap satu mempunyai tiga pilihan corak dan warna.
Perbezaan antara Tefta (dua atas) dengan Vibram Fivefingers (atas)

1 comment:

  1. brape arge kasut ni???
    nk crik kt mnew???
    straight kt abg adew???
    cntc sye klo zofylofy@yahoo.com...

    ReplyDelete