Feb 4, 2010

Hyundai i30

UNGKAPAN menyebut kita takkan sedar keistimewaan sesuatu perkara sehinggalah selepas kehilangannya. Itulah yang dirasai sendiri selepas memandu uji Hyundai i30, baru-baru ini.

Setelah memanfaatkan sepenuhnya tempoh singkat pandu uji selama tiga hari, hati masih terasa berat untuk memulangkan semula kereta ini kerana seperti masih banyak perkara yang belum sempat diperincikan. Destinasi pandu uji model 1.6 automatik pada hujung minggu baru-baru ini membawa saya dan jurugambar ke kaki Gunung Nuang di Hulu Langat, Selangor. Perjalanan melibatkan laluan di lebuh raya, pekan kecil yang sesak dan jalan-jalan berliku di kawasan kampung.

Perkenalan pertama penulis dengan hatchback itu di pejabat Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd di Taman Industri Temasya, Shah Alam bermula dengan sentuhan pada stereng. Putaran stereng kereta diimport (CBU) dari Korea Selatan itu bagaimanapun dirasakan agak berbeza dengan kereta-kereta Jepun yang pernah dipandu sebelum ini. Maksud saya sterengnya memerlukan lebih daya untuk dipulas. Namun secara peribadi saya lebih menyukai kawalan yang sedikit berat itu kerana tindak balas memberikan lebih feel kepada pemanduan.

Kawalannya dirasakan cukup serasi. Tidak terlalu ringan seperti sesetengah stereng yang boleh dipusing dengan hanya menggunakan sentuhan beberapa batang jari, padahal mengorbankan kepuasan sebenar mengawal. Selepas melalui beberapa selekoh pada kelajuan sederhana, i30 membuktikan kehebatan dari segi kestabilan. Pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam (km/j), kelancaran mengambil selekoh masih cukup menyakinkan.

Respons pantas antara putaran stereng dengan pusingan tayar memantapkan lagi pemanduan. Kelebihan yang pasti dapat membantu pemandu yang sering menghadapi masalah ketika menyelusuri laluan sempit seperti di kawasan parkir bawah bangunan. Di lebuh raya, enjin DOHC CVVT memacu i30 dengan cukup bertenaga. Berbekalkan kuasa terjahan 153.9 Newton meter (pada kelajuan 4,200 rpm). Kelancaran enjin juga menjamin tugas menyambung semula perjalanan selepas berhenti di persimpangan disempurnakan dengan lancar.

Teknologi suntikan terus pada enjin 16 injap yang digunakan adalah teknologi generasi terkini yang bukan sahaja menjamin prestasi enjin malah mengurangkan penggunaan bahan bakar dan pembebasan asap. Dalam kata lain, i30 hadir dengan keupayaan berkembar iaitu prestasi dan penjimatan.

Tugas pemberhentian roda diperkemaskan dengan sistem ABS empat saluran yang menggunakan teknologi pengagihan tekanan elektronik (EBD) bagi membolehkan kereta dikawal walaupun ketika membrek dalam keadaan cemas. Keyakinan keselamatan dipertingkatkan dengan dua beg udara yang memberi perlindungan optimum di bahagian kepala dan leher pemandu.

Selain itu, i30 turut dilengkapi sistem penguncian pintu automatik sebaik sahaja pemanduan melebihi kelajuan 20 km/j. Sistem suspensi pula diimbangi teknologi MacPherson di bahagian depan dan suspensi pelbagai rangkaian dengan batang pengimbang di bahagian belakangnya.

Terjual empat juta

Berbekalkan nilai prestasi yang ditambah dengan reka bentuk ala kontinental, tidak hairan mengapa model yang dipasarkan untuk segmen C1 itu terjual sehingga empat juta unit di benua Eropah. Keindahan reka bentuk sporty adalah hasil kombinasi lengkungan aero-dinamik V pada bonet depan dengan imej radikal melalui lampu belakang besar yang menyerlah. Sebagai perbandingan sebenar, saiz i30 hampir menyamai Mazda 3 atau Volkswagen Golf.

Mengambil kira keluasan sebuah hatchback, i30 mempunyai dua tempat duduk depan yang selesa tanpa mengorbankan kelegaan bahagian kaki, siku dan kepala tiga orang penumpang di belakang. Seperti diperkatakan terdahulu, tarikan istimewa kereta ini bukan hanya pada kestabilan malah pemandu juga dikelilingi pelbagai teknologi dan ciri-ciri elegan yang menambah nilai pemanduan.Di bahagian pemandu, pemilihan transmisi empat kelajuan automatik dipermudahkan dengan tombol gear yang menggunakan rekaan alur ergonomik.


Panel kawalan pula diperkemaskan dengan butang-butang fungsi audio dan pendingin hawa yang mudah dicapai. Lebih mudah, butang kawalan audio juga disediakan pada sebelah kiri stereng. Selain itu, dua set lampu membaca disediakan untuk pilihan pemandu dan penumpang pertama, ruang isian kaca mata pada bahagian bumbung, bacaan suhu (dalam kereta) dan dua set pelana rehat tangan (depan dan belakang).

Di bahagian luar, i30 dilengkapi teknologi terbaru seperti pembasuh cermin tiga hala bertekanan tinggi yang terbukti melakukan tugas lebih efisien berbanding kaedah pancutan biasa. Pembasuh cermin HMLS juga disediakan di cermin belakang. Untuk isian kargo, i30 menyediakan akses mudah masuk pelbagai saiz barang. Jika keluasan bonet (340 liter) masih tidak memadai, perluaskan kapasiti sehingga 1,250 liter dengan melipat sepenuhnya kerusi belakang. Kelebihan itu menjadikan i30 kenderaan untuk aktiviti luar yang baik.


Pandu dengan purata jarak sehingga 164 km setiap hari selama lima tahun tanpa perlu memikirkan beban kerosakan kerana setiap unit didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 300,000 km (yang mana dahulu). Harga yang disyorkan pengeluar untuk i30 1.6 auto adalah RM94,668 manakala 1.6 manual pada harga RM89,298 dan model 2.0 pada harga RM108,974 (tidak termasuk cukai).

No comments:

Post a Comment