PERLUMBAAN rali paling getir di dunia, Rali Dakar 2010 yang menutup tirai baru-baru ini terus mengekalkan reputasi sebagai 'perlumbaan maut' apabila meragut satu lagi nyawa.
Kemalangan kali ini menimpa seorang penonton wanita yang dirempuh salah sebuah kenderaan bertanding semasa perlumbaan di Buenos Aires, Argentina. Insiden terbaru itu menjadikan angka maut sepanjang 31 tahun penganjuran sukan pemotoran berprestij itu mencecah 52 orang.
Status perlumbaan paling ekstrem bagaimanapun tidak menghalang peminat-peminat sukan tersebut untuk 'berada dekat 'mendekati' pelumba pujaan mereka. Bahkan pada setiap tahun acara itu disaksikan tidak kurang daripada 500,000 penonton.
Perlumbaan sejauh 9,000 kilometer yang berlangsung selama dua minggu di Argentina dan Chili baru-baru ini tidak kurang cabarannya berbanding laluan di Afrika sebelum ini.
Kemasyhuran acara itu menarik 552 peserta di dalam empat kategori pertandingan iaitu pacuan empat roda, motosikal, lori dan motosikal pelbagai guna (ATV).
Pada tahun ini, pemandu Toureg, Carlos Sainz dan Lucas Cruz mempertahankan gelaran juara tahun lalu dalam kategori pacuan empat roda untuk pasukannya Volkswagen.
Sementara itu, penunggang jentera KTM, Cyril Despres menjuarai kategori motosikal, Vladimir Chagin yang memandu Kamaz dalam kategori lori dan Marcos Patronelli (Yamaha) menjuarai kategori ATV.
Walaupun masih merentasi negara yang sama seperti tahun lalu, Rali Dakar 2010 tetap mempertaruhkan cabaran terhebat.
Cabaran
Misalnya, laluan peringkat pertama sejauh 700 km dari Buenos Aires ke Cordoba menggunakan sebahagian daripada laluan Kejuaraan Rali Dunia WRC (Argentina) yang merentasi Lembah Calamuchita.
Perlumbaan di permukaan jalan berbatu kasar bukan sahaja memerlukan teknik kawalan yang teliti malah sering memaksa penunggang motosikal melakukan aksi lompatan untuk melepasi halangan. Di laluan seperti itu, kesabaran peserta juga diuji dengan cabaran menekan brek yang perlu dilakukan dengan teknikal untuk mengekalkan kelajuan.
Laluan perlumbaan rali turut menyajikan keindahan landskap Banjaran Andes yang bukan sahaja menguji konsentrasi peserta malah menyembunyi seribu satu cabaran.Kegagalan menumpukan konsentrasi semasa memandu adalah kesilapan terbesar di laluan berbatu.
Penunggang KTM Perancis, Jean Claude terjatuh semasa cabaran peringkat kedua.pix by: GABRIEL BOUYS/AFP
Di Gurun Atacama, cabaran laluan berpasir bukan sahaja menduga kecekalan mental dan fizikal pelumba malah menguji ketahanan jentera. Cabaran yang terpaksa dihadapi peserta termasuk laluan menurun bukit sejauh tiga kilometer dan pada masa yang sama berdepan dengan tiupan angin laut di Antofagasta.
Di antara semuanya, cabaran paling sukar mungkin adalah di La Serena, kira-kira 180 sebelum menghabiskan cabaran di Gurun Atacama.
Gambar REUTERS menunjukkan tapak kemalangan helikopter yang nyaris mengorbankan dua wartawan ketika cabaran di Fiambala
Keupayaan pasukan melepasi ujian istimewa (special stages) di s itu dianggap gambaran siapa yang bakal menduduki podium. Bagaimanapun, pencapaian peserta berubah dan berbeza mengikut peringkat kerana setiap pasukan mempunyai strategi dan teknik tersendiri.
Selain cabaran di permukaan jalan, kehadiran kabus tebal di l aluan peringkat sembilan memaksa penganjur memendekkan jarak perlumbaan.
Peserta dalam kategori ATV
Selain pemandu dan penunggang, cabaran getir di Rali Dakar juga dikongsi bersama pasukan sokongan yang berhempas-pulas menyelenggara dan menyelaras keadaan kenderaan semasa waktu rehat. Pemeriksaan ketat itu bagaimanapun tidak menjamin ketahanan jentera untuk melepasi cabaran dan rintangan yang tersedia.
Bahkan akibat kemalangan dan kerosakan yang teruk pada kenderaan, sebahagian peserta terpaksa menarik diri dan melupakan hasrat untuk bergelar juara.
No comments:
Post a Comment