Aug 15, 2011

Frankfurt - Kota Dua Wajah

 

Dipisahkan kepada bahagian utara dan selatan oleh Sungai Main, Frankfurt kini membangun sebagai pusat kewangan dan bandar pengangkutan paling utama di Jerman. Berbeza dengan kota-kota Eropah lain yang tidak mempunyai banyak bangunan tinggi, kota kelima terbesar di negara itu menyajikan pelancong dengan landskap metropolitan dengan gabungan budaya yang cukup harmoni.

Berdiri paling tinggi di bandar itu adalah bangunan Commerzbank setinggi 259 meter dan pernah menjadi bangunan tertinggi di Eropah. Cuma ia tidak dibuka untuk kunjungan umum.
Untuk meninjau pemandangan keseluruhan kota, menara Main Tower yang terletak di Landesbank Hessen adalah tempat terbaik. Pada hari yang cerah, menara setinggi 54 tingkat ini menyajikan saujana mata memandang sehingga menampakkan kawasan kampung yang kemas dan rapi.

Suasana santai di pinggir Sungai Main adalah antara suasana yang paling digemari pelancong. Lokasi yang damai itu memberikan Frankfurt nama kedua iaitu Mainhattan.
Pada musim panas, pelancong boleh menghabiskan masa untuk bersiar di sepanjang tebingan sungai yang penuh dengan penghuni dan pelawat kota. Lokasi yang menempatkan restoran dan kafe itu pasti menjadi kegemaran. 

Puas bersantai. Kini tiba masanya untuk menjelajah ke pelosok kota. Frankfurt sebagai bandar bahagian Hesse juga dikenali dengan gelaran bandar dua muka disebabkan perbezaan zamannya. Melihat kemodenan dan unsur tradisional yang serasi di Frankfurt adalah pengalaman yang tiada di mana-mana. Jangan berasa janggal apabila sebuah pasar raya moden mengejutkan anda sebaik sahaja keluar dari bangunan berusia ribuan tahun.
Salah satu lokasi yang menjadi kegemaran pelancong di Frankfurt adalah Dataran Romer yang menampilkan keunikan reka bentuk bangunan dari kurun ke-14. Kawasan yang dibangunkan semula selepas musnah teruk pada Perang Dunia Kedua itu menempatkan gereja Alte Nikolaikirche dan penempatan Roman kuno yang menjadi rahsia nama Romer dikenang sehingga hari ini.
Seperti kebanyakan kawasan tarikan pelancong di Frankfurt, bangunan itu juga dipenuhi dengan premis makanan dan cenderahati yang menawarkan harga berpatutan. Untuk menyusuri asal usul bandar itu secara lebih terperinci, kawasan Museumsufer yang terletak di selatan Main menghimpunkan sembilan buah muzium yang menceritakan pelbagai sejarah, pameran khazanah dan artifak.
salah satu daripada barisan muzium di Museumsufer

Antara muzium yang ada di situ adalah Muzium Filem Jerman, Muzium Senibina, Muzium Seni, Muzium Jewish, Muzium Telekomunikasi, Muzium Adat dan Budaya Giersch. Dari pusat bandar, perjalanan ke kompleks muzium boleh dilakukan dengan menaiki kereta api bawah tanah sehingga ke stesen Schweizer Platz sebelum menuju ke pinggir Sungai Main.

Pengalaman melancong di Frankfurt tidak mungkin memeningkan kepala. Sebagai pusat pengangkutan utama di Jerman, Frankfurt dilengkapi dengan rangkaian kereta api, bas dan teksi yang cukup efisien. Untuk kepuasan membeli-belah, luangkan masa bersiar ke Frankfurt Zeil atau Fifth Avenue. Di kawasan itu terdapat deretan kedai dan butik yang menjual pelbagai barangan berjenama. Kemeriahan akan lebih terasa menjelang malam yang dihiasi lampu neon dan lagak pengunjung.

Tarikan lain termasuk The Palm Garden (Palmengarten) yang terletak kira-kira dua kilometer dari Frankfurt Operas House. Palm Garden merupakan antara taman botanika terbesar di Jerman. Selain mempamerkan koleksi tumbuhan eksklusif dan eksotik, taman yang dibuka sejak 1871 itu turut menyediakan kemudahan seperti bot persiaran, taman permainan, rumah hijau dan menganjurkan festival pada masa-masa tertentu. Bercerita mengenai festival, Frankfurt sebagai kota tempat muda-mudi bersuka-ria juga tidak lekang dengan pelbagai pesta dan kemeriahan. 
 




Bagi yang merancang lawatan, anda dinasihatkan membuat tempahan terlebih awal kerana penginapan bukan sesuatu yang mudah diperoleh setiap kali acara berlangsung. Kota Frankfurt biasanya akan padat dengan pelawat setiap kali penganjuran acara.
Waktu terbaik untuk melawat Frankfurt adalah pada hujung musim bunga hingga awal musim luruh. Cuaca pada musim panas sekitar 25 darjah Celsius mungkin terlalu hangat manakala suhu musim sejuk biasanya turun mencecah negatif.
Dengan dua wajahnya, Frankfurt mungkin bukan kota yang penuh dengan sejarah seperti Paris, Rom dan London. Namun keserasian antara pembangunan dan budaya menjadikan ia antara destinasi yang berbaloi untuk dikunjungi.

Melancong ke Argentina


SEBAGAI bandar kedua terbesar di Amerika Selatan, Buenos Aires bukan sahaja sebuah kota metropolitan moden bahkan padat dengan pelbagai tarikan yang sedia untuk diterokai.
Percampuran budaya sejak zaman penjajahan Sepanyol hingga ke era penghijrahan masyarakat Eropah ke ibu kota Argentina itu banyak mengubah wajah Buenos Aires sehingga mendapat jolokan kota Paris di benua itu.
Beunos Aires seperti kota-kota bekas jajahan Sepanyol (di Argentina) sememangnya kaya dengan nilai budaya dan sejarah. Antara produk budaya yang menarik untuk dilawati adalah penempatan lama di San Ignacio Mini, Nuestra Senora del Pilar dan Cabildo.
Selain itu, negara yang terletak di antara pergunungan Andes, Lautan Atlantik dan hampir dengan kutub selatan itu juga terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang tiada tolak banding. Patagonia, Talampaya dan Aconcagua merupakan sebahagian daripada keajaiban alam Argentina.

Di tengah-tengah kota Buenos Aires, tarikan utama pelancong mungkin bermula dengan kunjungan ke kawasan 'kejiranan' La Boca yang penuh berwarna-warni. Kawasan berhampiran dengan muara Sungai Riachuelo itu pernah menjadi pelabuhan yang mendaratkan pendatang-pendatang dari Itali, Sepanyol dan Eropah.
La Boca juga dikenali sebagai tuan rumah kepada salah satu kelab bola sepak terbaik di dunia iaitu Boca Juniors. Teruskan berjalan sehingga ke tengah kejiranan itu untuk melihat sendiri stadium (La Bombonera) yang pernah melahirkan ikon bola sepak dunia, Diego Maradona.
Pada setiap kali perlawanan, stadium berbentuk seperti kotak coklat yang mampu memuatkan kira-kira 50,000 penonton itu pasti meriah dengan sorakan dan warna-warni penyokong.
Di luar stadium, jangan sesekali terkejut kerana kunjungan anda mungkin disambut oleh Maradona yang dilakonkan oleh 'pelanduk dua serupa'. Dengan sedikit bayaran, anda boleh mengejutkan rakan tentang siapa yang anda temui semasa melancong di negara itu.
Di sekitar La Boca atau di mana-mana sahaja jangan lepaskan peluang untuk mencuba kopi Mate, sejenis minuman tradisional penduduk Argentina. Lebih bermakna jika ia dinikmati bersama kerancakan tarian tango yang banyak dipersembahkan ke seluruh pelosok kota itu.
Satu lagi destinasi tumpuan pelancong di tengah-tengah Buenos Aires adalah Plaza de Mayo. Dataran yang pernah menyaksikan kemerdekaan dan pembangunan Argentina selepas berakhirnya penjajahan Sepanyol pada 1816.
Namun melancong destinasi yang memakan waktu penerbangan sehingga berpuluh jam dari Malaysia itu tidak mungkin dihabiskan sekadar untuk melawat tarikan di kota.

Air terjun Iguazu yang terletak bersempadan dengan Brazil dan Paraguay merupakan tarikan wajib bagi yang melawat Argentina. Air terjun yang mempunyai 275 curahan itu merupakan salah satu daripada air terjun terbesar di dunia. Di sebelah Argentina, curahan air terjun berbentuk melengkung seluas kira-kira tiga kilometer itu boleh dikunjungi melalui pintu utamanya di Misiones.
Keindahan air terjun yang hanya setanding dengan Angel's Fall di Venezuela itu boleh disaksikan dari anjung yang dibina mengadap tirai air yang tersusun cantik. Pelawat dinasihat melengkapkan diri dengan menyarung baju hujan kerana tempias air yang kencang seperti hujan.

 
Patagonia yang terletak di bahagian paling selatan benua Amerika Selatan di antara banjaran Andes dan Lautan Pasifik menjanjikan lebih keajaiban. Kawasan itu dipenuhi dengan bentuk muka bumi yang ganjil dan aktiviti geologi penuh misteri.
Patagonia yang dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu Neuquen, Rio Negro, Chubut dan Santa Cruz menampilkan keindahan pergunungan, kehijauan alam dan lautan ais yang tidak terdapat di mana-mana di dunia ini.
Salah satu daripada tarikan utama adalah Taman Negara Glasier di Perito Moreno Glacier, Santa Cruz yang membawa pelancong mengembara jauh ke zaman ais dan melihat bongkah-bongkah ais yang tinggi menggunung. Mungkin anda boleh bayangkan curahan air terjun Iguazu yang dibekukan.
Tidak jauh dari syurga alam yang menjadi kegilaan penggemar aktiviti luar itu adalah satu lagi tarikan yang menanti iaitu Taman Negara Los Aleres di bahagian Chubut. Los Aleres adalah taman negara tercantik di Argentina yang ditubuh untuk melindungi pokok Alerce yang hidup sehingga 3,000 tahun dan membesar sehingga 70 meter tinggi.

Bagi mereka yang tidak mahu bersusah payah mendaki, peluang menikmati keindahan hutan pokok gergasi yang menghijau dengan ketenangan permukaan tasik di situ boleh dirasai dengan mendapatkan perkhidmatan bot.

 
Tarikan terakhir adalah Taman Negara Talampaya di timur bahagian La Rioja yang dihiasi keindahan landskap batu dan bukit yang terbentuk daripada hakisan angin sejak lebih 250 juta tahun lalu.
Taman yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia sejak 2000 itu meliputi kawasan seluas 2,150 kilometer persegi. Selain keindahan hakisan batu-batu merah beratus meter tinggi, kawasan itu juga dipercayai merupakan tapak penempatan manusia terawal di benua Amerika Selatan.

Aug 4, 2011

Yang menanti di dasar laut



SETIAP tahun kira-kira 18,000 penyelam baru direkrut di negara ini menjadikan jumlah penyelam berdaftar kini dianggarkan seramai 120,000 orang. Peningkatan tahun demi tahun itu jelas membuktikan populariti dan sambutan terhadap rekreasi selam skuba.
Bagi yang bukan penyelam, ramai masih tertanya-tanya apakah keseronokan yang menanti mereka di dasar laut dan apa pula kelebihan menjadi seorang penyelam.
Keistimewaannya jelas. Memiliki nyawa 'kedua' membolehkan mereka (penyelam) meneroka dunia di bawah permukaan air yang selama ini cukup asing bagi manusia. Tarikannya adalah keindahan terumbu karang dan segala penghuninya.
Kehidupan laut menyajikan seribu satu keanehan pada pancaindera manusia. Malah peluang menikmati keharmonian alam yang sunyi tanpa bunyi itu juga adalah terapi terbaik untuk 'memutuskan' diri daripada beban dan masalah.
 Dasar laut yang dipenuhi batu karang berwarna-warni sememangnya cukup menghiburkan. Bagi penyelam baru keindahan seperti itu adalah pencetus keseronokan dan harus juga berwaspada kerana ia mungkin membawa kepada ketagihan.
Pada selaman peringkat permulaan, kedalaman mungkin dilakukan tidak melebihi 10 meter. Pada paras itu, pancaran cahaya yang menerangi terumbu biasanya memberi penyelam jarak penglihatan yang cukup baik.
Melintas riang di depan mata adalah ikan-ikan yang selama ini hanya dilihat di pasar. Namun melihat sendiri hidupan yang berenang bebas di habitat asal itu tentulah sesuatu yang sama sekali berbeza.
Kumpulan jenahak yang bersinar dengan kulit merah dan kuning adalah antara perarakan yang sering memeriahkan terumbu karang. Ikan bayan (parrotfish) juga antara yang paling menyerlah manakala spesies lain yang banyak ditemui pada kedalaman itu termasuk buntal, kerisi dan ikan kunyit.
Namun selam skuba bukanlah sekadar kepuasan melihat kerana banyak perkara yang harus dipelajari penyelam untuk memastikan selaman dilakukan dengan selamat. Selain itu, skuba juga mendedahkan penyelam dengan pelbagai perkara baru.
Daripada proses pembelajaran yang berterusan itulah datang keseronokan. Buktinya, penyelam biasanya mengenali lebih banyak hidupan di laut berbanding di darat. Proses menghafal dan merekod dilakukan melalui sesi pengenalan ikan (fish ID) setiap kali selepas menyelam.
Kadang-kala pembelajaran itu melibatkan perkara yang cukup mudah namun tidak pernah diambil peduli. Misalnya batu karang yang kelihatan seperti tumbuhan jarang diketahui bahawa ia sebenarnya adalah binatang. Sesetengahnya pula sangat sensitif kepada ancaman.
Oleh itu sebagai penyelam yang beretika, tiada sentuhan dibenarkan kerana himpunan karang itulah yang menyediakan lebih daripada separuh sumber makanan laut kepada kita.
Namun apa guna membelanjakan RM1,500 untuk sekeping sijil (selam skuba laut terbuka) jika hanya melihat benda yang sama boleh dilihat penyelam snorkel. Tutup hidung dan hembus nafas untuk turun ke paras lebih dalam. Pada kedalaman melebihi 10 meter tekanan mula bermain di telinga dan kadang-kala sangat menyakitkan.
Untuk mengintai apa yang ada di dasar, penyelam disyorkan menguasai teknik apungan bagi mengelak diri daripada melanggar batu karang yang hanya tumbuh beberapa sentimeter setahun. Imbuhan yang menanti di dasar adalah spesies-spesies lebih besar seperti ikan merah, gelama, kerapu dan pari.
Jika bernasib baik, penyelam mungkin dikejutkan dengan kibaran pari yang biasanya berselindung di celah-celah batu. Di antara spesies pari yang menjadi idaman untuk dilihat penyelam termasuk pari manta dan pari helang (eagleray) yang semakin sukar ditemui di perairan negara ini.
Namun bukan semua yang cantik itu selamat untuk dihampiri. Di laut, penyelam dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari ikan jebung (titan triggerfish) yang boleh menyerang dengan patukan bertubi-tubi.
Dikatakan patukan empat batang gigi yang bercerakah keluar dari mulutnya cukup untuk memecahkan cermin topeng selam. Oleh itu, berwaspadalah dengan sekeliling sepanjang masa.
Selain titan triggerfish, belut laut (moray eel) juga antara spesies jinak yang mungkin memberi ancaman. Ia jarang menyerang manusia tetapi berlaku beberapa kemalangan di mana tangan penyelam tembus akibat digigit.
Itulah sebahagian daripada cabaran dan risiko yang menanti penyelam. Jika selaman dilakukan dengan mematuhi peraturan, kemalangan mungkin dapat dielakkan.
Untuk penguasaan teknik yang lebih baik, penyelam mungkin mahu menaikkan taraf sijil ke peringkat lanjutan yang membolehkan mereka melakukan selaman sehingga 30 meter, selaman waktu malam dan selaman navigasi.
Apa perlunya? Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab malah menjanjikan pengalaman yang lebih mencabar.
Melakukan selaman malam misalnya memperlihatkan kegelapan laut yang kelam tanpa cahaya. Kehidupannya lebih 'perlahan' dengan ikan-ikan yang lebih jinak. Ia juga menjadi waktu terbaik untuk mengintai spesies-spesies yang tidak kelihatan pada waktu siang seperti sotong, ketam dan udang.
Dengan menggunakan lampu suluh, penyelam bergerak mengikut arahan ketua selaman. Selain atmosfera yang gelap, penyelam juga diperkenalkan dengan isyarat tangan yang berbeza berbanding isyarat yang digunakan pada siang hari.
Apa lagi? Dengan kebenaran untuk turun sehingga 30 meter, penyelam juga berpeluang melakukan eksplorasi ke lokasi kapal karam. Di kawasan itu, rupa bentuk spesies yang ditemui mungkin lebih mengejutkan.
Stonefish, lionfish, frogfish dan robust pipefish adalah sebahagian daripada spesies yang banyak menghuni kerangka-kerangka kapal di perairan negara ini. Selain itu, ikan cencaru dan bawal telinga gajah (batfish) juga mudah ditemui di perairan negara ini.
Namun pertemuan dengan semua spesies itu bukanlah sesuatu yang boleh dicapai pada satu selaman. Ia juga bukanlah 'pertemuan kemuncak' bagi penyelam.
Pertemuan yang lebih bermakna adalah ikan yu paus yang membesar sehingga berpuluh meter panjang dan sekumpulan yu kepala tukul yang hanya boleh ditemui di lokasi selam eksotik seperti di Pulau Sipadan dan Terumbu Layang-Layang di Sabah.
Dua lokasi tersebut pula biasanya melibatkan selaman dalam sehingga melebihi paras 30 meter. 'Perhiasannya' pula adalah kawanan ikan seperti demuduk (trevally), gerepoh (GT), aji-aji (amberjack) dan alu-alu (barracuda) yang berenang secara berpusar seperti puting beliung.
Selepas 'bosan' dengan spesies -spesies besar dan mencuba pelbagai kategori selaman, penyelam mungkin mahu beralih kepada selaman makro untuk mengintai spesies-spesies halus.
Di negara ini, Pulau Mabul, Sabah memberi peluang kepada penyelam untuk melihat pelbagai spesies halus seperti kuda laut Denise yang mempunyai saiz hanya beberapa milimeter, ulat laut (nudybranch) dan pelbagai lagi.
Namun seperti juga kategori selaman lain, cabaran selaman makro terletak pada kesukaran mengesan spesies-spesies halus yang cukup pakar dalam teknik penyamaran. Selamat menyelam

Aug 2, 2011

Disneyland Paris

 

SELAIN tarikan sejarahnya seperti Menara Eiffel, gerbang Arc de Triomphe, Notre Dame dan muzium Lurve, Paris juga dikunjungi kerana satu lagi tarikan yang cukup popular iaitu Disneyland Paris.

Jika Paris merupakan destinasi paling dikunjungi di dunia, taman tema yang terletak kira-kira 30 kilometer di luar ibu kota negara Perancis itu juga mempunyai reputasi yang hampir sama.

Dengan kunjungan 15 juta pelawat setiap tahun, Disneyland Paris sendiri tersenarai sebagai destinasi tarikan pelancong paling popular di Eropah. Ia menjanjikan kunjungan penuh dengan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Kesempatan melawat taman permainan dan hiburan di Chessy Marne-la-Vallee pada Mei lalu memberi peluang kepada penulis menjenguk apa yang ditawarkan oleh rangkaian resort Disney itu.

Cuma tempoh lawatan setengah sehari tidak membenarkan penulis menikmati keseluruhan hiburan yang ditawarkan dengan sekeping tiket (berharga kira-kira RM300). Mengikut apa yang dicadangkan pada risalah taman tema itu, pelawat memerlukan dua hingga tiga hari untuk menikmati semua hiburan dan permainan yang ditawarkan di situ.
Disneyland Paris dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu Taman Disneyland dan Taman Studio Walt Disney, itu tidak termasuk tujuh buah Hotel Disney, premis jualan, restoran dan pusat hiburan. Secara kasar, keluasan keseluruhan taman yang dibuka pada 1999 itu dianggarkan menyamai satu perlima daripada saiz pusat bandar Paris.
 
Taman tema pertama iaitu Taman Disneyland dibahagikan kepada beberapa konsep dan tema hiburan iaitu Fantasyland, Main Street USA, Frontierland, Adventureland dan Discoveryland. Pengembaraan di Fantasyland misalnya membawa pelawat ke alam penuh imaginasi seperti terbang bersama Peter Pan, Alice and Wonderland, Dumbo Flying Elephant, Pinocchio dan Jiminy Cricket.

 

Bagi yang mahukan lebih cabaran, permainan Big Thunder Mountain dan Indiana Jones boleh membawa pelawat mengembara dari perut bumi hingga ke puncak gunung. Selain perjalanan roller coaster berbentuk kereta api lombong biji timah itu, taman tema juga dipenuhi dengan pelbagai jenis permainan gelongsor berteknologi tinggi.

Bagi kanak-kanak, peluang bertemu dan bergambar dengan watak kegemaran mereka seperti Mickey Mouse, Snow White, Aladin dan banyak lagi pasti umpama mimpi bertukar realiti. 

Memeriahkan lagi suasana magis di taman tema itu adalah aksi pelawat khususnya kanak-kanak yang dipakaikan dengan pelbagai pakaian watak Disney oleh ibu bapa mereka. Premis jualan pakaian dan cendera hati itu juga dihias cantik dengan tema-tema tersendiri.

Jauh di tengah taman, tersergam sebuah istana berbumbung tajam yang selama ini hanya dilihat melalui siri kartun dan animasi. Istana Sleeping Beauty itu merupakan pentas persembahan dan perarakan yang paling dinanti-nantikan pelawat.

Acara yang dianggap sebagai kemuncak hiburan di Disneyland itu bermula dengan persembahan teater oleh watat-watak Disney sebelum diakhiri dengan persembahan bunga api yang menghidupkan keajaipan alam Disney.

Sementara itu di taman kedua iaitu Taman Studio Walt Disney yang dibuka tiga tahun selepas pembukaan Disneyland Paris menyajikan hiburan dengan citarasa berkonsepkan Hollywood. 

Hiburan untuk dewasa dan kanak-kanak termasuk persembahan lagak ngeri oleh pasukan Hot Cars, terjunan dari tingkat 13 (roller coaster maya) dan mengetahui rahsia di sebalik pembikinan filem -filem terkemuka Hollywood.

Belum lagi berakhir, kepuasan di Disneyland Paris bukan sekadar hiburan di dua bahagian taman tema kerana tarikan di Disney Village juga tidak kurang menariknya. Alami dramatik Mickey dan rakan-rakan melalui persembahan Buffalo Bill's Wild West, teater IMAX yang menayangkan filem-filem terkini, bersantai di kafe atau menjenguk sedikit cenderahati di Planet Hollywood.



Bagi yang bercuti dengan keluarga, persinggahan ke Disneyland Paris juga memberi peluang menginap di dalam 'istana' seperti keluarga di raja. Penginapan yang boleh dipilih di salah satu daripada tujuh Hotel Disney itu ditawarkan mengikut tema-tema tertentu.

Cuma harga yang perlu dibayar untuk merasai kemesraan layanan hotel bertaraf antarabangsa itu mungkin boleh 'mencederakan' perbelanjaan anda. Antara yang paling hampir dengan taman termasuk Magic Circus, Residence Du Parc, Park & Suites Prestige Val d’Europe, Relais Spa Cheesy.

Tiket satu hari untuk dewasa dijual pada harga kira-kira RM300 untuk dewasa dan RM270 untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun. Dengan hiburan tanpa henti, permainan berteknologi tinggi, hiasan kota fantasi dan kemeriahan watak Disney, harga yang dibayar tidaklah terlalu mahal.

Dengan segala tarikan yang menakjubkan itu, Disneyland Paris bukan sekadar tempat untuk berhibur malah membebaskan segala kerisauan yang bersarang di kepala.

TUCSON


Hyundai memperkenalkan model pertama Tucson di negara ini kira-kira enam tahun lalu. Berbanding pesaingnya seperti Honda CR-V, Ford Escape dan Toyota RAV-4, kenderaan utiliti sukan (SUV) itu boleh dikatakan sesuatu yang agak mudah dilupai.

Namun, Hyundai tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit. Pengeluar kenderaan keempat terbesar di dunia kemudian mengejutkan pasaran dengan penampilan model Sonata YF yang terus mengubah persepsi pada kenderaan jenama Korea itu.

Hyundai juga memberi tamparan hebat kepada reka bentuk jentera buatan Jepun dan Eropah. Dan terbaru, barisan produk Hyundai diperkemaskan dengan kelahiran generasi kedua Tucson, (disebut 'too-sawn').


Tucson terbaharu tampil dengan perubahan ketara berbanding model terdahulu, dengan mengemas kini reka bentuk, teknologi, kelebihan kuasa dan penjimatan bahan bakar.
Perubahan paling ketara boleh dilihat pada lingkungan aerodinamik dan reka bentuk fluid yang ditamatkan dengan gril depan berbentuk heksagon yang cukup kemas. Model yang diperbesarkan tiga inci lebih panjang dan seinci lebih lebar itu baru-baru ini dipilih sebagai pemenang dalam segmen SUV-C.

Di negara ini, Hyundai-Sime Darby Motors memasarkan tiga pilihan Tucson pada harga atas jalan RM126,400 (2.0 spesifikasi biasa), RM136,142 (2.0 spesifikasi tinggi) dan RM150,750 (2.4 spesifikasi tinggi). Setiap unit ditawarkan dengan bonus tambahan iaitu pemilikan jentera tanpa penyelenggaraan sepanjang hayat seperti beberapa lagi jentera Hyundai yang lain.

Tucson dipacu dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menghasilkan pemanduan lancar, tindak balas cekap yang memberikan lebih penjimatan. Transmisi shiftronic yang diguna pakai pada jentera ini dikatakan mampu menjimatkan kira-kira 25 peratus bahan bakar berbanding model lama.
 
Enjin Theta II 2.4 liter empat silinder itu mampu menghasilkan 176 kuasa kuda dan 168 tork. Dengan kuasa yang tidak kurang hebatnya untuk sebuah SUV, pecutan Tucson mampu mencapai 180 kilometer sejam. Bagaimanapun perlu difahami, SUV yang lengkap dengan teknologi ini lebih kepada pacuan bernilai dan bukannya untuk prestasi. 

Seperti Sonata, Tucson turut diperhebat dengan kemewahan sebuah sedan iaitu bumbung panorama yang berfungsi pada satu sentuhan butang. Selain itu, pengendalian jentera juga dipermudahkan lagi dengan pengesanan kunci bersensor (key-less entry) dan penghidupan dengan sentuhan butang ON/OFF.

Di kabin depan, kedudukan papan pemuka yang rendah memberikan sudut pandangan yang selesa dan luas. Pemandangan peribadi pemandu diperkemaskan dengan susunan butang-butang fungsi yang ringkas dan elegan. Keseronokan memandu juga dihiburkan dengan sistem stereo 160 watt yang disalur melalui enam pembesar suara yang menyokong format cakera audio, MP3 dan iPod.

Di bahagian belakang, Tucson memuaskan pemilik dengan kelebihan ruang kargo yang cukup luas untuk kegunaan sekeluarga. Untuk isian berganda, lipatan kerusi belakang pula cukup untuk memuatkan beberapa buah basikal.

Dengan jaminan perbatuan sehingga 300,000 kilometer, Tucson mampu milik ini boleh dipandu sejauh 164 kilometer setiap hari selama lima tahun tanpa kerisauan. Dengan segala ciri dan kelebihan, ia sesuai untuk kegunaan seorang pemandu eksekutif di bandar atau pemanduan lebih mencabar pada hujung minggu.

Jul 19, 2011

Turki - | Pertembungan Asia dan Eropah

Kehebatan tamadun Turki bermula lebih awal berbanding mana-mana kerajaan yang ada di dunia. Tanahnya pernah menjadi saksi jatuh dan bangunnya empayar-empayar terhebat seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.
Namun anda tidak akan sampai ke Turki jika terus membelek ketebalan sejarahnya. Cara terbaik untuk menyaksikan kehebatan itu adalah dengan terbang ke sana dan melihatnya sendiri.
Bagi yang mengagumi sejarah, Turki adalah destinasi terbaik untuk dilawati. Bahkan sehingga kini, khazanah yang tersimpan di perut buminya masih belum habis digali dengan purata 150 ekskavasi baru setiap tahun.
Turki yang mempunyai 10 bandar utama menawarkan seribu satu kepuasan khususnya keindahan seni bina lama, kehalusan budaya dan tarikan alam semula jadi.
Salah satu daripada kota yang paling dikunjungi di negara republik itu adalah Istanbul. Bandar di tepi Selat Bosphorus yang terletak di antara Laut Hitam dan Laut Marmara, bersempadan dengan Bulgaria dan Greece.
Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Konstantinopel dengan populasi 20 juta penduduk merupakan salah satu daripada bandar utama di Eropah. Bukan itu sahaja, ia juga satu daripada destinasi paling dikunjungi di dunia.
Tahun lalu, Kesatuan Eropah menobatkan 'jambatan' yang menghubungkan Eropah dan Asia Barat itu sebagai Pusat Kebudayaan Eropah sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan Turki.
Namun melawat Istanbul bukan semata-mata kerana tinggalan sejarahnya. Selain keindahan seni bina, ia juga dikunjungi kerana kehalusan budaya dan beraneka sajian makanan.

 

Salah satu daripada tarikan paling dikunjungi di Istanbul adalah Masjid Biru atau namanya Masjid Sultan Ahmed yang pernah menjadi pusat pentadbiran Khalifah Uthmaniyyah.
Dibina antara tahun 1609 hingga 1619, kehebatan seni bina Islam yang masih utuh berdiri itu adalah ikon pelancongan yang menghiasi poskad dan barang-barang cenderahati. Ia boleh dibezakan melalui enam batang menara berbentuk pensil dan kubah gergasi berwarna kelabu kebiruan.
Selain struktur yang gah, melawat Masjid Biru juga memberi peluang kepada pelancong menyaksikan keindahan hiasan dalaman yang dipenuhi kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran.
Masjid yang pernah menjadi simbol penyatuan rakyat itu merangkumi pelbagai kemudahan sosial termasuk hospital, kolej, perpustakaan, pasar, dapur dan makam keluarga.
Selain Masjid Biru, Istanbul juga dipenuhi dengan seni bina yang melambangkan kegemilangan Islam pada masa lampau. Antara tarikan lain di Istanbul termasuk Masjid Suleyman, Masjid Fethiye dan Muzium Aya Sofia yang pernah berfungsi sebagai masjid dan gereja.

Untuk melihat susunan kota Istanbul dan keindahan bandar yang melata disekelilingnya, pelancong boleh melawat Menara Galata yang terletak tidak jauh dari muka muara Golden Horn.
Menara setinggi 70 meter yang mempunyai bumbung berbentuk kon itu merupakan menara batu tertua di dunia yang juga antara tarikan utama di Istanbul. Dibina menggunakan kayu pada ketinggian 35 meter dari paras laut pada zaman Byzantine, ia diperkukuh semula dengan binaan batu pada 1348. Selepas penaklukan kerajaan Uthmaniyyah, Menara Galata dijadikan penjara sebelum berfungsi sebagai menara peninjauan bandar.
Dari puncak menara itu, pelawat boleh menyaksikan sebahagian besar daripada kota Istanbul yang mengadap muara Golden Horn antaranya Istana Topkapi, Masjid Biru, Masjid Suleyman, Aya Sopia, Masjid Yeni, Jambatan Galata dan Menara Beyazit.
Menara Galata beroperasi dengan dua lif yang membawa pelawat dari pintu masuk ke puncak menara yang turut dilengkapi restoran dan ruang tinjau. Istanbul sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan keagungan zaman pemerintahan Uthamaniyyah dan seni binanya. 
 
Salah satu daripada kehebatan itu adalah Istana Topkapi yang terletak tidak jauh dari tebingan Sungai Bophorus, sempadan antara dua benua. Selain menjadi bekas kediaman para pemerintah Khalifah Uthmaniyyah selama hampir 400 tahun (1465-1856), istana yang ditukar menjadi muzium oleh Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Attaturk itu turut menyimpan khazanah Islam yang tidak ternilai termasuk pedang dan kain mantel Nabi Muhammad. Pada masa kini, tarikan utama di situ dimeriahkan dengan penganjuran majlis kerajaan, keraian dan hiburan.
Istana berkeluasan 700,000 meter persegi yang dilindungi oleh tembok sepanjang lima kilometer mempunyai empat laman dan bangunan-bangunan kecil. Pada zamannya, Istana Topkapi memuatkan kira-kira 4,000 penghuni pada satu-satu masa.
Satu lagi cara terbaik untuk kembali ke zaman kegemilangan kota itu adalah dengan menaiki bot persiaran di sepanjang Sungai Bosphorus.
Menyusuri perairan tersebut menyajikan keindahan bandar yang dipenuhi struktur bersejarah seperti Istana Dolmabahce, Kubu Rumeli, Besiktas, Sariyer dan Kanlica.
Persiaran yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu akan singgah di Kubu Anadolu untuk sesi kunjungan dan makan tengah hari sebelum ia berakhir di Eminonu.

 
Selain keindahan kota, Istanbul juga dikenali dengan produk dan barangan tempatan seperti karpet, perhiasan, barang kemas dan rempah-ratus. Bazar Utama Kapali Carsi merupakan satu lagi tarikan wajib di Istanbul.
Bazar yang menempatkan kira-kira 4,000 gerai di kawasan meliputi 50 lorong itu menerima kira-kira suku hingga setengah juta pelawat setiap hari, menjadikannya antara yang terbesar di dunia.
Bazar Kapali Carsi dibuka oleh Sultan Mehmed II pada 1461. Keluasan bazar berkenaan boleh dibayangkan melalui penyediaan dua buah masjid di dalam kawasan itu, barisan restoran dan air pancut yang disediakan untuk istirehat.
Bagi yang tidak kisah mengembara lebih jauh ke bahagian tengah Turki, keunikan kawasan pergunungan Cappadocia juga antara pilihan yang menyajikan pelancong seribu kejutan.
Cappadocia merupakan penempatan masyarakat Persia kuno di lereng bukit yang dibina dengan cara menebuk batu untuk dijadikan kediaman.
Penempatan sejak dari Zaman Gangsa yang dikelilingi formasi batu berbentuk kon itu merupakan tarikan pelancongan paling popular di Anatolia, bahagian tengah Turki.

Jul 18, 2011

Shanghai syurga si pengembara

 
BERMULA dari hanya sebuah perkampungan nelayan kecil, Shanghai berkembang kepada sebuah bandar pelabuhan dan kini menjadi kota metropolitan yang paling pantas membangun di dunia. Peluang ke Shanghai baru-baru ini memberi peluang kepada say menyelongkar keindahan kota yang dipenuhi bangunan pencakar langit dan serba-sedikit sejarahnya.
Kepesatan dan keunikan Shanghai bukanlah sesuatu yang baharu dikenali tetapi telah lama dikagumi dunia sebagai pusat pertembungan budaya asing seperti Inggeris, Perancis dan Amerika.
Perkembangannya bermula selepas kekalahan China kepada Inggeris dalam Peperangan Candu pada 1842 yang memaksa China melepaskan kuasa pentadbiran di Shanghai.
Pentadbiran Shanghai kemudian diserahkan kepada lapan kuasa asing iaitu Inggeris, Jerman, Amerika, Itali, Perancis, Jepun, Austria dan Hungry.
Kawasan penempatan dan pentadbiran antarabangsa yang dibentuk melalui Perjanjian Pelabuhan kemudian menjadi titik tolak kepada pembangunan yang lebih terbuka dan maju sehingga hari ini.
Sebagai kota di mana undang-undang China tidak berkuasa, Shanghai menjadi tumpuan pengembara yang datang dari seluruh dunia untuk mencuba nasib. Dikatakan, 'kota kebebasan' itu menjadi syurga persembunyian pesalah yang melarikan diri dari pihak berkuasa.
Selain itu pembangunan yang rancak akibat kemasukan pedagang dari Timur dan Barat turut mengundang masalah apabila kebanyakan kawasan di kota itu bertukar menjadi sarang ahli-ahli kongsi gelap yang mengambil kesempatan terhadap para peniaga.
Suasana itu pernah digambarkan melalui drama popular, The Bund yang dilakonkan oleh Chow Yun Fat pada awal 80-an.
Pada masa kini, budaya samseng berkapak itu menjadi sebahagian daripada kebudayaan Shanghai yang dipertontonkan kepada pelancong melalui persembahan tarian dan fesyen.
Shanghai moden
Pada masa kini kota kedua terbesar di China yang didiami oleh lebih 23 juta penduduk itu dibahagikan kepada dua wilayah utama oleh Sungai Huangpu. Wilayah Pudong di sebelah timur dan Puxi di barat.
Peluang menetap di Hotel Gran Melia Shanghai yang terletak di tepi Sungai tersebut baru-baru ini memberi peluang kepada saya menyelongkar beberapa kawasan tumpuan pelancong di Pudong dan Puxi. Tarikan utama semestinya bangunan pencakar langit yang terletak tidak jauh dari situ. 
Untuk merakam keindahan kota berprestij itu, saya ke Waitan iaitu lokasi tumpuan pelancong untuk menaiki bot persiaran yang lebih dikenali dengan nama Inggerisnya, The Bund. Selain bangunan moden, kawasan tebingan sungai itu juga dihiasi keindahan bangunan zaman kolonial.
Pemandangan pada waktu malam dari atas bot memperlihatkan susunan bangunan yang dihiasi lampu neon berwarna-warni. Setiap bangunan juga berfungsi sebagai 'papan iklan' gergasi yang berubah warna dan imej sepanjang masa.
Berdiri paling gah di situ adalah tiga struktur paling tinggi di Shanghai iaitu Menara Oriental Pearl, Menara Jin Mao dan Pusat Kewangan Dunia. Pusat Kewangan Dunia setinggi 492 meter merupakan bangunan tertinggi di China dan ketiga di dunia.
Itulah Shanghai, kota yang dipenuhi dengan 'alat-alat permainan' kerajaan. Ia digambarkan sebagai bandar contoh republik itu seratus tahun akan datang. Landskap konkritnya pula berubah secara drastik setiap tiga tahun.
Selain pencakar langit, Shanghai juga memiliki rangkaian kereta api Maglev yang merupakan kereta api terpantas di dunia. Jika berpeluang ke sana, pecutan selaju 430 kilometer sejam itu mungkin antara pengalaman yang tidak ingin dilepaskan.
Bagi yang bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Beijing dari Shanghai, sistem rel magnetik yang dibangunkan oleh teknologi Jerman itu hanya memakan masa lima jam berbanding lapan jam sebelum ini. Kelancaran lalu lintas di bandar itu juga diurus teratur dengan enam terowong bawah sungai.
Namun pembangunan yang pesat bukanlah sesuatu yang dibanggakan oleh setiap penduduknya. Ungkapan yang paling popular di situ mengatakan 'Shanghai adalah syurga untuk si kaya dan neraka bagi si miskin'.
Kehidupan di kota serba mewah itu bukan sahaja memberi tekanan kepada yang berpendapatan rendah bahkan golongan yang berpendapatan sederhana turut tertekan dalam meneruskan kehidupan. Bayangkan jika harga sebuah pangsapuri bertaraf kos sederhana boleh mencecah harga jutaan Yuan.
Namun hakikatnya, peluang pekerjaan yang menanti di kota itu tetap menarik rakyat dari serata dunia untuk mencuba nasib.
Penulis juga berkesempatan ke lokasi pelancongan terkemuka iaitu Bandar Lama Shanghai (Yuyuan). Bagi yang tidak kisah berbelanja, Yuyuan adalah peluang terbaik untuk menikmati keenakan makanan cina di salah sebuah restoran paling popular di Shanghai, iaitu Restoran Lu Bo Lang.
Untuk kunjungan lebih bermakna, tetamu boleh menempah persembahan The Changing Face iaitu tarian opera seorang perwira yang menukar topeng sepantas kilat (sebanyak enam kali).
Di dinding restoran itu tertera gambar-gambar individu ternama yang pernah bertandang termasuk Fidel Castro, Bill Clinton, Queen Elizabeth dan ramai lagi.
Walaupun Shanghai sebuah bandar mahal, peluang untuk membeli-belah dengan harga yang berpatutan masih ada. Penulis ke pasar raya bawah tanah Plaza AP yang terletak di bawah laluan Metro 2. Di sini pelawat boleh mendapatkan barang-barang tiruan yang berkualiti.
Jangan terlalu teruja membayar kerana harga bagi setiap barang boleh dikurangkan lebih separuh daripada harga yang ditawarkan.

Jul 14, 2011

Ronnie Mohamad


Niat untuk bertemu dengan seorang pelukis ternama tanah air di Kompleks Kraftangan di Jalan Stonor baru-baru ini akhirnya beralih kepada seorang pelukis muda bernama Hairani Mohamad, 33, pemilik karya bertajuk Marhabban yang dilihat sebelum itu.
Hairani yang dikenali dengan nama pena, Ronnie Mohamad cukup ramah semasa didekati, kemesraan itu menepis prasangka bahawa orang seni biasanya hidup di dalam dunia sendiri dan sukar difahami.
Melihat gaya muda dan kasualnya, agak mudah untuk meneka pengalaman melukisnya tetapi tidak apabila melihat karya-karnyanya. Lukisan-lukisan yang tersusun di tempat kerja di situ jelas memperlihatkan kematangan bakat pelukis muda yang akan terus menyinar.
Bermula sebagai pelukis potret jalanan kira-kira 15 tahun lalu, karya Ronnie kini semakin dikenali khususnya melalui pameran yang diadakan di seluruh negara termasuk beberapa pameran di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Selain lukisan bertajuk Marhabban, tumpuan saya pada pertemuan itu turut tertumpu pada sekeping lukisan besar yang masih lagi berbalut. Di sebalik bungkusan plastik, kelihatan imej seorang lelaki yang sedang menadah tangan dan berdoa.
"Itu adalah Kepadamu Kekasih. Karya saya yang baru dipulangkan oleh Balai Seni Lukis Negara selepas pameran baru-baru ini," kata pelukis kelahiran Segamat, Johor itu.
Memperincikan minatnya dalam seni lukisan, Ronnie memilih wajah manusia sebagai fokus karya. Bagi bapa kepada dua anak itu, wajah manusia menyampaikan seribu pengertian dan membuka ruang terjemahan yang sangat luas.
Namun lakaran wajah yang dihasilkan beliau bukan sekadar lukisan potret biasa. Sejak beberapa tahun lalu, Ronnie beralih kepada konsep lukisan yang lebih bergaya kontemporari.
"Saya masih melukis potret tetapi apa yang saya lakukan sekarang berbeza dengan apa yang saya lukis dahulu.
"Sekarang lukisan saya lebih kepada potret yang mempunyai luahan dan ekspresi yang lebih ekstrem dan mendalam," jelasnya yang mengidolakan pelukis Ahmad Zaki dan Bayu Utomo Radjikin.
Nyata sekali karya-karya Ronnie mempunyai keunikan tersendiri. Ia jelas dilihat pada lakaran-lakaran kasar yang diperkemaskan dengan gosokan dan sentuhan yang halus dan rapi.
Berbeza dengan lukisan biasa yang dihasilkan dengan cat dan berus, lukisan hitam putih Ronnie dihasilkan menggunakan arang yang mempunyai kekuatan dan kedalaman yang tersendiri.
Namun begitu, cabaran lukisan arang jauh berbeza dengan kaedah lukisan biasa kerana penggunaan warna yang terhad.
"Saya hanya memiliki dua warna iaitu hitam pada arang dan putih pada kanvas. Tanpa warna-warna lain, saya memaksimumkan kreativiti untuk menghidupkan sesebuah lukisan," katanya.
Kesukaran teknik itu katanya adalah untuk mendapatkan kesan warna bagi membezakan sesuatu tekstur seperti pakaian, kulit manusia, besi, kayu dan sebagainya.
Menurut Ronnie, untuk menguasai kemahiran lukisan arang, seseorang pelukis harus menguasai dan memahami sifat bahan yang digunakan. Selain lakaran yang tepat, contengan comot turut dijadikan sebahagian proses penceritaan sesebuah lukisan.
Namun sebagai artis di dalam dunia penuh kreativiti, beliau tidak boleh terlalu bergantung kepada kebiasaan identiti. Ada masanya beliau mencuba sesuatu yang berlainan daripada biasa.
Dari kerusi melukisnya, Ronnie bangun untuk menunjukkan lukisan seorang lelaki Melayu berkeris yang sedang bersilat. Lukisan itu katanya antara karya terbaik kerana penggunaan teknik lukisan terbalik.
"Untuk lukisan ini saya warnakan seluruh permukaan kanvas dengan warna hitam, kemudian baru saya 'keluarkan' warna putih dan kelabu," katanya yang tidak pernah mendapat pendidikan formal di mana-mana institusi.
Dari RM45 kepada RM8,000
Hasil kegigihan dan kesungguhannya, Ronnie membuktikan pembabitannya secara serius di dalam bidang itu telah membawa pengiktirafan dan pulangan yang berbaloi.
Daripada lukisan potret yang dijual pada harga RM45 sekeping 15 tahun lalu, kini lukisan paling mahal Ronnie sudah hampir mencecah RM10,000.
"Dimarah dan dimaki hamun pelanggan sudah menjadi perkara biasa semasa saya mula-mula melukis dahulu.
"Dulu saya melukis mengikut kehendak orang tetapi sekarang orang mahukan lukisan mengikut gaya saya," katanya juga pernah melukis Pasar Seni Kuala Lumpur.
Dengan pasaran yang semakin positif, sambutan yang diterima kini juga berubah. Ronnie berkata, dengan gaya persembahan yang berindentiti sendiri pelukis dapat melebarkan pasaran dengan lebih luas.
"Seorang pengumpul lukisan pernah membeli empat lukisan saya secara serentak. Ada juga yang menggantung lukisan saya sebaris dengan karya Ahmad Zaki," katanya dengan penuh kepuasan.

Sydney

DIKELILINGI tebingan air yang indah, seni bina ikonik dan alam semula jadi yang menakjubkan, Sydney merupakan satu daripada pilihan percutian terbaik untuk dicuba.
Apa sahaja kecenderungan minat semasa melancong, bandar terbesar di Australia yang menduduki carta 10 kota terbaik untuk didiami itu mampu memenuhi segala kehendak percutian.
Kota metropolitan yang dipenuhi warna-warni festival, seni budaya, aneka selera makanan dan aktiviti yang cukup mendebarkan itu membawa masuk tidak kurang daripada 22 juta pelancong setiap tahun.
Sydney menawarkan banyak tempat menarik untuk dipilih. Seringkali disalah-anggap sebagai ibu negara Australia, Sydney merupakan tuan rumah kepada dua ikon paling hebat di bumi Australia iaitu Opera House dan Harbour Bridge. 
Tetapi kedua-duanya bukan semata-mata tarikan di Sydney. Bagi yang pertama kali menjejakkan kaki ke bumi di tenggara pulau Australia itu, kepelbagaian tarikan pasti membuatkan mereka rambang mata untuk memilih. Seperti biasa, tarikan utama adalah destinasi pertama yang harus dicuba dan tidak boleh dilepas pandang.


Opera House
Percutian ke Sydney sememangnya tidak akan lengkap tanpa menjenguk ke pusat seni kota yang menjadi tuan rumah kepada beribu-ribu persembahan bertaraf antarabangsa setiap tahun. Bahkan bangunan berbentuk cengkerang siput yang kita kenali sejak dari bangku sekolah itu boleh dikatakan sebagai objek paling sinonim dengan Sydney. Walaupun tidak mendapat tempat duduk di barisan teater berprestij itu, berdiri di depan kubahnya sahaja sudah cukup untuk mengabadikan kenangan.
Bangunan yang penuh dengan ciri-ciri futuristik dan bentuk geometri mengagumkan itu direka oleh arkitek Denmark, Jorn Utzon. Ia disiapkan pada 1973 dengan kos AS$70 juta dan dianggap satu daripada karya bangunan teragung pada kurun ke 20. Ia pernah memenangi anugerah seni bina paling berprestij iaitu Hadiah Pritzker. 
Opera House terletak dalam kawasan Sydney Harbour di Cicular Quay tidak jauh dari satu lagi struktur tarikan utama pelancongan Sydney iaitu Harbour Bridge. Di sepanjang laluan, pelancong boleh bersantai di restoran yang banyak terdapat di kawasan itu.

 
Harbour Bridge
Mendapat gelaran The Coat Hanger, jambatan besi setinggi bangunan 50 tingkat ini merupakan salah satu daripada seni bina terhebat di Australia selepas Opera House.
Jambatan berbentuk gerbang yang kelima terpanjang di dunia itu menempatkan landasan kereta api, jalan raya lapan lorong dan laluan jalan kaki yang tergantung pada ketinggian 134 meter dari permukaan air. 
Ia yang disiapkan pada 1932 merupakan struktur paling tinggi di Sydney sehingga 1967. Namun pengalaman di Harbour Bridge bukan sekadar untuk dilihat atau dipandu lalu. Pengunjung boleh mencuba pendakian Discovery ke puncak jambatan untuk menyaksikan keindahan panorama bandar Sydney. Selain itu, sebuah muzium yang menceritakan sejarah dan kehebatan kejuruteraan jambatan itu boleh dikunjungi di Pylon Lookout. 

Menara Sydney dan Skywalk
Berdiri pada ketinggian 260 meter dari paras laut adalah menara tertinggi di Australia yang dibuka pada Oktober 2005. Dengan memakai abah-abah, pelawat boleh berjalan di atas dek pemerhatian kaca yang mengunjur untuk mendapatkan pandangan 'mata burung' di bawah tapak kaki. Cabaran ini bagaimanapun tidak sesuai untuk mereka yang lemah semangat.
Dari atas menara, pelawat boleh melihat mengelilingi sudut 360 darjah. Dari situ, pelawat boleh melihat Stadium Olimpik Sydney, Muzium Maritim dan ikon-ikon lain.


Sydney Harbour
Malam atau siang, pengalaman di salah satu daripada pelabuhan tercantik di dunia itu sering digambarkan sebagai sesuatu yang ajaib sepanjang percutian di Sydney. Pelancong boleh mencuba feri persiaran atau menyaksikan matahari terbenam dari atas kapal layar di sekitar Sydney Harbour. Bagi yang inginkan lebih cabaran di perairan itu, mencuba pecutan bot laju juga menjanjikan pengalaman yang hebat.

Membeli-belah
Melancong ke mana-mana tidak lengkap tanpa peluang membeli-belah. Di Sydney, pelancong yang gemar berbelanja tiba di destinasi yang tepat dengan pilihan barangan fesyen terkini, produk terbaru, kraftangan dan cenderahati.
Barisan kedai butik di bandar Sydney, Paddington, Surry Hills, Bondi dan Newtown misalnya antara syurga membeli-belah kegemaran ramai. Bagi yang menggemari barangan dari pasar minggu, Paddy's Market berlangsung sepanjang Rabu hingga Ahad dan Rocks Market (Sabtu dan Ahad).
Tarikan luar kota
Di pinggir kota Siydney terdapat tarikan lain seperti Blue Mountains dan Port Stephens.
Blue Mountain yang terletak hanya satu setengah jam perjalanan dari Sydney merupakan taman negara yang tersenarai sebagai warisan dunia.
Di sini para pengunjung disajikan dengan keindahan flora dan fauna melalui pengalaman menaiki kereta api khas atau kereta kabel yang dikenali sebagai Scenic Skyway.
Satu lagi tarikan di pinggir kota Sydney ialah Port Stephens yang merupakan syurga untuk ikan lumba. Di sini pelancong boleh melihat lebih 160 ikan lumba-lumba dari spesies bottle-nosed.
Pantai di Port Stephen yang terkenal sebagai kawasan berpasir terbesar di hemisfera selatan itu juga boleh diterokai dengan kenderaan pacuan empat roda quad bike . Di sini pelacong akan dapat merasai tunggangan lasak merentasi bukit-bukit pasir yang digelar Sand Tobogganing. Bagi maklumat lanjut mengenai tarikan istimewa yang terdapat di sydney boleh layari www.australia.com.