Aug 4, 2011

Yang menanti di dasar laut



SETIAP tahun kira-kira 18,000 penyelam baru direkrut di negara ini menjadikan jumlah penyelam berdaftar kini dianggarkan seramai 120,000 orang. Peningkatan tahun demi tahun itu jelas membuktikan populariti dan sambutan terhadap rekreasi selam skuba.
Bagi yang bukan penyelam, ramai masih tertanya-tanya apakah keseronokan yang menanti mereka di dasar laut dan apa pula kelebihan menjadi seorang penyelam.
Keistimewaannya jelas. Memiliki nyawa 'kedua' membolehkan mereka (penyelam) meneroka dunia di bawah permukaan air yang selama ini cukup asing bagi manusia. Tarikannya adalah keindahan terumbu karang dan segala penghuninya.
Kehidupan laut menyajikan seribu satu keanehan pada pancaindera manusia. Malah peluang menikmati keharmonian alam yang sunyi tanpa bunyi itu juga adalah terapi terbaik untuk 'memutuskan' diri daripada beban dan masalah.
 Dasar laut yang dipenuhi batu karang berwarna-warni sememangnya cukup menghiburkan. Bagi penyelam baru keindahan seperti itu adalah pencetus keseronokan dan harus juga berwaspada kerana ia mungkin membawa kepada ketagihan.
Pada selaman peringkat permulaan, kedalaman mungkin dilakukan tidak melebihi 10 meter. Pada paras itu, pancaran cahaya yang menerangi terumbu biasanya memberi penyelam jarak penglihatan yang cukup baik.
Melintas riang di depan mata adalah ikan-ikan yang selama ini hanya dilihat di pasar. Namun melihat sendiri hidupan yang berenang bebas di habitat asal itu tentulah sesuatu yang sama sekali berbeza.
Kumpulan jenahak yang bersinar dengan kulit merah dan kuning adalah antara perarakan yang sering memeriahkan terumbu karang. Ikan bayan (parrotfish) juga antara yang paling menyerlah manakala spesies lain yang banyak ditemui pada kedalaman itu termasuk buntal, kerisi dan ikan kunyit.
Namun selam skuba bukanlah sekadar kepuasan melihat kerana banyak perkara yang harus dipelajari penyelam untuk memastikan selaman dilakukan dengan selamat. Selain itu, skuba juga mendedahkan penyelam dengan pelbagai perkara baru.
Daripada proses pembelajaran yang berterusan itulah datang keseronokan. Buktinya, penyelam biasanya mengenali lebih banyak hidupan di laut berbanding di darat. Proses menghafal dan merekod dilakukan melalui sesi pengenalan ikan (fish ID) setiap kali selepas menyelam.
Kadang-kala pembelajaran itu melibatkan perkara yang cukup mudah namun tidak pernah diambil peduli. Misalnya batu karang yang kelihatan seperti tumbuhan jarang diketahui bahawa ia sebenarnya adalah binatang. Sesetengahnya pula sangat sensitif kepada ancaman.
Oleh itu sebagai penyelam yang beretika, tiada sentuhan dibenarkan kerana himpunan karang itulah yang menyediakan lebih daripada separuh sumber makanan laut kepada kita.
Namun apa guna membelanjakan RM1,500 untuk sekeping sijil (selam skuba laut terbuka) jika hanya melihat benda yang sama boleh dilihat penyelam snorkel. Tutup hidung dan hembus nafas untuk turun ke paras lebih dalam. Pada kedalaman melebihi 10 meter tekanan mula bermain di telinga dan kadang-kala sangat menyakitkan.
Untuk mengintai apa yang ada di dasar, penyelam disyorkan menguasai teknik apungan bagi mengelak diri daripada melanggar batu karang yang hanya tumbuh beberapa sentimeter setahun. Imbuhan yang menanti di dasar adalah spesies-spesies lebih besar seperti ikan merah, gelama, kerapu dan pari.
Jika bernasib baik, penyelam mungkin dikejutkan dengan kibaran pari yang biasanya berselindung di celah-celah batu. Di antara spesies pari yang menjadi idaman untuk dilihat penyelam termasuk pari manta dan pari helang (eagleray) yang semakin sukar ditemui di perairan negara ini.
Namun bukan semua yang cantik itu selamat untuk dihampiri. Di laut, penyelam dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari ikan jebung (titan triggerfish) yang boleh menyerang dengan patukan bertubi-tubi.
Dikatakan patukan empat batang gigi yang bercerakah keluar dari mulutnya cukup untuk memecahkan cermin topeng selam. Oleh itu, berwaspadalah dengan sekeliling sepanjang masa.
Selain titan triggerfish, belut laut (moray eel) juga antara spesies jinak yang mungkin memberi ancaman. Ia jarang menyerang manusia tetapi berlaku beberapa kemalangan di mana tangan penyelam tembus akibat digigit.
Itulah sebahagian daripada cabaran dan risiko yang menanti penyelam. Jika selaman dilakukan dengan mematuhi peraturan, kemalangan mungkin dapat dielakkan.
Untuk penguasaan teknik yang lebih baik, penyelam mungkin mahu menaikkan taraf sijil ke peringkat lanjutan yang membolehkan mereka melakukan selaman sehingga 30 meter, selaman waktu malam dan selaman navigasi.
Apa perlunya? Ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab malah menjanjikan pengalaman yang lebih mencabar.
Melakukan selaman malam misalnya memperlihatkan kegelapan laut yang kelam tanpa cahaya. Kehidupannya lebih 'perlahan' dengan ikan-ikan yang lebih jinak. Ia juga menjadi waktu terbaik untuk mengintai spesies-spesies yang tidak kelihatan pada waktu siang seperti sotong, ketam dan udang.
Dengan menggunakan lampu suluh, penyelam bergerak mengikut arahan ketua selaman. Selain atmosfera yang gelap, penyelam juga diperkenalkan dengan isyarat tangan yang berbeza berbanding isyarat yang digunakan pada siang hari.
Apa lagi? Dengan kebenaran untuk turun sehingga 30 meter, penyelam juga berpeluang melakukan eksplorasi ke lokasi kapal karam. Di kawasan itu, rupa bentuk spesies yang ditemui mungkin lebih mengejutkan.
Stonefish, lionfish, frogfish dan robust pipefish adalah sebahagian daripada spesies yang banyak menghuni kerangka-kerangka kapal di perairan negara ini. Selain itu, ikan cencaru dan bawal telinga gajah (batfish) juga mudah ditemui di perairan negara ini.
Namun pertemuan dengan semua spesies itu bukanlah sesuatu yang boleh dicapai pada satu selaman. Ia juga bukanlah 'pertemuan kemuncak' bagi penyelam.
Pertemuan yang lebih bermakna adalah ikan yu paus yang membesar sehingga berpuluh meter panjang dan sekumpulan yu kepala tukul yang hanya boleh ditemui di lokasi selam eksotik seperti di Pulau Sipadan dan Terumbu Layang-Layang di Sabah.
Dua lokasi tersebut pula biasanya melibatkan selaman dalam sehingga melebihi paras 30 meter. 'Perhiasannya' pula adalah kawanan ikan seperti demuduk (trevally), gerepoh (GT), aji-aji (amberjack) dan alu-alu (barracuda) yang berenang secara berpusar seperti puting beliung.
Selepas 'bosan' dengan spesies -spesies besar dan mencuba pelbagai kategori selaman, penyelam mungkin mahu beralih kepada selaman makro untuk mengintai spesies-spesies halus.
Di negara ini, Pulau Mabul, Sabah memberi peluang kepada penyelam untuk melihat pelbagai spesies halus seperti kuda laut Denise yang mempunyai saiz hanya beberapa milimeter, ulat laut (nudybranch) dan pelbagai lagi.
Namun seperti juga kategori selaman lain, cabaran selaman makro terletak pada kesukaran mengesan spesies-spesies halus yang cukup pakar dalam teknik penyamaran. Selamat menyelam

No comments:

Post a Comment