May 8, 2011
Not a Thaipusam day
Apr 20, 2011
Keasyikan Kemboja
ASIA Tenggara menyajikan segala kepuasan bagi yang gemar melancong. Selain tarikan budaya, sejarah dan alam semula jadi yang menakjubkan, bonus terbesar yang boleh dinikmati pelancong di rantau ini adalah nilai mata wang yang rendah.
Kepuasan memilih destinasi kini diperhebatkan dengan tawaran tiket penerbangan yang semakin murah. Dengan sedikit perbelanjaan, percutian ke Kemboja misalnya antara yang menjanjikan pengalaman tidak dapat dilupakan.
Malah di kalangan pelancong antarabangsa, Kemboja telah lama dikenali sebagai destinasi paling popular di rantau ini. Bagi mereka, melancong ke Asia Tenggara tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke negara Angkor Wat yang mempunyai dua pintu masuk utama iaitu Phnom Penh dan Siem Reap.
Namun anda tidak mungkin menikmati segala keseronokan yang tersimpan di negara itu dengan hanya satu kunjungan. Bagi yang melawat buat kali pertama, tarikan yang menjadi keutamaan semestinya Angkor Wat di Siem Reap. Berdiri teguh sebagai satu daripada keajaiban dunia, kota purba berusia ribuan tahun itu menjadikan bahagian di barat laut negara itu lokasi persinggahan utama. Pintu masuk di Siem Reap mewakili lebih 50 peratus daripada kemasukan pelancong ke Kemboja.
Hal itu menjadikan tambang penerbangan (khususnya Air Asia) ke Siem Reap lebih mahal berbanding ke ibu kotanya, Phnom Penh. Bagaimanapun, mendarat di Phnom Penh tetap menjanjikan percutian yang menarik jika dilakukan dengan betul dan terancang.
Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, perkhidmatan teksi motosikal (tut-tut) boleh didapati pada harga kira-kira RM63 untuk ke pusat bandar. Jika bernasib baik, anda akan disapa oleh pemandu berketurunan Champa yang fasih berbahasa Melayu.
Kesibukan kota di pinggir Sungai Mekong itu bertali-arus dengan penunggang motosikal yang memberi gambaran awal cara hidup lebih dua juta masyarakat Khmer. Di bandar bekas jajahan Perancis itu, penginapan boleh didapati daripada harga RM30 hingga RM62 semalaman. Lokasi terbaik untuk bermalam mungkin di sepanjang persiaran Sisowath Quay yang mengadap Sungai Tonle Sap.
Pada hujung minggu, kemeriahan di kawasan waterfront itu berterusan sehingga lewat malam. Bagi yang ingin merasai kelainan berada di negara orang, hidangan eksotik seperti hidangan kala jengking, belalang, labah-labah, cengkerik dan ular boleh didapati pada harga beberapa dolar di sepanjang jalan utama itu.
Di celah-celah bandar yang penuh sesak itu, tumpuan pelancong adalah Istana Phnom Penh (Royal Palace), Pasar Seni, Pasar Rusia, Pagoda Perak dan Monumen Kemerdekaan. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk ke Wat Phnom, kuil di atas bukit yang memberi nama kepada bandar itu.

Di pinggir bandar Phnom Penh, Tapak Peringatan Choeung Ek atau Killing Field antara lokasi yang wajib dikunjungi. Sekolah yang dijadikan pusat tahanan rejim Pol Pot itu menempatkan kira-kira 8,000 tengkorak daripada tiga juta pembunuhan di seluruh Kemboja sekitar tahun 1975 hingga 1979.
Merentasi tasik terbesar
Dari Phnom Penh, penulis memilih perkhidmatan feri 'Angkor Express' ke Siem Reap yang berlepas pada pukul 7 pagi setiap hari. Walaupun terpaksa membayar AS$30 (RM108) termasuk tambang tut-tut, pengalaman merentasi sungai dan tasik Tonle Sap itu tidak mengecewakan.
Dengan kapasiti 90 penumpang, penumpang yang jemu di dalam kabin boleh memilih untuk 'berjemur' di luar dek sambil menyaksikan penempatan kampung di sepanjang sungai dan nelayan-nelayan yang gigih menangkap ikan. Jangan keliru, apa yang anda fikirkan laut itu sebenarnya adalah Tonle Sap, tasik terbesar di Asia Tenggara.
Kami tiba di Siem Reap selepas enam jam. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa empat jam tergendala ekoran paras air tasik yang rendah menghalang bot daripada dipandu laju. Harus diingat, perkhidmatan feri tersebut tidak disediakan pada musim kemarau (pertengahan tahun).
Dari jeti di Siem Reap, perjalanan menaiki tut-tut ke pusat bandar memakan masa kira-kira setengah jam. Adalah lebih mudah dan murah sekiranya tiket tut-tut dibayar bersama dengan tambang feri dari Phnom Penh.
Siem Reap, bandar wilayah Angkor yang pernah menjadi pusat pemerintahan Khmer sebagai destinasi paling popular menawarkan penginapan dan tempat makan pada harga yang berpatutan, mungkin sedikit mahal berbanding Phnom Penh. Begitu juga dengan restoran halal yang boleh ditemui dengan mudah.
Tidak perlu bercerita panjang mengenai keistimewaan Angkor Wat kerana maklumat mengenai seni bina dan sejarah empayar Khmer itu boleh didapati dengan mudah. Namun, lawatan ke mega monumen itu tidak dinafikan adalah kemuncak percutian di kemboja.

Kunjungan ke Angkor Wat boleh dimulakan dengan mendapatkan pas lawatan sehari yang berharga AS$20 (RM62). Walaupun dinamakan pas lawatan sehari, ia boleh digunakan lebih awal (pada petang hari sebelum tarikh) untuk menyaksikan pemandangan matahari tenggelam yang biasanya dilakukan di Phnom Bakheng.
Keesokan harinya, kunjungan ke Angkor Wat (kuil utama) dibuka seawal 5 pagi. Kuil terbesar itu sering menjadi pilihan sebagai lokasi pertama yang menyajikan pemandangan matahari terbit cukup indah.
Cuma ingatan bagi yang ingin bersarapan pada awal pagi di gerai tepi jalan berdepan dengan Angkot Wat, jangan lupa bertanyakan harga kerana anda mungkin terpaksa membelanjakan RM35 untuk segelas kopi dan sekeping roti Perancis!
Selain Angkor Wat, beberapa candi yang berbaloi dilawati adalah Bayon, Phnom Bakheng, Pre Rup, Elephants Terrace dan Angkor Thom yang menjadi lokasi penggambaran filem Tomb Raider. Namun bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain bukan sahaja memerlukan waktu lawatan yang panjang bahkan menuntut lebih stamina, terutama untuk mendaki tangga dan bongkah batu yang disusun tinggi.
Oleh itu, cara terbaik untuk bergerak adalah dengan menyewa tut-tut selama sehari dengan bayaran kira-kira AS$18 (RM55).

Secara keseluruhan, Angkor Wat sememangnya mempersonakan dari pelbagai segi. Tempat yang sesak dengan pelawat dari seluruh dunia. Selain pelancongan, kesungguhan kerajaan Kemboja dalam usaha pemuliharaan Angkor juga dapat dilihat melalui kerja pembaikan semula struktur-struktur yang sudah lemah dimakan zaman.
Saya tidak menghabiskan banyak masa menyelongkar Siem Reap namun dari pengamatan kasar, pelancongan jelas telah banyak membantu penduduk bandar itu. Bahkan dengan pembangunan yang lebih rancak berbanding Phnom Penh, Siem Reap boleh dikatakan bergantung sepenuhnya pada industri tersebut.
Bagi yang membeli tiket penerbangan pulang dari Phnom Penh, pengangkutan jalan darat ke Phnom Penh menaiki van selama empat jam boleh didapati pada harga AS$10 (RM31).

Brisbane atau Bris Vegas
BRISBANE mungkin tidak sesibuk Sydney dan Melbourne namu kota ketiga terbesar di Australia yang mempunyai populasi dua juta penduduk ini dipenuhi dengan tarikan bandar dan alam. Bandar di celah-celah liku Sungai Brisbane itu juga merupakan antara bandar-bandar di Australia yang membangun pesat daripada industri pelancongan.
Di kalangan penduduk Australia, Brisbane dikenali sebagai Bris Vegas, kota yang 'disenangi' dari segi gaya hidup dan kepesatan bandar yang sederhana dan terancang. Dengan pelbagai tarikan yang terletak tidak jauh antara satu sama lain, pelancong tidak perlu berkejar ke sana ke mari ketika melawat Brisbane .
Kota pinggir sungai itu menawarkan banyak lokasi santai untuk dikerumuni seperti taman-taman haiwan dan rekreasi, pusat kebudayaan, premis hiburan, restoran dan pusat membeli-belah. Tarikan termasuk Taman Botanik Brisbane (Mt. Cook-tha) yang menyajikan pemandangan indah kota Brisbane , Roma Street Parkland iaitu taman tropika di dalam bandar terbesar di dunia, South Bank Parklands, Taman Hutan Brisbane , Pelabuhan Portside dan beberapa buah muzium yang berbaloi dilawati.
Selain itu, tarikan utama adalah keindahan landskap kota yang terletak di sebelah utara Sungai Brisbane . Wilayah yang dinamakan Daerah Pusat Perniagaan Brisbane (CBD) itu adalah nadi pembangunan bandar.
Pemandangan lebih menakjubkan menanti jika anda turun ke pinggir Sungai Brisbane pada waktu malam untuk melihat kemeriahan simbahan cahaya pada bangunan-bangunan pencakar langit dan lampu-lampu neon yang menghiasi bandar.
Untuk lebih kepuasan, jelajah bandar pada waktu malam dengan menaiki bas juga boleh dicuba.
Pelawat boleh mendapatkan perkhidmatan bas di dalam bandar sebelum dipandu ke beberapa lokasi strategik termasuk menyeberangi Jambatan Captain Cook sebelum berakhir di Jalan Adelaide.
Bagi yang gemar menyaksikan keindahan malam tanpa bergerak, susunan bistro, restoran dan pub yang memenuhi South Bank boleh menjadi persinggahan yang baik. Tidak cukup dengan minuman di meja, mereka yang ingin menghidupkan suasana malam boleh melawat pusat-pusat hiburan yang berlambak di Bris Vegas.
Untuk mewarnai memori berlibur di Brisbane , jangan lepaskan peluang untuk mendekati keunikan haiwan comel seperti koala dan kanggaru di Santuari Koala Lone Pine yang dibuka sejak 1927. Pusat pemeliharaan koala pertama di dunia itu boleh dikunjungi dengan menaiki pengangkutan awam selama kira-kira setengah jam.
Jika ingin mendapatkan cendera hati untuk ahli keluarga dan rakan, Bazar South Bank di Plaza Stanley Street menawarkan pelbagai barang pada harga yang amat berpatutan kecuali barang-barang buatan tangan. Pasar yang dibuka setiap hujung minggu bermula pada malam Jumaat itu juga dipenuhi dengan restoran dan pusat-pusat hiburan.
Selain pasar lambak, pinggir sungai di South Bank itu juga popular sebagai lokasi berlangsungnya satu daripada festival terpenting di bandar itu. Festival yang berterusan selama seminggu pada September setiap tahun itu popular dengan persembahan bunga api meganya yang menerangi seluruh bandar.
Bagi yang tidak berpeluang menyelongkar ke seluruh Brisbane , menyaksikan keindahan bangunan bersejarah yang dibina oleh banduan-banduan Inggeris di wilayah metropolitan itu juga berbaloi.
Daripada sebuah bandar tempat pembuangan pesalah dan banduan dari New South Wales (Selatan Queensland), wajah Brisbane kini sudah jauh berubah. KEHIDUPAN bandar di tepi sungai yang tidak pernah sunyi dengan hiburan dan tarikan.
Mar 24, 2011
Sun Paradise
MENGHABISKAN masa di kolam renang sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakat kota pada hari ini sama ada untuk kecergasan ataupun riadah bersama keluarga.
Berenang sememangnya menyeronokkan tetapi tidak dengan pakaian harian. Di kebanyakan kolam renang awam, pakaian seperti kemeja-T dan seluar trek tidak lagi dibenarkan. Bagi yang gemarkan sukan itu pakaian renang sudah menjadi satu keperluan.
Penulis ke pusat sehenti kelengkapan sukan akuatik Sun Paradise untuk mendapatkan panduan pemilihan pakaian renang. Pusat jualan di Pavilion KL itu menawarkan pelbagai produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan.
Pengurus Jualan Sun Paradise , Lee Chun Hooi berkata, pakaian renang direka bukan hanya untuk dipakai semasa pertandingan. Ia memberi banyak kelebihan yang diperlukan semasa berada di dalam air dengan meningkatkan daya apungan, lebih fleksibel, kurang menyerap peluh dan lebih ringan.
"Namun begitu masih ramai yang enggan mengenakan pakaian renang atas alasan rekaan yang ketat itu terlalu seksi. Sebahagian lagi tidak begitu memahami faedah daripada pakaian renang itu sendiri,'' katanya.
Memberi contoh pakaian renang yang berkualiti, beliau mengesyorkan baju dan seluar renang yang diperbuat daripada lycra iaitu sejenis gentian spandeks yang menggantikan penggunaan nilon pada pakaian renang terdahulu.
Jelas beliau, bagi perenang lelaki, pakaian renang jenama Arena misalnya menawarkan pelbagai jenis baju dan seluar yang diperbuat daripada lycra dengan teknologi terkini.
"Lycra adalah bahan yang ringan dan mengurangkan geseran semasa berada di dalam air, sekali gus meningkatkan kepantasan berenang.
"Sehelai seluar pendek Arena boleh didapati pada harga RM69. Bagi yang memerlukan perlindungan badan, sehelai baju lycra boleh didapati pada harga RM89,'' katanya.
Pakaian untuk muslimah
Jika pakaian yang ketat menjadi isu bagi sesetengah kaum lelaki, keadaan lebih teruk dihadapi oleh wanita. Ia adalah punca utama wanita di negara ini kurang melibatkan diri di dalam sukan akuatik, khususnya wanita Islam.

Chun Hooi berkata, Sun Paradise memahami keperluan muslimah yang terpaksa memendam keinginan untuk mandi di kawasan awam kerana ketiadaan pakaian yang sesuai.
"Kaum muslimah berhak menikmati gaya hidup sukan akuatik sama ada di kolam renang, kawasan air terjun dan semasa bercuti di pulau.
"Ia adalah pakaian terbaik untuk menggantikan seluar trek dan kemeja-T yang berat dan menghalang pergerakan semasa di dalam air," katanya.
Seperti pakaian lelaki, fesyen burkini itu juga dihasilkan daripada lycra yang melepasi piawaian kualiti dari Jepun. Rekaan seperti jubah direka tidak terlalu ketat dengan butang berkunci yang menghalang pakaian daripada terselak semasa berada di dalam air.
Di Sun Paradise , pakaian renang muslimah yang lengkap (baju, seluar dan tudung) boleh didapati pada harga RM200 hingga RM400 dengan pelbagai corak dan saiz. Selain untuk berenang, ia juga selesa untuk dipakai semasa bersenam.
Bagi wanita yang inginkan pakaian renang lebih ringkas, produk Arena menawarkan pakaian sepaless yang menggunakan konsep cantuman dari dalam.
Rekaan bergaya yang menggabungkan bahagian atas (baju) dan bawah (kain) itu popular khususnya di kalangan wanita berusia 20-an hingga 30-an di negara ini.
Baju renang kanak-kanak
UNTUK kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa di kolam, pakaian yang menutupi seluruh anggota badan adalah perlindungan terbaik.
Selain menutup kulit daripada panas terik, satu lagi perlindungan penting semasa mereka berendam adalah pakaian yang tebal. Baju dan seluar daripada neoprene iaitu getah sintetik dengan ketebalan 1.5 milimeter adalah pilihan yang ideal. Ketebalan dapat menambah daya apungan yang membantu kanak-kanak selesa di dalam air.
Di Sun Paradise , Arena menawarkan pelbagai kategori pakaian kanak-kanak seperti sut badan penuh, sut lengan pendek, seluar panjang dan seluar pendek untuk kanak-kanak dari usia dua hingga 16 tahun dengan pelbagai pilihan warna dan corak bunga.
Gogal
SELAIN memberikan penglihatan yang jelas di dalam air, penggunaan gogal juga penting untuk melindungi mata daripada air kolam yang tidak diketahui tahap kebersihannya.
Gogal Arena menggunakan teknologi yang mengurangkan penyimpangan cahaya, memberi penglihatan lebih tepat dan tidak memudaratkan penglihatan. Selain itu, gogal Arena juga dilengkapi teknologi anti-kabus dan anti bakteria yang mengelakkan alergi.
Bagi yang mementingkan prestasi, Arena menawarkan gogal berlensa untuk kegunaan mereka rabun. Dari segi prestasi, ia hampir menyamai kaca mata biasa.
Arena menawarkan pelbagai jenis gogal renang. Untuk pertandingan, penggunaan gogal dengan soket mata yang kecil lebih bersesuaian kerana faktor aerodinamiknya. Untuk lebih santai, gogal bersudut luas memberi darjah penglihatan yang lebih lebar.
Gogal yang baik diperbuat daripada poli-karbonat. Ia tidak boleh pecah melalui kemalangan biasa. Manakala gogal tidak berkualiti boleh mendatangkan kecederaan apabila ia pecah. Cukup bahaya untuk kegunaan kanak-kanak yang sentiasa berkejaran.
Untuk kegunaan kanak-kanak, gogal dengan soket mata berkusyen lembut dan tebal dapat mengelakkan kesakitan mata akibat pemakaian gogal yang ketat.
Untuk memaksimumkan fungsi, elakkan mencelup gogal ke dalam air kolam sebelum atau selepas berenang kerana air kolam boleh menjadikannya lebih kotor dan masalah berkabus.
Topi renang
SELAIN baju dan seluar renang, pemakaian topi renang juga antara alat yang semakin kerap dikuatkuasakan. Di kalangan mereka yang aktif berenang, pemakaian topi renang adalah satu kemestian.
Ia melindungi rambut daripada air klorin yang menyebabkan rambut kesat dan kekuningan. Selain itu, ia juga mengelakkan minyak pada rambut mencemari air kolam.
Antara perlindungan lain yang mungkin diperlukan untuk mereka yang kerap menghabiskan masa di kolam renang atau di pantai termasuk juga krim penghalang sinaran matahari ( sun block) yang melembapkan kulit dan melindungi daripada pancaran ultraungu.
Mar 8, 2011
Hyundai Sonata YF
SETIAP kali berpeluang menguji kenderaan Korea, saya tidak mempunyai banyak pilihan melainkan mengakui nilai dan kehebatannya. Kepercayaan itu mungkin masih lagi satu stigma di negara ini, namun kini ketaksuban umum terhadap jenama Jepun mula terhakis sekaligus memberi ruang kepada Kia dan Hyundai untuk menonjol. Suatu ketika dahulu tiada pemandu yang mengenali jenama Korea tetapi mereka kini terus menguasai jalanan malah sudah muncul sebagai pengeluar keempat terbesar dunia. Sebagai pengeluar global yang mewakili jenama kebangsaan Korea, tiada alasan mengapa mereka tidak berusaha menghasilkan yang terbaik (dari segenap aspek) untuk mengalahkan saingan dari Jepun. Ya penerimaannya mungkin sedikit lewat di Malaysia. Itu yang kita akui. Di peringkat antarabangsa, Kia dan Hyundai sudah lama diterima oleh pasaran matang seperti di Amerika Utara dan India. Suka atau tidak itulah hakikatnya. Kini keyakinan semakin bertambah apabila kedua-duanya muncul sebagai jenama yang sering dikaitkan dengan rekaan cantik. Walaupun tidak setanding dengan Mercedes, Audi dan BMW, mereka sudahpun berada di tangga teratas di dalam kelas kebanyakan. Sekarang anda mungkin terfikirkan rekaan Sorento dan Tucson yang memenuhi citarasa. Kedua-duanya tampil dengan rekaan masa depan. Jika anda tidak menggemari sebuah SUV, bagaimana pula dengan sedan eksklusif seperti Sonata . Hyundai (nama kod YF) adalah keluaran generasi keenam Sonata . Model 2011 itu kini menjadi wajah baru yang mencuri tumpuan sesiapa sahaja. Dengan identiti yang tersendiri, Sonata membuktikan rekaan kenderaan Jepun tidak seharusnya sentiasa berada di hadapan. Yang pasti, perubahan pada saloon bersaiz pertengahan itu adalah sesuatu yang terlalu menonjol. Jika dibandingkan dengan model terdahulu, mereka seolah-olah lahir dari kandungan berlainan. Dari segi saiz, Sonata YF kini lebih panjang dan lebar menampilkan imej eksklusif yang begitu elegan. Rekaan depan yang diilhamkan daripada kelopak bunga orkid menghasilkan kelainan yang beridentiti. Konsep seni reka keseluruhan dibangunkan dengan gabungan elemen semula jadi menggunakan permukaan yang dinamik dan struktur badan yang tegap, mewujudkan gambaran seolah-olah ia sentiasa bergerak. Seperti diakui ramai, pandangan sisi dan belakang begitu mirip dengan Mercedes-Benz CLS. Sememangnya itu yang cuba dihasilkan oleh Pengurus Rekaan Kreatif Hyundai, Casey Hyun. Malah dari sudut berbeza, ia juga disamakan dengan Volkswagen Passat. Jimat dan lancar Sonata YF ditawarkan dengan pilihan enjin Theta II 2.0 dan 2.4 liter yang dikatakan terbaik dalam kelasnya pada banyak aspek. Satu daripadanya adalah penjimatan bahan api. Enjin ini dilengkapi mekanisme jadual injap berubah-rubah pada injap ekzos dan kebok udara. Enjin Sonata memanfaatkan teknologi suntikan terus yang sebelum ini digunakan pada jenama-jenama premium seperti Audi dan Porshe. Kelebihan itu memberikannya lebih kuasa dengan penjimatan bahan petrol. Penggunaan bahan bakar kereta ini adalah pada purata 9.4 liter untuk perjalanan 100 kilometer (km) di dalam bandar manakala 5.7 liter di lebuh raya. Di Amerika Syarikat, ia dinobatkan sebagai model paling efisien dari segi penggunaan bahan bakar. Prestasi sebenar jentera ini pada sesi pandu uji dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu sejauh 460 km pada hujung minggu lalu begitu memuaskan. Isian satu tangki penuh mencatatkan jarak perbatuan melebihi 650 km. Semasa saya tiba di destinasi, meter digital menunjukkan baki minyak masih pada paras melebihi suku isian. Enjin empat silinder model 2.4 liter itu menjana 131 kW pada 6,000 rpm dengan kuasa kilas 229 Nm pada 4,000 rpm. Itu bermaksud, larian di laluan berselekoh Lebuh Raya Karak dapat diselesaikan dengan mudah. Transmisi enam kelajuan dengan pilihan penukaran gear secara manual juga mudah digunakan. Berada selari dengan paras lutut, ia memberikan keselesaan menukar gear tanpa capaian yang jauh. Namun begitu, keselesaan kereta ini bukan sahaja pada kuasanya. Tempat duduk berbalut kulit yang boleh dikawal secara elektronik juga tidak sesekali menyebabkan lenguh walaupun untuk perjalanan sejauh itu. Pemanduan dipermudahkan dengan fungsi pelayaran auto (auto cruise). Bukan sahaja memberi peluang kepada kaki untuk berehat daripada tugas menekan pedal minyak malah membantu menetapkan kelajuan seperti yang dikehendaki. Satu lagi ciri menarik yang ditawarkan adalah penghembus udara panas untuk mengatasi kesejukan daripada pendingin hawa, terutama ketika hari hujan. Sonata melalui proses penambahbaikan bahagian dalaman yang hebat. Di bahagian kokpit misalnya, rekaan dibina begitu mirip dengan kemewahan model-model Volvo. Gaya eksklusif diperhebatkan lagi dengan permukaan dashboard berwarna hitam dan lengkungan panel kawalan pusat berwarna perak. Paparan meter menggunakan warna biru dan putih pula menghasilkan penataan cahaya futuristik pada waktu malam. Di bahagian belakang, keselesaan tempat duduk penumpang bukan hanya pada ruang kaki yang luas malah disempurnakan dengan satu lagi cerobong pendingin hawa. Cukup eksklusif! Cuma satu perkara yang agak janggal dapat dirasakan semasa memandu uji kereta ini adalah pergerakan badan atau olengan yang agak kasar semasa mengambil selekoh secara laju. Namun semasa menukar laluan dari kiri ke kanan, ia tidak dapat dirasai. Hal itu mungkin disebabkan oleh pemasangan sistem suspensi yang lebih keras (MacPherson) seperti yang dijelaskan di dalam spesifikasi produk. Di Malaysia, Hyundai diimport sepenuhnya oleh Hyundai Sime Darby Motors (HSDM). Di pasaran, ia berada pada segmen yang sama dengan Toyota Camry dan Honda Accord. Selain ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding model saingan, Sonata didakwa Hyundai sebagai model bebas penyelenggaraan di mana pengguna tidak perlu menukar minyak gear jika kereta dipandu dalam keadaan biasa tanpa banyak pendakian. Ujian kilang mengesahkan transmisi mampu bertahan sekurang-kurangnya untuk 300,000 km pemanduan. Jika anda masih mempunyai stigma pada jenama Korea, luangkan masa anda untuk memandu uji dan mencuba sendiri model ini. Persepsi anda mungkin berubah. Harga atas jalan (tanpa insurans) bagi Hyundai Sonata YF 2.0 liter (standard) adalah RM132,220 manakala RM140,000 untuk spesifikasi lebih tinggi manakala harga untuk Sonata YF 2.4 adalah 159,491. |
Canon PowerShot Pro S95
![]() |
| Control ring yang memudahkan kawalan kamera. |
Feb 18, 2011
Fotografi Burung
![]() |
| Radhafizal (paling kanan) bersama rakan2 memburungnya. |
Kisah bagaimana dia bermandi darah selepas diserang pacat dan nyamuk pada minggu yang lalu. Di pinggir hutan, dia berdiri kaku selama beberapa jam menantikan sesuatu yang ajaib melintasi lensa kameranya.
Kelincahan gerak tari dan keindahan hiasan bulu berwarna-warni akhirnya muncul bersama bunyi-bunyi yang lunak. Pada hari itu, Ahmad Radhafizal Che Kassim, 34, tidak pulang dengan tangan kosong. Gambar burung Raja Udang menyepit belalang yang dirakam berjaya mengukir senyuman pada wajah guru Bahasa Inggeris itu.
Kepuasan pada petang itu terbalas, sama seperti ketika dia melihat murid-muridnya cemerlang dalam peperiksaan.
"Burung adalah haiwan cantik yang menghiburkan kita dengan warna yang menarik. Melihat kelibatnya sahaja sudah cukup untuk menghiburkan hati.
"Bagi saya ia adalah haiwan yang cukup istimewa," luah guru Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu di Prai, Pulau Pinang itu.
Minat Radhafizal merakam gambar burung bermula beberapa tahun lalu selepas tertarik dengan keunikan beberapa spesies di sekitar rumahnya di Seberang Prai, lantas dijadikan fokus baru untuk dunia fotografinya.
"Dengan kapasiti lensa zum biasa yang saya miliki ketika itu, percubaan saya tidak begitu memuaskan.
"Warna-warna bulu yang berseri itu cukup menarik kalau dapat dilihat pada jarak yang lebih dekat,"ujarnya.
Dengan pelaburan tambahan kira-kira RM4,500 untuk kamera Nikon D90 yang dimilikinya, Radhafizal kemudian mendapatkan lensa telefoto (150-500mm) untuk hasil yang lebih mantap.
Lensa 500mm itu adalah senjata baru yang menjanjikan jarak fokus lebih dekat. Ia boleh dikatakan keperluan asas bagi penggemar fotografi burung.
"Untuk gambar yang lebih 'serius', lensa 600mm dengan bukaan lebih besar boleh mencecah harga seperti membeli sebuah kereta," tambahnya.
Bagaimanapun, merakam subjek yang terbang bebas itu bukan hanya bergantung pada peralatan yang mahal bahkan turut menuntut kemahiran dan ketekunan.
"Jurugambar burung harus mengenali peralatan yang digunakan untuk memastikan kecekapan di hujung jari.
"Begitu juga dengan tumpuan yang perlu diberikan. Aksi yang menarik boleh terlepas dalam sekelip mata bagi mereka yang leka,"katanya.

Sememangnya juga, fotografi tidak lengkap jika tidak memperkatakan soal pencahayaan. Sebagai unsur paling penting pada gambar, pencahayaan merupakan satu lagi cabaran yang harus dilalui.
"Habitat burung liar di hutan dan semak yang gelap biasanya menyukarkan kamera untuk menangkap pergerakan yang lincah.
"Selain itu rakaman boleh menjadi cukup sukar apabila dilakukan bertentangan dengan pancaran matahari," jelasnya.
Sementara itu, pemburuan gambar unggas liar yang baik juga menuntut seseorang menjelajah jauh ke lokasi terpencil dan menunggu dengan sabar untuk mendapatkan 'aksi' yang baik. Satu daripada kawasan kegemaran Radhafizal dan rakan-rakannya untuk 'menembak' burung pada masa kini adalah di Estet Byram atau lebih dikenali dengan nama Pulau Burung di Nibong Tebal.
Koleksi gambar burung dan serangga yang dirakam oleh Radhafizal boleh dilihat di laman web www.outdoorgraphy.org.
Feb 11, 2011
Permaisuri Resort Port Dickson

TIADA unsur alam di dunia ini yang dapat mengatasi kehebatan kuasa terapi yang dimiliki oleh laut dan pantai. Pertemuan di antara kedua-duanya memberi seribu satu ketenangan.
Meskipun ada kalanya ia dianggap sebagai lawan, kita lebih mengenalinya sebagai peneman. Deruan air dan hembusan bayu yang dilepaskan adalah rawatan terbaik yang dapat merungkaikan setiap daripada kecelaruan.
Itulah antara sebab mengapa lokasi percutian tepi pantai terus diminati bahkan menjadi destinasi pelancongan paling popular di negara ini dan juga di dunia umumnya.
Namun untuk mendapatkan tempat seperti yang tergambar di fikiran anda sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi penghuni kota, ia tidak mungkin dinikmati tanpa memandu seharian di jalanan.
Terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuala Lumpur dan 15 minit perjalanan berkereta dari pantai percutian Teluk Kemang, Permaisuri Resort merupakan syurga baru di antara puluhan lokasi percutian di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.
Terasing dari kelompok penginapan yang lain, Permaisuri Resort yang memulakan operasi pada akhir 2009 menawarkan pengalaman percutian unik dan tersendiri bagi mereka yang bertandang ke daerah pelancongan tersohor itu.
Keistimewaan resort hotel itu adalah pilihan 100 unit penginapan yang kesemuanya dibina mengadap ketenangan laut di Tanjung Biru. Kemewahan bilik dikategorikan kepada pangsapuri tiga dan satu bilik, studio dan bilik eksklusif bertaraf kenamaan (VIP).
Ketibaan saya bersama tiga orang rakan ke Permaisuri Resort baru-baru ini disambut mesra oleh kakitangan di lobi resort. Walaupun menerima tetamu yang agak ramai pada hujung minggu itu, ruang letak kereta masih tersedia pada jarak yang dekat bagi setiap tetamu.
Semasa berdiri di kaunter sementara menunggu urusan pendaftaran masuk dilakukan, biasan air laut yang berkilau-kilau di sebalik celahan pohon rhu pantas ditangkap oleh anak mata. Dan tanpa banyak berlengah, lif terus membawa kami ke tingkat tujuh untuk menjenguk ke unit pangsapuri tiga bilik yang bakal menjadi kediaman selama tiga hari dua malam.
Langkah pertama selepas menyelak daun pintu unit itu disambut oleh ruang dapur yang ringkas tetapi cukup luas untuk kegunaan satu keluarga. Dari penghujung dapur, ruang dalaman rumah dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu ruang makan malam dan ruang tamu.
Meskipun terlalu banyak perkara menarik yang boleh diperhatikan sama ada di lantai dan yang tergantung di dinding, hati ketika itu lebih teruja untuk memeriksa bilik tidur. Bilik tidur utama yang dilengkapi bilik air sendiri sememangnya luas. Bahkan cukup selesa untuk tambahan seorang kanak-kanak.
Begitu juga dengan keluasan dua lagi bilik yang langsung tidak mengecewakan. Luas seperti bilik hotel empat bintang. Penghuni cuma perlu berkongsi bilik air yang terletak di bahagian tengah rumah. Di ruang tamu yang menempatkan televisyen LCD, penghuni disediakan sofa untuk empat orang. Di belakangnya, meja makan malam selesa untuk enam orang.
Dari beranda yang luas, pemandangan disajikan dengan pertemuan kaki langit dengan lautan yang luas membiru. Di bahagian bawah, halaman resort dihiasi kolam renang untuk keceriaan seisi keluarga.
Jika waktu pagi disempurnakan dengan pemandangan matahari terbit, sebelah malamnya penghuni boleh menyaksikan pancaran cahaya yang berputar-putar dari rumah api Tanjung Tuan.
Mengambil kira keluasan unit yang diberikan tanpa rasa kedekut itu, penginapan di unit berharga RM580 semalaman berserta makan pagi untuk enam orang itu cukup berbaloi dan selesa. Selain kamar yang mengadap laut, percutian di resort itu disempurnakan dengan sebuah kolam renang besar yang dilengkapi tiub gelongsor untuk kepuasan kanak-kanak.
Pada sebelah petang, kemeriahan di tepi pantai dimeriahkan dengan permainan seperti bola sepak pantai, bola tampar pantai dan sepak raga. Bagi yang mahukan lebih cabaran, rekreasi seperti berkayak, bot pisang dan ATV sedia disewa pada harga yang berpatutan.
Pengurus Besar Kumpulan MITC Ancasa Hotel (M) Sdn. Bhd, Aswandy Hassan berkata, Permaisuri Resort dilengkapi dengan pelbagai keperluan yang memenuhi segala kehendak percutian, mesyuarat dan persidangan.
Antara kemudahan asas yang disediakan termasuk dua buah dewan utama, dua bilik seminar, dua restoran, kedai runcit, surau, bilik karaoke, gimnasium dan bilik snuker.
"Bagi memeriahkan suasana bercuti, kami menyediakan pelbagai pakej istimewa bagi pasangan berbulan madu, percutian keluarga dan juga korporat.
"Selain itu, persembahan kebudayaan dan tarian api juga dimainkan pada hujung minggu sebagai hiburan untuk penghuni," katanya.
Di samping menikmati keindahan pantai dan laut yang mempesonakan, pengunjung di Permaisuri Resort juga boleh merasai kehijauan hutan yang terletak bersebelahan dengan resort.
Hutan Rekreasi Tanjung Tuan Negeri Melaka di situ adalah hutan dara yang menyimpan aneka spesies flora dan fauna.
Selain tarikan rumah api, kawasan itu juga dikenali sebagai satu daripada lokasi persinggahan berpuluh-puluh ribu burung migrasi yang terbang melintasi benua ini ke kepulauan Indonesia.
Fenomena istimewa itu boleh disaksikan pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun.
Menariknya lagi, tanah di Tanjung Tuan yang mengunjur ke Selat Melaka itu penuh dengan sejarah dan misteri yang pasti menjadikan percutian lebih berharga.
Misteri
Jika bertandang ke Permaisuri Resort, jangan lepaskan peluang untuk menyelongkar misteri di sekitar kawasan rumah api setinggi 24 meter yang dibina oleh kerajaan Inggeris pada abad ke 16.
Di depan binaan bersejarah itu adalah Cape Richardo yang pernah menyaksikan pertempuran laut terbesar di Kepulauan Melayu antara Belanda dan Portugis suatu ketika dahulu.
Diceritakan juga misteri pusaran air yang berlaku ketika bulan mengambang di kawasan itu. Kejadian itu dikatakan telah menenggelamkan banyak kapal-kapal nelayan.
Sementara itu Aswandy berkata, selain Permaisuri Resort, MITC turut menguruskan tiga hartanah membabitkan perhotelan dan pusat peranginan iaitu Permaisuri MITC Hotel Melaka, Hotel Permaisuri Melaka Stadium Hang Jebat dan Hotel Permaisuri De'Lisbon(De'Lisbon).
"Setiap daripada cawangan hotel MITC menawarkan keunikan, tarikan dan kelebihan yang berbeza.
"Dengan pilihan itu, kita harap MITC dapat memenuhi lebih banyak cita rasa pelancong," ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai Permaisuri Resort, boleh diperolehi dengan menghubungi 06-6621558 atau melayari laman web www.mitcchainhotel.com.
Kuasai Mod-Mod Kamera Anda
Mod Landskap
Ditanda dengan ikon gunung, mod ini dikhaskan untuk rakaman pemandangan sama ada alam semula jadi atau bandar. Sesetengah kamera juga didatangkan bersama lensa sudut luas untuk menghasilkan gambar pemandangan yang lebih dramatik apabila dipadankan dengan mod landskap.
Dengan mod ini, kamera menghasilkan dimensi imej yang jelas dari latar depan hingga jauh ke latar belakang. Kesan itu dilakukan oleh kamera dengan mengecilkan lubang bukaan cahaya lensa (aperture) biasanya antara f11 hingga f22. Disebabkan oleh pengecilan bukaan cahaya ia harus diimbangi dengan tempoh pengatupan yang lebih lama (automatik). Ini bermakna, kita perlu mengurangkan gegaran semasa memetik, atau mungkin mendapatkan sebuah tripod.
Mod Malam
Jika merakam gambar pada waktu malam, mod ini adalah antara fungsi paling seronok digunakan untuk menghasilkan gambar yang dipenuhi cahaya-cahaya pelbagai warna.
Di dalam kamera , teknik (automatik) ini dilakukan dengan memperlahankan kepantasan pengatup (slow sync) bagi membenarkan lebih banyak cahaya memasuki pengesan imej. Pada mod ini, penggunaan flash tidak digalakkan.
Dengan pengatupan lebih perlahan, sebaran cahaya yang berlaku dalam tempoh itu akan ’memasuki’ pengesan imej lalu menghasilkan gambar yang unik. Selain itu, sebarang pergerakan cahaya (kenderaan) akan meninggalkan jejak seperti yang kita lihat di dalam gambar-gambar kota metropolitan pada waktu malam.
Mod malam dengan menggunakan tripod dapat menghasilkan gambar yang diterangi simbahan cahaya yang cantik. Tanpa tripod pula, rakaman pada mod ini menggunakan flash dapat menghasilkan keunikan yang sesuai untuk gambar-gambar parti.
Mod Makro
Mod ikon bunga ini membenarkan kita merakam objek pada jarak yang paling hampir dengan lensa kamera. Ia sesuai untuk merakam objek-objek kecil seperti bunga, syiling atau ketika menyalin tulisan notis dengan kamera. Namun setiap kamera mempunyai kapasiti jarak fokus makro yang berbeza iaitu antara dua hingga 10 sentimeter (cm). Untuk mencuba, aktifkan mod ini dan acu hujung lensa pada subjek paling kecil yang ada disekeliling anda.
Berbeza dengan gambar biasa, pemfokusan makro agak sukar dilakukan terutama apabila berlaku pergerakan. Untuk kesan terbaik, gunakan tripod. Tekan butang rakaman dan tunggu sehingga kotak empat segi sama pada skrin bertukar dari putih kepada hijau (tanda pemfokusan) untuk imej yang jelas dan tajam. Oleh kerana jarak fokus antara kamera dan objek yang terlalu dekat pada fotografi makro, matikan penggunaan flash bagi mengelakkan tompokan putih.
Mod Sukan
Penggunaan mod sukan atau disebut aksi pada sesetengah kamera dikhaskan untuk rakaman subjek yang bergerak seperti kenderaan, binatang peliharaan dan aktiviti sukan hari keluarga.
Mode yang biasanya ditandakan dengan ikon orang berlari ini membolehkan kita merakam gambar lebih tajam. Dengan mod ini, kamera meningkatkan kelajuan pengatup dan ISO untuk dedahan lebih cahaya.
Selain itu, kita juga boleh memilih fungsi rakaman secara berterusan (burst shot) di mana kamera akan merakam imej tanpa henti selagi butang rakaman ditekan. Dengan penyelarasan itu, kita dapat mengelakkan saat-saat yang diinginkan terlepas. Panduan berguna untuk rakaman gambar aksi yang lebih kreatif adalah dengan cara menyorot (panning) kamera selari dengan pergerakan subjek bagi menghasilkan latar belakang yang kabur sekali gus memberi gambaran subjek sedang bergerak.


































