Apr 20, 2011

Brisbane atau Bris Vegas





BRISBANE mungkin tidak sesibuk Sydney dan Melbourne namu kota ketiga terbesar di Australia yang mempunyai populasi dua juta penduduk ini dipenuhi dengan tarikan bandar dan alam. Bandar di celah-celah liku Sungai  Brisbane  itu juga merupakan antara bandar-bandar di Australia yang membangun pesat daripada industri pelancongan.

Di kalangan penduduk Australia,  Brisbane  dikenali sebagai Bris Vegas, kota yang 'disenangi' dari segi gaya hidup dan kepesatan bandar yang sederhana dan terancang. Dengan pelbagai tarikan yang terletak tidak jauh antara satu sama lain, pelancong tidak perlu berkejar ke sana ke mari ketika melawat  Brisbane .

Kota pinggir sungai itu menawarkan banyak lokasi santai untuk dikerumuni seperti taman-taman haiwan dan rekreasi, pusat kebudayaan, premis hiburan, restoran dan pusat membeli-belah. Tarikan termasuk Taman Botanik  Brisbane  (Mt. Cook-tha) yang menyajikan pemandangan indah kota  Brisbane , Roma Street Parkland iaitu taman tropika di dalam bandar terbesar di dunia, South Bank Parklands, Taman Hutan  Brisbane , Pelabuhan Portside dan beberapa buah muzium yang berbaloi dilawati.



Selain itu, tarikan utama adalah keindahan landskap kota yang terletak di sebelah utara Sungai  Brisbane . Wilayah yang dinamakan Daerah Pusat Perniagaan  Brisbane  (CBD) itu adalah nadi pembangunan bandar.


Pemandangan lebih menakjubkan menanti jika anda turun ke pinggir Sungai  Brisbane  pada waktu malam untuk melihat kemeriahan simbahan cahaya pada bangunan-bangunan pencakar langit dan lampu-lampu neon yang menghiasi bandar.

Untuk lebih kepuasan, jelajah bandar pada waktu malam dengan menaiki bas juga boleh dicuba.

Pelawat boleh mendapatkan perkhidmatan bas di dalam bandar sebelum dipandu ke beberapa lokasi strategik termasuk menyeberangi Jambatan Captain Cook sebelum berakhir di Jalan Adelaide.

Bagi yang gemar menyaksikan keindahan malam tanpa bergerak, susunan bistro, restoran dan pub yang memenuhi South Bank boleh menjadi persinggahan yang baik. Tidak cukup dengan minuman di meja, mereka yang ingin menghidupkan suasana malam boleh melawat pusat-pusat hiburan yang berlambak di Bris Vegas.

Untuk mewarnai memori berlibur di  Brisbane , jangan lepaskan peluang untuk mendekati keunikan haiwan comel seperti koala dan kanggaru di Santuari Koala Lone Pine yang dibuka sejak 1927. Pusat pemeliharaan koala pertama di dunia itu boleh dikunjungi dengan menaiki pengangkutan awam selama kira-kira setengah jam.



Jika ingin mendapatkan cendera hati untuk ahli keluarga dan rakan, Bazar South Bank di Plaza Stanley Street menawarkan pelbagai barang pada harga yang amat berpatutan kecuali barang-barang buatan tangan. Pasar yang dibuka setiap hujung minggu bermula pada malam Jumaat itu juga dipenuhi dengan restoran dan pusat-pusat hiburan.


Selain pasar lambak, pinggir sungai di South Bank itu juga popular sebagai lokasi berlangsungnya satu daripada festival terpenting di bandar itu. Festival yang berterusan selama seminggu pada September setiap tahun itu popular dengan persembahan bunga api meganya yang menerangi seluruh bandar.

Bagi yang tidak berpeluang menyelongkar ke seluruh  Brisbane , menyaksikan keindahan bangunan bersejarah yang dibina oleh banduan-banduan Inggeris di wilayah metropolitan itu juga berbaloi.

Daripada sebuah bandar tempat pembuangan pesalah dan banduan dari New South Wales (Selatan Queensland), wajah  Brisbane  kini sudah jauh berubah. KEHIDUPAN bandar di tepi sungai yang tidak pernah sunyi dengan hiburan dan tarikan.

No comments:

Post a Comment