KEWUJUDAN ribuan Land Rover yang bertali arus di Cameron Highlands pasti menimbulkan tanda tanya kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke pusat peranginan tersebut. Meskipun sudah terlalu usang, kenderaan berbentuk kotak empat segi itu masih gagah meredah laluan berbukit di sekitar Tanah Rata, Berinchang, Ringlet dan Kampung Raja.
Di dalam daerah Cameron Highlands dianggarkan terdapat 10,000 buah
pacuan empat roda itu, menjadikan daerah tersebut kawasan berkepadatan
kenderaan Land Rover tertinggi di dunia.
Persoalannya adalah bagaimana kenderaan keluaran Britain itu dibawa masuk sehingga berlambak di pusat peranginan itu. Tarikh dan sejarah sebenar 'ketibaan' Land Rover di situ bagaimanapun
tidak dapat dipastikan namun Land Rover dikatakan dibawa masuk ke
Cameron Highlands oleh pegawai-pegawai kerajaan semasa zaman
pemerintahan Inggeris di negara ini.
Ketika itu kawasan beriklim sejuk itu dijadikan tempat istirehat bagi
pegawai-pegawai Inggeris untuk melepaskan rindu terhadap kampung
halaman mereka setelah lama berada di Tanah Melayu ketika itu.
Daripada penempatan kecil, Cameron Highlands berkembang menjadi
sebuah pekan ekoran kerancakan sektor pertanian khususnya selepas
pembukaan ladang dan kilang teh di situ.
Puluhan tahun selepas zaman kolonial dan era komunis, masyarakat
Cameron Highlands mula mengenali Land Rover sebagai nadi dalam sektor
pertanian mereka.
Segalanya bermula melalui pembelian kenderaan tersebut yang dilelong
oleh pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan jabatan-jabatan kerajaan. Pelupusan aset kerajaan secara tender itu membuka jalan kepada
pekebun di situ membeli pacuan empat roda tersebut pada harga yang
sangat rendah.
Bagi golongan petani, jentera yang kebanyakannya sudah rosak teruk
pada bahagian enjin dan kotak gear itu berbaloi untuk diperbaiki.
Melalui jualan tender tersebut, sebuah Land Rover boleh dibeli pada
harga RM5,000 hingga RM7,000 bergantung kepada keadaan dan status geran. Dengan membelanjakan kos tambahan kira-kira RM15,000 untuk baik
pulih, sebuah Land Rover mampu dihidupkan semula dan sedia untuk
berbakti kepada tuannya.
Mengambil kira harga modal yang murah, golongan pekebun dan petani di
Cameron Highlands berlumba-lumba mendapatkan Land Rover yang banyak
dilelong di seluruh negara.Selain dijual pada harga yang rendah, kenderaan itu sendiri memiliki
banyak keistimewaan yang diperlukan golongan petani khususnya kemampuan
jentera itu mengangkut beban yang berat.
Sebagai kenderaan yang terbukti perkasa sepanjang perkhidmatannya di
dalam pasukan polis dan tentera, Land Rover juga menjadi satu-satunya
kenderaan yang dapat menyesuaikan diri dengan bentuk muka bumi Cameron
Highlands yang berbukit dan berlembah. Sehingga kini, Land Rover masih menjadi nadi kepada kebanyakan penduduk Cameron Highlands.
No comments:
Post a Comment