Apr 15, 2012

Fotografi : Misteri Fotografi Silhouette



GAMBAR yang baik seperti juga hasil-hasil seni yang lain seringkali mempamerkan sesuatu dalam keadaan samar dan misteri, cara seperti itu amat berkesan untuk meninggalkan ruang imaginasi kepada penonton dalam membuat tafsiran.
Salah satu pendekatan yang mampu membentuk 'emosi tambahan' dan menarik perhatian dalam seni fotografi adalah dengan teknik memanfaatkan bentuk bayang atau disebut siluet (silhoutte). 

Bayangkan bentuk legam seorang wanita sedang berdiri di tepi pantai ketika matahari sedang terbenam. Dalam gambar seperti itu, jurugambar menyerahkan tafsiran dan penceritaan kepada penonton, walhal imaginasi dan emosi yang bermain di fikiran penonton tidak pernah terlintas di fikiran jurugambar semasa gambar dirakamkan. Bagaimanapun, teknik siluet memerlukan kemahiran fotografi pertengahan iaitu pemahaman asas mengenai bagaimana kamera memproses cahaya di sekeliling dan menghasilkan kesan tertentu kepada subjek.


Untuk menghasilkan siluet, gambar biasanya dirakam dengan cara mengadap sumber cahaya lalu menjadikan subjek kelihatan gelap (backlighted). Di dalam kebanyakan keadaan, matahari berfungsi sebagai lampu semula jadi kerana penggunaan flash diharamkan untuk teknik ini (supaya subjek kekal gelap).  Sebagai tips,  gambar siluet biasanya dirakam dengan menggunakan bukaan lensa kecil (f11 atau f20). Bukaan cahaya yang kecil akan membantu melegamkan subjek tetapi jangan sehingga gambar menjadi hitam keseluruhannya. 

Untuk aplikasi, siluet tidak semestinya digunakan untuk merakam imej manusia, ia mungkin sebatang pokok, kanak-kanak bersama basikalnya, bahkan ia boleh menjadi teknik fotografi landskap urban yang berkesan semasa penataan cahaya tidak begitu memuaskan.


Secara kesimpulan, siluet menambah rasa misteri dan mempunyai banyak tipu muslihat di dalam gambar. Kombinasi cahaya latar belakang dengan bayang-bayang yang kemas mewujudkan adegan fotografi yang menarik.

No comments:

Post a Comment