Mar 24, 2011

Sun Paradise



MENGHABISKAN masa di kolam renang sudah menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakat kota pada hari ini sama ada untuk kecergasan ataupun riadah bersama keluarga.

Berenang sememangnya menyeronokkan tetapi tidak dengan pakaian harian. Di kebanyakan kolam renang awam, pakaian seperti kemeja-T dan seluar trek tidak lagi dibenarkan. Bagi yang gemarkan sukan itu pakaian renang sudah menjadi satu keperluan.

Penulis ke pusat sehenti kelengkapan sukan akuatik  Sun   Paradise  untuk mendapatkan panduan pemilihan pakaian renang. Pusat jualan di Pavilion KL itu menawarkan pelbagai produk berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Pengurus Jualan  Sun   Paradise , Lee Chun Hooi berkata, pakaian renang direka bukan hanya untuk dipakai semasa pertandingan. Ia memberi banyak kelebihan yang diperlukan semasa berada di dalam air dengan meningkatkan daya apungan, lebih fleksibel, kurang menyerap peluh dan lebih ringan.

"Namun begitu masih ramai yang enggan mengenakan pakaian renang atas alasan rekaan yang ketat itu terlalu seksi. Sebahagian lagi tidak begitu memahami faedah daripada pakaian renang itu sendiri,'' katanya.

Memberi contoh pakaian renang yang berkualiti, beliau mengesyorkan baju dan seluar renang yang diperbuat daripada lycra iaitu sejenis gentian spandeks yang menggantikan penggunaan nilon pada pakaian renang terdahulu.

Jelas beliau, bagi perenang lelaki, pakaian renang jenama Arena misalnya menawarkan pelbagai jenis baju dan seluar yang diperbuat daripada lycra dengan teknologi terkini.

"Lycra adalah bahan yang ringan dan mengurangkan geseran semasa berada di dalam air, sekali gus meningkatkan kepantasan berenang.

"Sehelai seluar pendek Arena boleh didapati pada harga RM69. Bagi yang memerlukan perlindungan badan, sehelai baju lycra boleh didapati pada harga RM89,'' katanya.

Pakaian untuk muslimah

Jika pakaian yang ketat menjadi isu bagi sesetengah kaum lelaki, keadaan lebih teruk dihadapi oleh wanita. Ia adalah punca utama wanita di negara ini kurang melibatkan diri di dalam sukan akuatik, khususnya wanita Islam.


Chun Hooi berkata,  Sun   Paradise  memahami keperluan muslimah yang terpaksa memendam keinginan untuk mandi di kawasan awam kerana ketiadaan pakaian yang sesuai.

"Kaum muslimah berhak menikmati gaya hidup sukan akuatik sama ada di kolam renang, kawasan air terjun dan semasa bercuti di pulau.

"Ia adalah pakaian terbaik untuk menggantikan seluar trek dan kemeja-T yang berat dan menghalang pergerakan semasa di dalam air," katanya.

Seperti pakaian lelaki, fesyen burkini itu juga dihasilkan daripada lycra yang melepasi piawaian kualiti dari Jepun. Rekaan seperti jubah direka tidak terlalu ketat dengan butang berkunci yang menghalang pakaian daripada terselak semasa berada di dalam air.

Di  Sun   Paradise , pakaian renang muslimah yang lengkap (baju, seluar dan tudung) boleh didapati pada harga RM200 hingga RM400 dengan pelbagai corak dan saiz. Selain untuk berenang, ia juga selesa untuk dipakai semasa bersenam.

Bagi wanita yang inginkan pakaian renang lebih ringkas, produk Arena menawarkan pakaian sepaless yang menggunakan konsep cantuman dari dalam.

Rekaan bergaya yang menggabungkan bahagian atas (baju) dan bawah (kain) itu popular khususnya di kalangan wanita berusia 20-an hingga 30-an di negara ini.



Baju renang kanak-kanak

UNTUK kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa di kolam, pakaian yang menutupi seluruh anggota badan adalah perlindungan terbaik.

Selain menutup kulit daripada panas terik, satu lagi perlindungan penting semasa mereka berendam adalah pakaian yang tebal. Baju dan seluar daripada neoprene iaitu getah sintetik dengan ketebalan 1.5 milimeter adalah pilihan yang ideal. Ketebalan dapat menambah daya apungan yang membantu kanak-kanak selesa di dalam air.

Di  Sun   Paradise , Arena menawarkan pelbagai kategori pakaian kanak-kanak seperti sut badan penuh, sut lengan pendek, seluar panjang dan seluar pendek untuk kanak-kanak dari usia dua hingga 16 tahun dengan pelbagai pilihan warna dan corak bunga.

Gogal

SELAIN memberikan penglihatan yang jelas di dalam air, penggunaan gogal juga penting untuk melindungi mata daripada air kolam yang tidak diketahui tahap kebersihannya.

Gogal Arena menggunakan teknologi yang mengurangkan penyimpangan cahaya, memberi penglihatan lebih tepat dan tidak memudaratkan penglihatan. Selain itu, gogal Arena juga dilengkapi teknologi anti-kabus dan anti bakteria yang mengelakkan alergi.

Bagi yang mementingkan prestasi, Arena menawarkan gogal berlensa untuk kegunaan mereka rabun. Dari segi prestasi, ia hampir menyamai kaca mata biasa.

Arena menawarkan pelbagai jenis gogal renang. Untuk pertandingan, penggunaan gogal dengan soket mata yang kecil lebih bersesuaian kerana faktor aerodinamiknya. Untuk lebih santai, gogal bersudut luas memberi darjah penglihatan yang lebih lebar.

Gogal yang baik diperbuat daripada poli-karbonat. Ia tidak boleh pecah melalui kemalangan biasa. Manakala gogal tidak berkualiti boleh mendatangkan kecederaan apabila ia pecah. Cukup bahaya untuk kegunaan kanak-kanak yang sentiasa berkejaran.

Untuk kegunaan kanak-kanak, gogal dengan soket mata berkusyen lembut dan tebal dapat mengelakkan kesakitan mata akibat pemakaian gogal yang ketat.

Untuk memaksimumkan fungsi, elakkan mencelup gogal ke dalam air kolam sebelum atau selepas berenang kerana air kolam boleh menjadikannya lebih kotor dan masalah berkabus.

Topi renang

SELAIN baju dan seluar renang, pemakaian topi renang juga antara alat yang semakin kerap dikuatkuasakan. Di kalangan mereka yang aktif berenang, pemakaian topi renang adalah satu kemestian.

Ia melindungi rambut daripada air klorin yang menyebabkan rambut kesat dan kekuningan. Selain itu, ia juga mengelakkan minyak pada rambut mencemari air kolam.

Antara perlindungan lain yang mungkin diperlukan untuk mereka yang kerap menghabiskan masa di kolam renang atau di pantai termasuk juga krim penghalang sinaran matahari ( sun  block) yang melembapkan kulit dan melindungi daripada pancaran ultraungu.

Mar 8, 2011

Hyundai Sonata YF

SETIAP kali berpeluang menguji kenderaan Korea, saya tidak mempunyai banyak pilihan melainkan mengakui nilai dan kehebatannya. Kepercayaan itu mungkin masih lagi satu stigma di negara ini, namun kini ketaksuban umum terhadap jenama Jepun mula terhakis sekaligus memberi ruang kepada Kia dan Hyundai untuk menonjol. Suatu ketika dahulu tiada pemandu yang mengenali jenama Korea tetapi mereka kini terus menguasai jalanan malah sudah muncul sebagai pengeluar keempat terbesar dunia. Sebagai pengeluar global yang mewakili jenama kebangsaan Korea, tiada alasan mengapa mereka tidak berusaha menghasilkan yang terbaik (dari segenap aspek) untuk mengalahkan saingan dari Jepun.

Ya penerimaannya mungkin sedikit lewat di Malaysia. Itu yang kita akui. Di peringkat antarabangsa, Kia dan Hyundai sudah lama diterima oleh pasaran matang seperti di Amerika Utara dan India. Suka atau tidak itulah hakikatnya. Kini keyakinan semakin bertambah apabila kedua-duanya muncul sebagai jenama yang sering dikaitkan dengan rekaan cantik. Walaupun tidak setanding dengan Mercedes, Audi dan BMW, mereka sudahpun berada di tangga teratas di dalam kelas kebanyakan.

Sekarang anda mungkin terfikirkan rekaan Sorento dan Tucson yang memenuhi citarasa. Kedua-duanya tampil dengan rekaan masa depan. Jika anda tidak menggemari sebuah SUV, bagaimana pula dengan sedan eksklusif seperti  Sonata .

Hyundai (nama kod YF) adalah keluaran generasi keenam  Sonata . Model 2011 itu kini menjadi wajah baru yang mencuri tumpuan sesiapa sahaja. Dengan identiti yang tersendiri,  Sonata  membuktikan rekaan kenderaan Jepun tidak seharusnya sentiasa berada di hadapan. Yang pasti, perubahan pada saloon bersaiz pertengahan itu adalah sesuatu yang terlalu menonjol. Jika dibandingkan dengan model terdahulu, mereka seolah-olah lahir dari kandungan berlainan. Dari segi saiz,  Sonata  YF kini lebih panjang dan lebar menampilkan imej eksklusif yang begitu elegan.

Rekaan depan yang diilhamkan daripada kelopak bunga orkid menghasilkan kelainan yang beridentiti. Konsep seni reka keseluruhan dibangunkan dengan gabungan elemen semula jadi menggunakan permukaan yang dinamik dan struktur badan yang tegap, mewujudkan gambaran seolah-olah ia sentiasa bergerak. Seperti diakui ramai, pandangan sisi dan belakang begitu mirip dengan Mercedes-Benz CLS. Sememangnya itu yang cuba dihasilkan oleh Pengurus Rekaan Kreatif Hyundai, Casey Hyun. Malah dari sudut berbeza, ia juga disamakan dengan Volkswagen Passat.

Jimat dan lancar Sonata  YF ditawarkan dengan pilihan enjin Theta II 2.0 dan 2.4 liter yang dikatakan terbaik dalam kelasnya pada banyak aspek. Satu daripadanya adalah penjimatan bahan api. Enjin ini dilengkapi mekanisme jadual injap berubah-rubah pada injap ekzos dan kebok udara. Enjin  Sonata  memanfaatkan teknologi suntikan terus yang sebelum ini digunakan pada jenama-jenama premium seperti Audi dan Porshe. Kelebihan itu memberikannya lebih kuasa dengan penjimatan bahan petrol.

Penggunaan bahan bakar kereta ini adalah pada purata 9.4 liter untuk perjalanan 100 kilometer (km) di dalam bandar manakala 5.7 liter di lebuh raya. Di Amerika Syarikat, ia dinobatkan sebagai model paling efisien dari segi penggunaan bahan bakar. Prestasi sebenar jentera ini pada sesi pandu uji dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu sejauh 460 km pada hujung minggu lalu begitu memuaskan.


Isian satu tangki penuh mencatatkan jarak perbatuan melebihi 650 km. Semasa saya tiba di destinasi, meter digital menunjukkan baki minyak masih pada paras melebihi suku isian. Enjin empat silinder model 2.4 liter itu menjana 131 kW pada 6,000 rpm dengan kuasa kilas 229 Nm pada 4,000 rpm. Itu bermaksud, larian di laluan berselekoh Lebuh Raya Karak dapat diselesaikan dengan mudah.
Transmisi enam kelajuan dengan pilihan penukaran gear secara manual juga mudah digunakan. Berada selari dengan paras lutut, ia memberikan keselesaan menukar gear tanpa capaian yang jauh. Namun begitu, keselesaan kereta ini bukan sahaja pada kuasanya. Tempat duduk berbalut kulit yang boleh dikawal secara elektronik juga tidak sesekali menyebabkan lenguh walaupun untuk perjalanan sejauh itu.


Pemanduan dipermudahkan dengan fungsi pelayaran auto (auto cruise). Bukan sahaja memberi peluang kepada kaki untuk berehat daripada tugas menekan pedal minyak malah membantu menetapkan kelajuan seperti yang dikehendaki. Satu lagi ciri menarik yang ditawarkan adalah penghembus udara panas untuk mengatasi kesejukan daripada pendingin hawa, terutama ketika hari hujan.
 Sonata  melalui proses penambahbaikan bahagian dalaman yang hebat. Di bahagian kokpit misalnya, rekaan dibina begitu mirip dengan kemewahan model-model Volvo. Gaya eksklusif diperhebatkan lagi dengan permukaan dashboard berwarna hitam dan lengkungan panel kawalan pusat berwarna perak. Paparan meter menggunakan warna biru dan putih pula menghasilkan penataan cahaya futuristik pada waktu malam.

Di bahagian belakang, keselesaan tempat duduk penumpang bukan hanya pada ruang kaki yang luas malah disempurnakan dengan satu lagi cerobong pendingin hawa. Cukup eksklusif!
Cuma satu perkara yang agak janggal dapat dirasakan semasa memandu uji kereta ini adalah pergerakan badan atau olengan yang agak kasar semasa mengambil selekoh secara laju. Namun semasa menukar laluan dari kiri ke kanan, ia tidak dapat dirasai. Hal itu mungkin disebabkan oleh pemasangan sistem suspensi yang lebih keras (MacPherson) seperti yang dijelaskan di dalam spesifikasi produk.




Di Malaysia, Hyundai diimport sepenuhnya oleh Hyundai Sime Darby Motors (HSDM). Di pasaran, ia berada pada segmen yang sama dengan Toyota Camry dan Honda Accord. Selain ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding model saingan,  Sonata  didakwa Hyundai sebagai model bebas penyelenggaraan di mana pengguna tidak perlu menukar minyak gear jika kereta dipandu dalam keadaan biasa tanpa banyak pendakian. Ujian kilang mengesahkan transmisi mampu bertahan sekurang-kurangnya untuk 300,000 km pemanduan.

Jika anda masih mempunyai stigma pada jenama Korea, luangkan masa anda untuk memandu uji dan mencuba sendiri model ini. Persepsi anda mungkin berubah. Harga atas jalan (tanpa insurans) bagi Hyundai  Sonata  YF 2.0 liter (standard) adalah RM132,220 manakala RM140,000 untuk spesifikasi lebih tinggi manakala harga untuk  Sonata  YF 2.4 adalah 159,491.

Canon PowerShot Pro S95

KAMERA apa yang bagus? Itu soalan yang biasa diajukan oleh rakan-rakan sebelum membeli sebuah kamera. Bagi saya, kamera yang baik hanya memerlukan dua perkara utama. Pertama adalah keupayaan fungsi dan kedua adalah keselesaan saiz yang membolehkan ia dibawa ke mana-mana. Sebuah kamera yang baik seharusnya serasi bersama pemilik dan tidak mudah untuk ditinggalkan. 

Sejak beberapa tahun lalu saya telah menggunakan tidak kurang daripada enam buah kamera, dua daripadanya adalah kamera DSLR manakala selebihnya kamera kompak. Satu daripada model yang pernah menjadi kegemaran adalah Canon PowerShot A620 (2006) kerana dua faktor yang disebutkan tadi.
Control ring yang memudahkan kawalan kamera.
Tahun lalu, saya diperkenalkan dengan model PowerShot kedua iaitu Canon S90. Dalam tempoh hanya beberapa minggu, ia menjadi kegemaran terbaru. Kehebatan fungsi dan saiz poket menyebabkan saya sering meninggalkan DSLR yang jauh lebih besar dan berat. Bukan terlalu peribadi, tetapi secara jujur ia adalah memang sebuah kamera yang baik.

Pengenalan Canon PowerShot S90 mengakhiri penantian ramai peminat yang mahukan kamera bersaiz kecil tetapi berkuasa melaksanakan tugas dengan cekap. Pada S90, inovasi gelang kawalan adalah ciri hebat yang memudahkan operasi dan memberikan pengawalan mirip sebuah DSLR. Bagi yang tidak biasa, gelang kawalan pada bahagian lensa itu membolehkan pengguna menetapkan kawalan fungsi mengikut kehendak sendiri. Pilihan termasuk kawalan kelajuan pengatup, jarak zoom, bukaan cahaya, fokus manual dan sebagainya.

Baru-baru ini, Canon tampil dengan model pengganti iaitu PowerShot S95. Tempoh pembaharuan yang boleh dikatakan agak singkat dan pastinya mengecewakan mereka yang belum puas menikmati kehebatan S90. Yang pasti, kecemerlangan fungsi gelang kawalan yang menjadikan model itu kegemaran ramai dipertingkatkan. 

Pembaharuan paling utama pada S95 adalah rakaman video yang dipertingkatkan kepada rakaman berdefinisi tinggi atau HD (720p) dengan 24 bingkai sesaat. Fungsi juga dikemaskan dengan kualiti bunyi stereo penuh melalui dua mikrofon. Pada pandangan fizikal, S95 dibina lebih nipis dengan butang kawalan (untuk pilihan mod) bergerigi kasar yang memberikan lebih cengkaman operasi. Penambahbaikan bagi menggantikan butang kawalan S90 yang terlalu sensitif pada sentuhan. 
Operasi S95 bermula dengan susun atur menu yang ringkas dan mudah difahami. Ciri utama pada S90 yang semakin diperkemas itu boleh dilihat melalui skrin LCD tiga inci.Dari segi kualiti imej, Canon S95 yang diperkasa dengan pengesan imej 10 megapiksel DIGIC 4 seperti yang digunakan pada model G12 mampu menghasilkan imej setanding dengan kompak kategori lebih tinggi itu.
Bukan itu sahaja, S95 tampil sebagai model pertama yang menampilkan teknologi penstabilan imej hibrid yang mengurangkan gegaran semasa rakaman, sekali gus mengelak kekaburan pada gambar. Dengan keupayaan rakaman format RAW yang menghasilkan imej lebih jelas dan kemas, tidak banyak kamera di pasaran yang dapat mengatasi kehebatan kompak ini. Cuma satu kekurangan yang masih ketara adalah ketiadaan rakaman pantas.
Satu lagi tambahan hebat pada model ini adalah rakaman HDR. Gabungan tiga keping gambar yang disatukan untuk kesan seperti gambar poster filem, gaya rakaman yang semakin popular di kalangan peminat fotografi masa kini. Masih tiada perubahan prestasi lensa pada S95. Namun apa yang dikekalkan dari model terdahulu sudah cukup hebat. Bahkan di pasaran, tidak banyak kamera yang memiliki lensa dengan bukaan cahaya seluas f2 (hingga f8). Keupayaan mengambil gambar dalam keadaan cahaya rendah adalah satu lagi kelebihan kamera ini.
Keupayaan memperlahankan kelajuan pengatup sehingga "30 juga cukup hebat bagi sebuah kamera tanpa fungsi bulb. Keseronokan rakaman waktu malam juga disokong dengan ISO 80 sehingga 3200. Cukup untuk merakam bintang di langit.

Selain fungsi-fungsi kasar, Canon turut mempertingkatkan fungsi halus yang mungkin dipandang ringan oleh kebanyakan pengeluar kamera lain. Misalnya kebolehan pengguna untuk menentukan tempoh masa pada fungsi self timer. Dengan menggunakan gelang kawalan, tempoh menunggu rakaman kini boleh dilanjutkan dari satu hingga 30 saat.
Seperti juga G12, S95 diperbaharui dengan pelbagai Mod Keadaan seperti Super Vivid, Poster Effect, Smart Shutter, Nostalgic, Miniature dan paling bergaya adalah Mod HDR.
Sementara itu, reputasi kehebatan rakaman dasar laut daripada model S90 yang dilengkapi lensa sudut luas (28-105mm) juga berterusan. Malah dengan bonus rakaman video HD. Canon S95 dipadankan dengan bekas kalis air WP-DC38, model berbeza dengan yang digunakan untuk S90.

Sebagai kesimpulan, S95 tampil dengan pelbagai fungsi mengagumkan. Tidak kira sama ada anda pengguna biasa atau jurugambar profesional, kamera saiz poket ini tidak akan mengecewakan. Dengan melakukan sedikit rujukan di Internet, anda akan dapati ramai yang meletakan kamera ini sebagai kompak terbaik di antara semua.

Berikut adalah sample gambar yg telah saya hasilkan menggunakan Canon S90 (model terdahulu) jadi S95 semestinya perform lebih baik daripada ini..



Feb 18, 2011

Fotografi Burung

Radhafizal (paling kanan) bersama rakan2 memburungnya.
KISAH Radhafizal di sekolah sama seperti kisah rakan-rakan guru yang lain. Menarik tetapi sebaik sahaja tamat waktu mengajar dia mempunyai cerita lain untuk dikongsi bersama teman-temannya.
Kisah bagaimana dia bermandi darah selepas diserang pacat dan nyamuk pada minggu yang lalu. Di pinggir hutan, dia berdiri kaku selama beberapa jam menantikan sesuatu yang ajaib melintasi lensa kameranya.

Kelincahan gerak tari dan keindahan hiasan bulu berwarna-warni akhirnya muncul bersama bunyi-bunyi yang lunak. Pada hari itu, Ahmad Radhafizal Che Kassim, 34, tidak pulang dengan tangan kosong. Gambar burung Raja Udang menyepit belalang yang dirakam berjaya mengukir senyuman pada wajah guru Bahasa Inggeris itu.

Kepuasan pada petang itu terbalas, sama seperti ketika dia melihat murid-muridnya cemerlang dalam peperiksaan.

"Burung adalah haiwan cantik yang menghiburkan kita dengan warna yang menarik. Melihat kelibatnya sahaja sudah cukup untuk menghiburkan hati.
"Bagi saya ia adalah haiwan yang cukup istimewa," luah guru Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu di Prai, Pulau Pinang itu.

Minat Radhafizal merakam gambar burung bermula beberapa tahun lalu selepas tertarik dengan keunikan beberapa spesies di sekitar rumahnya di Seberang Prai, lantas dijadikan fokus baru untuk dunia fotografinya.
"Dengan kapasiti lensa zum biasa yang saya miliki ketika itu, percubaan saya tidak begitu memuaskan.
"Warna-warna bulu yang berseri itu cukup menarik kalau dapat dilihat pada jarak yang lebih dekat,"ujarnya.

Dengan pelaburan tambahan kira-kira RM4,500 untuk kamera Nikon D90 yang dimilikinya, Radhafizal kemudian mendapatkan lensa telefoto (150-500mm) untuk hasil yang lebih mantap.
Lensa 500mm itu adalah senjata baru yang menjanjikan jarak fokus lebih dekat. Ia boleh dikatakan keperluan asas bagi penggemar fotografi burung.

"Untuk gambar yang lebih 'serius', lensa 600mm dengan bukaan lebih besar boleh mencecah harga seperti membeli sebuah kereta," tambahnya.

Bagaimanapun, merakam subjek yang terbang bebas itu bukan hanya bergantung pada peralatan yang mahal bahkan turut menuntut kemahiran dan ketekunan.
"Jurugambar burung harus mengenali peralatan yang digunakan untuk memastikan kecekapan di hujung jari.
"Begitu juga dengan tumpuan yang perlu diberikan. Aksi yang menarik boleh terlepas dalam sekelip mata bagi mereka yang leka,"katanya.


Sememangnya juga, fotografi tidak lengkap jika tidak memperkatakan soal pencahayaan. Sebagai unsur paling penting pada gambar, pencahayaan merupakan satu lagi cabaran yang harus dilalui.
"Habitat burung liar di hutan dan semak yang gelap biasanya menyukarkan kamera untuk menangkap pergerakan yang lincah.
"Selain itu rakaman boleh menjadi cukup sukar apabila dilakukan bertentangan dengan pancaran matahari," jelasnya.

Sementara itu, pemburuan gambar unggas liar yang baik juga menuntut seseorang menjelajah jauh ke lokasi terpencil dan menunggu dengan sabar untuk mendapatkan 'aksi' yang baik. Satu daripada kawasan kegemaran Radhafizal dan rakan-rakannya untuk 'menembak' burung pada masa kini adalah di Estet Byram atau lebih dikenali dengan nama Pulau Burung di Nibong Tebal.



Koleksi gambar burung dan serangga yang dirakam oleh Radhafizal boleh dilihat di laman web www.outdoorgraphy.org.

Feb 11, 2011

Permaisuri Resort Port Dickson


TIADA unsur alam di dunia ini yang dapat mengatasi kehebatan kuasa terapi yang dimiliki oleh laut dan pantai. Pertemuan di antara kedua-duanya memberi seribu satu ketenangan.

Meskipun ada kalanya ia dianggap sebagai lawan, kita lebih mengenalinya sebagai peneman. Deruan air dan hembusan bayu yang dilepaskan adalah rawatan terbaik yang dapat merungkaikan setiap daripada kecelaruan.

Itulah antara sebab mengapa lokasi percutian tepi pantai terus diminati bahkan menjadi destinasi pelancongan paling popular di negara ini dan juga di dunia umumnya.

Namun untuk mendapatkan tempat seperti yang tergambar di fikiran anda sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi penghuni kota, ia tidak mungkin dinikmati tanpa memandu seharian di jalanan.

Terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuala Lumpur dan 15 minit perjalanan berkereta dari pantai percutian Teluk Kemang, Permaisuri Resort merupakan syurga baru di antara puluhan lokasi percutian di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Terasing dari kelompok penginapan yang lain, Permaisuri Resort yang memulakan operasi pada akhir 2009 menawarkan pengalaman percutian unik dan tersendiri bagi mereka yang bertandang ke daerah pelancongan tersohor itu.

Keistimewaan resort hotel itu adalah pilihan 100 unit penginapan yang kesemuanya dibina mengadap ketenangan laut di Tanjung Biru. Kemewahan bilik dikategorikan kepada pangsapuri tiga dan satu bilik, studio dan bilik eksklusif bertaraf kenamaan (VIP).

Ketibaan saya bersama tiga orang rakan ke Permaisuri Resort baru-baru ini disambut mesra oleh kakitangan di lobi resort. Walaupun menerima tetamu yang agak ramai pada hujung minggu itu, ruang letak kereta masih tersedia pada jarak yang dekat bagi setiap tetamu.

Semasa berdiri di kaunter sementara menunggu urusan pendaftaran masuk dilakukan, biasan air laut yang berkilau-kilau di sebalik celahan pohon rhu pantas ditangkap oleh anak mata. Dan tanpa banyak berlengah, lif terus membawa kami ke tingkat tujuh untuk menjenguk ke unit pangsapuri tiga bilik yang bakal menjadi kediaman selama tiga hari dua malam.

Langkah pertama selepas menyelak daun pintu unit itu disambut oleh ruang dapur yang ringkas tetapi cukup luas untuk kegunaan satu keluarga. Dari penghujung dapur, ruang dalaman rumah dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu ruang makan malam dan ruang tamu.

Meskipun terlalu banyak perkara menarik yang boleh diperhatikan sama ada di lantai dan yang tergantung di dinding, hati ketika itu lebih teruja untuk memeriksa bilik tidur. Bilik tidur utama yang dilengkapi bilik air sendiri sememangnya luas. Bahkan cukup selesa untuk tambahan seorang kanak-kanak.

Begitu juga dengan keluasan dua lagi bilik yang langsung tidak mengecewakan. Luas seperti bilik hotel empat bintang. Penghuni cuma perlu berkongsi bilik air yang terletak di bahagian tengah rumah. Di ruang tamu yang menempatkan televisyen LCD, penghuni disediakan sofa untuk empat orang. Di belakangnya, meja makan malam selesa untuk enam orang.

Dari beranda yang luas, pemandangan disajikan dengan pertemuan kaki langit dengan lautan yang luas membiru. Di bahagian bawah, halaman resort dihiasi kolam renang untuk keceriaan seisi keluarga.

Jika waktu pagi disempurnakan dengan pemandangan matahari terbit, sebelah malamnya penghuni boleh menyaksikan pancaran cahaya yang berputar-putar dari rumah api Tanjung Tuan.

Mengambil kira keluasan unit yang diberikan tanpa rasa kedekut itu, penginapan di unit berharga RM580 semalaman berserta makan pagi untuk enam orang itu cukup berbaloi dan selesa. Selain kamar yang mengadap laut, percutian di resort itu disempurnakan dengan sebuah kolam renang besar yang dilengkapi tiub gelongsor untuk kepuasan kanak-kanak.

Pada sebelah petang, kemeriahan di tepi pantai dimeriahkan dengan permainan seperti bola sepak pantai, bola tampar pantai dan sepak raga. Bagi yang mahukan lebih cabaran, rekreasi seperti berkayak, bot pisang dan ATV sedia disewa pada harga yang berpatutan.

Pengurus Besar Kumpulan MITC Ancasa Hotel (M) Sdn. Bhd, Aswandy Hassan berkata, Permaisuri Resort dilengkapi dengan pelbagai keperluan yang memenuhi segala kehendak percutian, mesyuarat dan persidangan.

Antara kemudahan asas yang disediakan termasuk dua buah dewan utama, dua bilik seminar, dua restoran, kedai runcit, surau, bilik karaoke, gimnasium dan bilik snuker.

"Bagi memeriahkan suasana bercuti, kami menyediakan pelbagai pakej istimewa bagi pasangan berbulan madu, percutian keluarga dan juga korporat.

"Selain itu, persembahan kebudayaan dan tarian api juga dimainkan pada hujung minggu sebagai hiburan untuk penghuni," katanya.

Di samping menikmati keindahan pantai dan laut yang mempesonakan, pengunjung di Permaisuri Resort juga boleh merasai kehijauan hutan yang terletak bersebelahan dengan resort.

Hutan Rekreasi Tanjung Tuan Negeri Melaka di situ adalah hutan dara yang menyimpan aneka spesies flora dan fauna.

Selain tarikan rumah api, kawasan itu juga dikenali sebagai satu daripada lokasi persinggahan berpuluh-puluh ribu burung migrasi yang terbang melintasi benua ini ke kepulauan Indonesia.

Fenomena istimewa itu boleh disaksikan pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun.

Menariknya lagi, tanah di Tanjung Tuan yang mengunjur ke Selat Melaka itu penuh dengan sejarah dan misteri yang pasti menjadikan percutian lebih berharga.

Misteri

Jika bertandang ke Permaisuri Resort, jangan lepaskan peluang untuk menyelongkar misteri di sekitar kawasan rumah api setinggi 24 meter yang dibina oleh kerajaan Inggeris pada abad ke 16.

Di depan binaan bersejarah itu adalah Cape Richardo yang pernah menyaksikan pertempuran laut terbesar di Kepulauan Melayu antara Belanda dan Portugis suatu ketika dahulu.

Diceritakan juga misteri pusaran air yang berlaku ketika bulan mengambang di kawasan itu. Kejadian itu dikatakan telah menenggelamkan banyak kapal-kapal nelayan.

Sementara itu Aswandy berkata, selain Permaisuri Resort, MITC turut menguruskan tiga hartanah membabitkan perhotelan dan pusat peranginan iaitu Permaisuri MITC Hotel Melaka, Hotel Permaisuri Melaka Stadium Hang Jebat dan Hotel Permaisuri De'Lisbon(De'Lisbon).

"Setiap daripada cawangan hotel MITC menawarkan keunikan, tarikan dan kelebihan yang berbeza.

"Dengan pilihan itu, kita harap MITC dapat memenuhi lebih banyak cita rasa pelancong," ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai Permaisuri Resort, boleh diperolehi dengan menghubungi 06-6621558 atau melayari laman web www.mitcchainhotel.com.

Kuasai Mod-Mod Kamera Anda

Tidak dinafikan mod automatik pada kamera moden kini mampu menghasilkan gambar yang baik, namun penggunaan mod tertentu pada masa dan subjek berlainan dapat memberikan kesan yang lebih baik. Pilihan mod yang dimaksudkan itu adalah seperti sukan, potret, makro landskap, program, kawalan bukaan cahaya (AV), kawalan kelajuan pengatup (TV) dan mod manual. Sama ada anda pengguna kamera kompak atau SLR, kesemua mod dan fungsi-fungsi itu boleh ditemui pada butang penyelarasan atau di dalam menu.

Mod Landskap
Ditanda dengan ikon gunung, mod ini dikhaskan untuk rakaman pemandangan sama ada alam semula jadi atau bandar. Sesetengah kamera juga didatangkan bersama lensa sudut luas untuk menghasilkan gambar pemandangan yang lebih dramatik apabila dipadankan dengan mod landskap.

Dengan mod ini, kamera menghasilkan dimensi imej yang jelas dari latar depan hingga jauh ke latar belakang. Kesan itu dilakukan oleh kamera dengan mengecilkan lubang bukaan cahaya lensa (aperture) biasanya antara f11 hingga f22. Disebabkan oleh pengecilan bukaan cahaya ia harus diimbangi dengan tempoh pengatupan yang lebih lama (automatik). Ini bermakna, kita perlu mengurangkan gegaran semasa memetik, atau mungkin mendapatkan sebuah tripod.
GAMBAR pemandangan biasanya memerlukan ketajaman imej dari latar depan hingga jauh ke belakang.

Mod Malam
Jika merakam gambar pada waktu malam, mod ini adalah antara fungsi paling seronok digunakan untuk menghasilkan gambar yang dipenuhi cahaya-cahaya pelbagai warna.
Di dalam kamera , teknik (automatik) ini dilakukan dengan memperlahankan kepantasan pengatup (slow sync) bagi membenarkan lebih banyak cahaya memasuki pengesan imej. Pada mod ini, penggunaan flash tidak digalakkan.

Dengan pengatupan lebih perlahan, sebaran cahaya yang berlaku dalam tempoh itu akan ’memasuki’ pengesan imej lalu menghasilkan gambar yang unik. Selain itu, sebarang pergerakan cahaya (kenderaan) akan meninggalkan jejak seperti yang kita lihat di dalam gambar-gambar kota metropolitan pada waktu malam.

Mod malam dengan menggunakan tripod dapat menghasilkan gambar yang diterangi simbahan cahaya yang cantik. Tanpa tripod pula, rakaman pada mod ini menggunakan flash dapat menghasilkan keunikan yang sesuai untuk gambar-gambar parti.
MERAKAM gambar pada waktu malam memberikan kesan yang menarik jika dilakukan dengan betul.

Mod Makro
Mod ikon bunga ini membenarkan kita merakam objek pada jarak yang paling hampir dengan lensa kamera. Ia sesuai untuk merakam objek-objek kecil seperti bunga, syiling atau ketika menyalin tulisan notis dengan kamera. Namun setiap kamera mempunyai kapasiti jarak fokus makro yang berbeza iaitu antara dua hingga 10 sentimeter (cm). Untuk mencuba, aktifkan mod ini dan acu hujung lensa pada subjek paling kecil yang ada disekeliling anda.

Berbeza dengan gambar biasa, pemfokusan makro agak sukar dilakukan terutama apabila berlaku pergerakan. Untuk kesan terbaik, gunakan tripod. Tekan butang rakaman dan tunggu sehingga kotak empat segi sama pada skrin bertukar dari putih kepada hijau (tanda pemfokusan) untuk imej yang jelas dan tajam. Oleh kerana jarak fokus antara kamera dan objek yang terlalu dekat pada fotografi makro, matikan penggunaan flash bagi mengelakkan tompokan putih.
Mod makro untuk merakamkan objek yang lebih berseni.

Mod Sukan
Penggunaan mod sukan atau disebut aksi pada sesetengah kamera dikhaskan untuk rakaman subjek yang bergerak seperti kenderaan, binatang peliharaan dan aktiviti sukan hari keluarga.
Mode yang biasanya ditandakan dengan ikon orang berlari ini membolehkan kita merakam gambar lebih tajam. Dengan mod ini, kamera meningkatkan kelajuan pengatup dan ISO untuk dedahan lebih cahaya.

Selain itu, kita juga boleh memilih fungsi rakaman secara berterusan (burst shot) di mana kamera akan merakam imej tanpa henti selagi butang rakaman ditekan. Dengan penyelarasan itu, kita dapat mengelakkan saat-saat yang diinginkan terlepas. Panduan berguna untuk rakaman gambar aksi yang lebih kreatif adalah dengan cara menyorot (panning) kamera selari dengan pergerakan subjek bagi menghasilkan latar belakang yang kabur sekali gus memberi gambaran subjek sedang bergerak.
MOD sukan dapat mengelakkan kekaburan pada subjek.

Skarf Matt

Saingan untuk Buff pada perbezaan harga yang ketara.

TERDEDAH pada panas terik matahari, habuk dan debu sudah menjadi sebahagian daripada kebiasaan mereka yang kerap menghabiskan masa dengan aktiviti luar. Mahu atau tidak, pemilihan pakaian yang bersesuaian harus diberi keutamaan.

Di dalam keadaan seperti itu, perlindungan yang tidak boleh diabaikan adalah pada bahagian kepala. Di kalangan penggiat aktiviti luar, penutup kepala sudah menjadi keperluan utama khususnya bagi yang bergiat di dalam aktiviti pendakian, rekreasi hutan, memancing, berbasikal dan selam skuba.

Bagi menggantikan fungsi tuala kecil yang digunakan sebagai penutup kepala satu ketika dahulu, skarf kini diperkenalkan dengan pelbagai rekaan dan corak yang menarik. Bagaimanapun kebanyakan dijual pada harga mahal.

Bagi yang agak keberatan membelanjakan seratus ringgit untuk sehelai skarf import, pilihan pada harga RM59 kini ditawarkan oleh Matt. Produk dari Barcelona, Sepanyol itu merupakan skarf terbaru yang kini berada di pasaran tempatan.

Dihasilkan daripada gentian mikro polister, skarf ini mampu melindungi kepala daripada pancaran sinar ultraungu yang boleh menjejaskan kesihatan kulit. Skarf Matt boleh dipakai dengan pelbagai gaya seperti topi, kopiah, topeng muka, pembalut leher, topi lanun dan di pergelangan tangan.

Kain berbentuk tiub yang elastik ini mudah dilipat, dipintal dan diikat tanpa menjejaskan kekuatan cengkaman. Ia juga tidak mudah luntur dan kendur walaupun dipakai pada tempoh yang lama. Di kalangan wanita, keringkasan produk ini menjadikannya cukup popular sebagai pelindung dan pengikat rambut.

Selain permukaan kain yang kalis angin, pemakaiannya juga kemas di kepala, mudah dilipat, dibersih dan dikeringkan. Maklumat lanjut berkenaan produk boleh diperolehi daripada Langkawi Sport Adventure (012-492 8250), Scuba Dynamics (03 2300 1489) dan Kedai Skuba (Facebook).

Feb 9, 2011

Philea Resort & Spa

Heart of Landscape

PENGINAPAN lodge yang dibina menggunakan susunan kayu balak bukanlah sesuatu yang asing di luar negara. Di Amerika Syarikat, penginapan seperti itu cukup popular sebagai rumah persinggahan untuk percutian seisi keluarga.

Dikelilingi keindahan gunung dan tasik, tarikan yang dimiliki oleh penginapan lodge mencetuskan keinginan kita untuk menjenguk dan merasai kehidupan di dalamnya. Bahkan dengan tarikan yang sinonim, semakin ramai pengusaha pelancongan kini menggunakan lodge sebagai nama untuk mempromosi penginapan mereka. Jika anda pernah mencuba satu daripadanya, ia tidak lebih sekadar hotel atau calet biasa. Namun kini, penginapan lodge kini bukan lagi sesuatu yang asing di negara ini.

Dibina pada skala lebih besar, Philea Resort & Spa di Ayer Keroh, Melaka menawarkan percutian ala country yang dipakejkan bersama perkhidmatan resort mewah. Rangkaian resort milik Majestic Hotels & Resorts Sdn. Bhd. yang dibuka pada pertengahan tahun lalu telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai resort balak (log resort) yang pertama dan terbesar di rantau ini. Dibina dengan kos RM140 juta, resort seluas sembilan hektar itu merupakan satu daripada pilihan resort premium di negara ini. Ia menawarkan percutian terbaik bagi mereka yang ingin lari dari kesibukan kota dan berehat dalam erti kata yang sebenar.

Peluang menginap di Philea Resort & Spa baru-baru ini boleh diumpamakan seperti melangkah ke alam lain. Bahkan tanpa mengetahui, anda mungkin terfikir bahawa ia sebuah resort di luar negara. Berbeza dengan resort-resort yang pernah dicuba sebelum ini, keterujaan begitu dirasai terutama ketika melihat deretan vila yang memancarkan warna seakan kuning keemasan.
Lupakan seketika tentang keindahan landskap kerana unit-unit vila dengan permukaan dinding berlekuk itu memang sesuatu yang tidak pernah dilihat di negara ini. Keunikan reka bentuknya juga cukup menarik ditatap. Apa yang harus diakui, susunan kayu pokok pain yang diimport dari Rusia itu benar-benar mencetuskan obsesi.

Kini saya sedia untuk menyelongkar kemewahan di Vila Pavilion, unit permulaan yang ditawarkan pada harga RM468 semalaman dengan dua sarapan pagi. Di Vila Pavilion, tetamu boleh memilih sama ada untuk mendapatkan satu katil saiz King atau dua katil single berasingan. Di hujung katil, televisyen LCD berskrin flat digantung bertentangan dengan dua lukisan akrilik.
Satu keunikan yang mungkin disedari adalah bauan dari kayu pokok pain yang berfungsi sebagai terapi aroma. Keindahan dalaman pula dihias dengan gabungan warna perang sedondon pada perabot dan langsir manakala tiga kerusi tetamu mengisi ruang dengan selesa.

Setiap lodge utama menggabungkan empat unit Vila Pavilion. Setiap unit dilengkapi beranda peribadi yang menyajikan keindahan landskap di sekitar resort. Di bilik mandi, semua kelengkapan dan peralatan perapian tersedia rapi. Sebagai maruah kemewahan, apa sahaja yang disentuh akan dikemas dan diganti semula setiap kali anda meninggalkan bilik. Imej kemewahan resort juga tertera pada hampir kesemua kelengkapan melalui logo yang diambil daripada perkataan Mandarin iaitu 'Chuan' yang bermaksud sungai.

Pavilion Villa -Kategori pertama

Antara kemudahan lain yang disediakan adalah pendingin udara, kipas syiling unik berbentuk bunga, bar mini, pembuat kopi, pengering rambut, meja tulis dan almari yang cukup selesa untuk kegunaan satu keluarga. Diingatkan di sini, pengalaman menginap satu daripada 80 unit Vila Pavilion itu mungkin menjadi penginapan paling mewah yang pernah anda alami.
KATEGORI kedua adalah bilik Vila Philea yang ditawarkan pada harga RM708 semalaman. Unit lebih mewah ini menawarkan ruang lebih besar dengan tab mandi seramik berbentuk kapal yang dipadankan dengan sebuah televisyen 32 inci.
Philea Suite -Kategori pertengahan

Philea Suite -Kategori pertengahan

Royal Villa-Kategori akhir
Terakhir dan paling mahal adalah unit penginapan super eksklusif iaitu Vila Royal yang ditawarkan pada harga RM2,296 untuk mereka yang inginkan kemewahan diraja. Dua unit yang didirikan di ‘pentas utama’ landskap ini menawarkan keluasan sebuah banglo yang disempurnakan dengan kolam renang dan jakuzi peribadi.

Landskap terbaik
Tanpa penafian, pertemuan reka bentuk vila yang unik dengan keindahan alam adalah tarikan utama yang menjadi pelengkap percutian di Philea. Rekaan landskap yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan itu ternyata membuahkan hasil. Di tengah-tengah resort yang dipagari kira-kira 3,000 pokok yang ditanam semula, limpahan air terjun dan aliran air sungai buatan menjadi hiasan paling bernilai yang dikongsi bersama semua unit.

Bukan sahaja deruan air yang mendamaikan, pemandangan diperhebatkan lagi dengan dua buah kolam yang dibina di antara aliran sungai. Satu dikhaskan untuk dewasa dan satu lagi untuk kanak-kanak. Bagi pasangan yang bercuti bersama bayi, luangkan masa secara lebih peribadi dengan menghantar anak anda ke pusat penjagaan kanak-kanak di Philikidz seketika waktu.
Sentuhan alam semulajadi dihidupkan lagi dengan rekaan lusuh yang kreatif melalui penggunaan kira-kira 8,000 keping kayu landasan kereta api terpakai yang digubah menjadi pagar dan pelapik tangga yang menghidupkan suasana lodge.

Satu lagi keunikan dapat dilihat jika anda melihat ke bahagian belakang vila. Berbeza dengan kebanyakan resort yang dipagari konkrit, susunan kira-kira 6,000 tan batu marmar disusun mengelilingi resort. Philea yang menggunakan nama spesies rama-rama merupakan destinasi percutian yang mampu membawa anda kepada kemuncak percutian.

Jan 24, 2011

T-shirt Dive



KEMEJA-T menjadi pilihan semua peringkat umur kerana rekaannya yang ringkas dan selesa dipakai. Seperti juga jeans, pemakaiannya sudah menjadi sebahagian daripada keperluan setiap hari.
Populariti yang tidak pernah pudar menjadikan kemeja-T antara pakaian paling verstail yang mampu digayakan dengan pelbagai cara. Bahkan pada masa kini, ia bukan sekadar fesyen tetapi dijadikan ‘kanvas ekspresi’ bagi si pemakai.
Tarikan utama adalah cetakan imej yang dipilih mengikut cita rasa, hobi, kerjaya, pilihan muzik dan sebagainya. Bahkan di pasaran sekarang, peminat boleh mendapatkan apa sahaja corak dengan mesej-mesej yang dihajatkan.
Jenama pakaian antarabangsa, Amphibious Outfitters baru-baru ini memasuki pasaran tempatan dengan pilihan kemeja-T yang direka khas untuk peminat selam skuba.
Kemeja-T lengan pendek dan lengan panjang yang menggunakan 100 peratus kain kapas ini menawarkan pelbagai imej berkaitan dunia selam yang dicetak dengan kualiti terbaik.
Amphibious Outfitters menampilkan pilihan kemeja-T dengan cetakan imej alam marin bertemakan lakaran karton, fantasi dan klasik seperti ikan jerung, kapal karam, belut laut dan sebagainya. Kemeja-T yang didatangkan dalam saiz kecil dan besar untuk saiz kanak-kanak dan dewasa ini boleh dibeli pada harga RM57 hingga RM70.

Jan 16, 2011

Kamera hibrid - Masa depan fotografi


TERPENGARUH dengan 'trend' kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) yang semakin menjadi-jadi, seorang rakan baru-baru ini mengakui membuat kesilapan selepas membeli DSLR berharga kira-kira RM3,500.

Selepas beberapa bulan memiliki kamera bertaraf semi profesional itu tanpa banyak digunakan, dia beralih kepada kamera kompak yang dibeli separuh daripada harga DSLR-nya. Pada mulanya, dia mendapatkan sebuah DSLR dengan harapan untuk menghasilkan imej yang berkualiti. Namun selepas rimas mengusung peralatan DSLR yang memenuhi beg galas, dia akur kepada kamera yang lebih mudah untuk dibawa.

"Saiznya besar dan saya mula menyedari pengendalian DSLR yang agak rumit," akuinya.

Hakikatnya, hal itu bukan sahaja berlaku kepada rakan saya bahkan kajian antarabangsa baru-baru ini mendapati kira-kira 20 peratus daripada pengguna kamera di dunia tidak meminati DSLR, tetapi tetap tidak mahu berkompromi tentang kualiti gambar.

Bagi pengeluar-pengeluar kamera di dunia pula, 20 peratus itu semestinya satu jumlah yang besar, peratusannya sama dengan jumlah pengguna DSLR di dunia. Jadi apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh kelompok 'pengguna baru' kamera di dunia?

Apa yang diperlukan adalah sistem yang lebih kecil dan ringan tetapi masih berupaya menghasilkan gambar dengan kualiti setanding DSLR, pada masa yang sama mempunyai kelas yang tersendiri. Di atas permintaan itu lahirlah kamera generasi baru iaitu kamera hibrid.

Panasonic yang muncul di pentas fotografi selepas era kamera filem membuat kejutan apabila menguasai pasaran baru itu melalui pengenalan model hibrid pertama iaitu Lumix G1. Lumix G1 adalah kamera pertama yang menggunakan teknologi rakaman imej tanpa cermin dengan lensa boleh ganti yang dinamakan sebagai sistem 'Micro Four Thirds'.

Selain Panasonic dengan barisan hibrid G1, G10 dan GF-1, dunia hibrid kini disertai oleh beberapa lagi jenama seperti Sony dengan model NEX 5, Olympus dengan E-PL2 dan Samsung dengan NX10. Tiga jenama yang mendahului pasaran hibrid ketika ini. Pada masa yang sama ramai berharap untuk melihat penampilan daripada dua jenama utama iaitu Canon dan Nikon.

Persoalan seterusnya, apakah saingan yang mampu diberikan oleh sebuah hibrid. Hibrid bukan sekadar kategori pertengahan di antara kompak dan DSLR, tetapi mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Dibina lebih kecil dan ringan berbanding DSLR, hibrid dilengkapi pengesan imej yang sama dengan apa yang digunakan pada DSLR, sekaligus menghasilkan kualiti imej yang setanding. Dengan kapasiti pemprosesan yang lebih tinggi, kamera hibrid kini dilengkapi dengan ciri-ciri utama yang ada pada kebanyakan DSLR. Bahkan sebahagian daripadanya sudah mengatasi keupayaan sebuah DSLR.

Teknologi pemfokusan automatik dan keupayaan ISO tinggi misalnya membolehkan gambar dirakam tanpa gagal walaupun di dalam pencahayaan gelap. Bukan sahaja pada ciri-ciri pemprosesan, hibrid juga berdiri setanding dengan DSLR dengan teknologi lensa boleh ganti yang memberikan aneka pilihan lensa daripada lensa sudut luas hingga lensa telefoto.

Cuma dengan kamera hibrid, anda tidak perlu membandingkan kepantasan bingkai sesaat (fps) dan tidak boleh terlalu berkira mengenai shutter lag yang hanya mampu dihitung dalam kiraan nanosaat. Apa yang baik, serahkan tugas rakaman fotografi serius, komersial atau sempurna kepada jurufoto yang profesional.

Yang penting, anda kini mempunyai sebuah kamera yang baik. Dan kamera yang baik seharusnya selesa dibawa ke mana-mana, sepanjang masa bersama anda dan tidak perlu ditinggalkan.

Sokongan untuk kreativiti hibrid kini dipertingkatkan lagi dengan lensa yang mempunyai bukaan cahaya yang besar sehingga f1.7 (pada GF1). Itu belum lagi mengambil kira fungsi art filter yang boleh diaktifkan pada rakaman gambar pegun dan video. Bahkan dengan kehebatan teknologi video berdefinisi tinggi (HD), hibrid kini mampu membuatkan pengguna DSLR tertunduk diam.

Semestinya hibrid mampu memberikan kepuasan di dalam dunia fotografi masa depan. Cuma bagi mereka yang sudah memiliki DSLR, berpindah kepada sistem hibrid mungkin menimbulkan kejanggalan dari segi kawalan butang operasinya yang kecil dan rapat.

Bagaimanapun, perkara itu bukanlah isu yang besar bagi mereka yang kini lebih mengutamakan saiz yang kecil sebuah kamera. Yang pasti hibrid memberikan pengalaman fotografi peribadi yang jauh lebih mudah.

MODEL terbaru Olympus E-PL2 (kanan) yang dilancarkan minggu lalu.