Aug 2, 2011

Disneyland Paris

 

SELAIN tarikan sejarahnya seperti Menara Eiffel, gerbang Arc de Triomphe, Notre Dame dan muzium Lurve, Paris juga dikunjungi kerana satu lagi tarikan yang cukup popular iaitu Disneyland Paris.

Jika Paris merupakan destinasi paling dikunjungi di dunia, taman tema yang terletak kira-kira 30 kilometer di luar ibu kota negara Perancis itu juga mempunyai reputasi yang hampir sama.

Dengan kunjungan 15 juta pelawat setiap tahun, Disneyland Paris sendiri tersenarai sebagai destinasi tarikan pelancong paling popular di Eropah. Ia menjanjikan kunjungan penuh dengan pengalaman yang tidak akan dilupakan.

Kesempatan melawat taman permainan dan hiburan di Chessy Marne-la-Vallee pada Mei lalu memberi peluang kepada penulis menjenguk apa yang ditawarkan oleh rangkaian resort Disney itu.

Cuma tempoh lawatan setengah sehari tidak membenarkan penulis menikmati keseluruhan hiburan yang ditawarkan dengan sekeping tiket (berharga kira-kira RM300). Mengikut apa yang dicadangkan pada risalah taman tema itu, pelawat memerlukan dua hingga tiga hari untuk menikmati semua hiburan dan permainan yang ditawarkan di situ.
Disneyland Paris dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu Taman Disneyland dan Taman Studio Walt Disney, itu tidak termasuk tujuh buah Hotel Disney, premis jualan, restoran dan pusat hiburan. Secara kasar, keluasan keseluruhan taman yang dibuka pada 1999 itu dianggarkan menyamai satu perlima daripada saiz pusat bandar Paris.
 
Taman tema pertama iaitu Taman Disneyland dibahagikan kepada beberapa konsep dan tema hiburan iaitu Fantasyland, Main Street USA, Frontierland, Adventureland dan Discoveryland. Pengembaraan di Fantasyland misalnya membawa pelawat ke alam penuh imaginasi seperti terbang bersama Peter Pan, Alice and Wonderland, Dumbo Flying Elephant, Pinocchio dan Jiminy Cricket.

 

Bagi yang mahukan lebih cabaran, permainan Big Thunder Mountain dan Indiana Jones boleh membawa pelawat mengembara dari perut bumi hingga ke puncak gunung. Selain perjalanan roller coaster berbentuk kereta api lombong biji timah itu, taman tema juga dipenuhi dengan pelbagai jenis permainan gelongsor berteknologi tinggi.

Bagi kanak-kanak, peluang bertemu dan bergambar dengan watak kegemaran mereka seperti Mickey Mouse, Snow White, Aladin dan banyak lagi pasti umpama mimpi bertukar realiti. 

Memeriahkan lagi suasana magis di taman tema itu adalah aksi pelawat khususnya kanak-kanak yang dipakaikan dengan pelbagai pakaian watak Disney oleh ibu bapa mereka. Premis jualan pakaian dan cendera hati itu juga dihias cantik dengan tema-tema tersendiri.

Jauh di tengah taman, tersergam sebuah istana berbumbung tajam yang selama ini hanya dilihat melalui siri kartun dan animasi. Istana Sleeping Beauty itu merupakan pentas persembahan dan perarakan yang paling dinanti-nantikan pelawat.

Acara yang dianggap sebagai kemuncak hiburan di Disneyland itu bermula dengan persembahan teater oleh watat-watak Disney sebelum diakhiri dengan persembahan bunga api yang menghidupkan keajaipan alam Disney.

Sementara itu di taman kedua iaitu Taman Studio Walt Disney yang dibuka tiga tahun selepas pembukaan Disneyland Paris menyajikan hiburan dengan citarasa berkonsepkan Hollywood. 

Hiburan untuk dewasa dan kanak-kanak termasuk persembahan lagak ngeri oleh pasukan Hot Cars, terjunan dari tingkat 13 (roller coaster maya) dan mengetahui rahsia di sebalik pembikinan filem -filem terkemuka Hollywood.

Belum lagi berakhir, kepuasan di Disneyland Paris bukan sekadar hiburan di dua bahagian taman tema kerana tarikan di Disney Village juga tidak kurang menariknya. Alami dramatik Mickey dan rakan-rakan melalui persembahan Buffalo Bill's Wild West, teater IMAX yang menayangkan filem-filem terkini, bersantai di kafe atau menjenguk sedikit cenderahati di Planet Hollywood.



Bagi yang bercuti dengan keluarga, persinggahan ke Disneyland Paris juga memberi peluang menginap di dalam 'istana' seperti keluarga di raja. Penginapan yang boleh dipilih di salah satu daripada tujuh Hotel Disney itu ditawarkan mengikut tema-tema tertentu.

Cuma harga yang perlu dibayar untuk merasai kemesraan layanan hotel bertaraf antarabangsa itu mungkin boleh 'mencederakan' perbelanjaan anda. Antara yang paling hampir dengan taman termasuk Magic Circus, Residence Du Parc, Park & Suites Prestige Val d’Europe, Relais Spa Cheesy.

Tiket satu hari untuk dewasa dijual pada harga kira-kira RM300 untuk dewasa dan RM270 untuk kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun. Dengan hiburan tanpa henti, permainan berteknologi tinggi, hiasan kota fantasi dan kemeriahan watak Disney, harga yang dibayar tidaklah terlalu mahal.

Dengan segala tarikan yang menakjubkan itu, Disneyland Paris bukan sekadar tempat untuk berhibur malah membebaskan segala kerisauan yang bersarang di kepala.

TUCSON


Hyundai memperkenalkan model pertama Tucson di negara ini kira-kira enam tahun lalu. Berbanding pesaingnya seperti Honda CR-V, Ford Escape dan Toyota RAV-4, kenderaan utiliti sukan (SUV) itu boleh dikatakan sesuatu yang agak mudah dilupai.

Namun, Hyundai tidak mengambil masa yang lama untuk bangkit. Pengeluar kenderaan keempat terbesar di dunia kemudian mengejutkan pasaran dengan penampilan model Sonata YF yang terus mengubah persepsi pada kenderaan jenama Korea itu.

Hyundai juga memberi tamparan hebat kepada reka bentuk jentera buatan Jepun dan Eropah. Dan terbaru, barisan produk Hyundai diperkemaskan dengan kelahiran generasi kedua Tucson, (disebut 'too-sawn').


Tucson terbaharu tampil dengan perubahan ketara berbanding model terdahulu, dengan mengemas kini reka bentuk, teknologi, kelebihan kuasa dan penjimatan bahan bakar.
Perubahan paling ketara boleh dilihat pada lingkungan aerodinamik dan reka bentuk fluid yang ditamatkan dengan gril depan berbentuk heksagon yang cukup kemas. Model yang diperbesarkan tiga inci lebih panjang dan seinci lebih lebar itu baru-baru ini dipilih sebagai pemenang dalam segmen SUV-C.

Di negara ini, Hyundai-Sime Darby Motors memasarkan tiga pilihan Tucson pada harga atas jalan RM126,400 (2.0 spesifikasi biasa), RM136,142 (2.0 spesifikasi tinggi) dan RM150,750 (2.4 spesifikasi tinggi). Setiap unit ditawarkan dengan bonus tambahan iaitu pemilikan jentera tanpa penyelenggaraan sepanjang hayat seperti beberapa lagi jentera Hyundai yang lain.

Tucson dipacu dengan transmisi automatik enam kelajuan yang menghasilkan pemanduan lancar, tindak balas cekap yang memberikan lebih penjimatan. Transmisi shiftronic yang diguna pakai pada jentera ini dikatakan mampu menjimatkan kira-kira 25 peratus bahan bakar berbanding model lama.
 
Enjin Theta II 2.4 liter empat silinder itu mampu menghasilkan 176 kuasa kuda dan 168 tork. Dengan kuasa yang tidak kurang hebatnya untuk sebuah SUV, pecutan Tucson mampu mencapai 180 kilometer sejam. Bagaimanapun perlu difahami, SUV yang lengkap dengan teknologi ini lebih kepada pacuan bernilai dan bukannya untuk prestasi. 

Seperti Sonata, Tucson turut diperhebat dengan kemewahan sebuah sedan iaitu bumbung panorama yang berfungsi pada satu sentuhan butang. Selain itu, pengendalian jentera juga dipermudahkan lagi dengan pengesanan kunci bersensor (key-less entry) dan penghidupan dengan sentuhan butang ON/OFF.

Di kabin depan, kedudukan papan pemuka yang rendah memberikan sudut pandangan yang selesa dan luas. Pemandangan peribadi pemandu diperkemaskan dengan susunan butang-butang fungsi yang ringkas dan elegan. Keseronokan memandu juga dihiburkan dengan sistem stereo 160 watt yang disalur melalui enam pembesar suara yang menyokong format cakera audio, MP3 dan iPod.

Di bahagian belakang, Tucson memuaskan pemilik dengan kelebihan ruang kargo yang cukup luas untuk kegunaan sekeluarga. Untuk isian berganda, lipatan kerusi belakang pula cukup untuk memuatkan beberapa buah basikal.

Dengan jaminan perbatuan sehingga 300,000 kilometer, Tucson mampu milik ini boleh dipandu sejauh 164 kilometer setiap hari selama lima tahun tanpa kerisauan. Dengan segala ciri dan kelebihan, ia sesuai untuk kegunaan seorang pemandu eksekutif di bandar atau pemanduan lebih mencabar pada hujung minggu.

Jul 19, 2011

Turki - | Pertembungan Asia dan Eropah

Kehebatan tamadun Turki bermula lebih awal berbanding mana-mana kerajaan yang ada di dunia. Tanahnya pernah menjadi saksi jatuh dan bangunnya empayar-empayar terhebat seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.
Namun anda tidak akan sampai ke Turki jika terus membelek ketebalan sejarahnya. Cara terbaik untuk menyaksikan kehebatan itu adalah dengan terbang ke sana dan melihatnya sendiri.
Bagi yang mengagumi sejarah, Turki adalah destinasi terbaik untuk dilawati. Bahkan sehingga kini, khazanah yang tersimpan di perut buminya masih belum habis digali dengan purata 150 ekskavasi baru setiap tahun.
Turki yang mempunyai 10 bandar utama menawarkan seribu satu kepuasan khususnya keindahan seni bina lama, kehalusan budaya dan tarikan alam semula jadi.
Salah satu daripada kota yang paling dikunjungi di negara republik itu adalah Istanbul. Bandar di tepi Selat Bosphorus yang terletak di antara Laut Hitam dan Laut Marmara, bersempadan dengan Bulgaria dan Greece.
Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Konstantinopel dengan populasi 20 juta penduduk merupakan salah satu daripada bandar utama di Eropah. Bukan itu sahaja, ia juga satu daripada destinasi paling dikunjungi di dunia.
Tahun lalu, Kesatuan Eropah menobatkan 'jambatan' yang menghubungkan Eropah dan Asia Barat itu sebagai Pusat Kebudayaan Eropah sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan Turki.
Namun melawat Istanbul bukan semata-mata kerana tinggalan sejarahnya. Selain keindahan seni bina, ia juga dikunjungi kerana kehalusan budaya dan beraneka sajian makanan.

 

Salah satu daripada tarikan paling dikunjungi di Istanbul adalah Masjid Biru atau namanya Masjid Sultan Ahmed yang pernah menjadi pusat pentadbiran Khalifah Uthmaniyyah.
Dibina antara tahun 1609 hingga 1619, kehebatan seni bina Islam yang masih utuh berdiri itu adalah ikon pelancongan yang menghiasi poskad dan barang-barang cenderahati. Ia boleh dibezakan melalui enam batang menara berbentuk pensil dan kubah gergasi berwarna kelabu kebiruan.
Selain struktur yang gah, melawat Masjid Biru juga memberi peluang kepada pelancong menyaksikan keindahan hiasan dalaman yang dipenuhi kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran.
Masjid yang pernah menjadi simbol penyatuan rakyat itu merangkumi pelbagai kemudahan sosial termasuk hospital, kolej, perpustakaan, pasar, dapur dan makam keluarga.
Selain Masjid Biru, Istanbul juga dipenuhi dengan seni bina yang melambangkan kegemilangan Islam pada masa lampau. Antara tarikan lain di Istanbul termasuk Masjid Suleyman, Masjid Fethiye dan Muzium Aya Sofia yang pernah berfungsi sebagai masjid dan gereja.

Untuk melihat susunan kota Istanbul dan keindahan bandar yang melata disekelilingnya, pelancong boleh melawat Menara Galata yang terletak tidak jauh dari muka muara Golden Horn.
Menara setinggi 70 meter yang mempunyai bumbung berbentuk kon itu merupakan menara batu tertua di dunia yang juga antara tarikan utama di Istanbul. Dibina menggunakan kayu pada ketinggian 35 meter dari paras laut pada zaman Byzantine, ia diperkukuh semula dengan binaan batu pada 1348. Selepas penaklukan kerajaan Uthmaniyyah, Menara Galata dijadikan penjara sebelum berfungsi sebagai menara peninjauan bandar.
Dari puncak menara itu, pelawat boleh menyaksikan sebahagian besar daripada kota Istanbul yang mengadap muara Golden Horn antaranya Istana Topkapi, Masjid Biru, Masjid Suleyman, Aya Sopia, Masjid Yeni, Jambatan Galata dan Menara Beyazit.
Menara Galata beroperasi dengan dua lif yang membawa pelawat dari pintu masuk ke puncak menara yang turut dilengkapi restoran dan ruang tinjau. Istanbul sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan keagungan zaman pemerintahan Uthamaniyyah dan seni binanya. 
 
Salah satu daripada kehebatan itu adalah Istana Topkapi yang terletak tidak jauh dari tebingan Sungai Bophorus, sempadan antara dua benua. Selain menjadi bekas kediaman para pemerintah Khalifah Uthmaniyyah selama hampir 400 tahun (1465-1856), istana yang ditukar menjadi muzium oleh Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Attaturk itu turut menyimpan khazanah Islam yang tidak ternilai termasuk pedang dan kain mantel Nabi Muhammad. Pada masa kini, tarikan utama di situ dimeriahkan dengan penganjuran majlis kerajaan, keraian dan hiburan.
Istana berkeluasan 700,000 meter persegi yang dilindungi oleh tembok sepanjang lima kilometer mempunyai empat laman dan bangunan-bangunan kecil. Pada zamannya, Istana Topkapi memuatkan kira-kira 4,000 penghuni pada satu-satu masa.
Satu lagi cara terbaik untuk kembali ke zaman kegemilangan kota itu adalah dengan menaiki bot persiaran di sepanjang Sungai Bosphorus.
Menyusuri perairan tersebut menyajikan keindahan bandar yang dipenuhi struktur bersejarah seperti Istana Dolmabahce, Kubu Rumeli, Besiktas, Sariyer dan Kanlica.
Persiaran yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu akan singgah di Kubu Anadolu untuk sesi kunjungan dan makan tengah hari sebelum ia berakhir di Eminonu.

 
Selain keindahan kota, Istanbul juga dikenali dengan produk dan barangan tempatan seperti karpet, perhiasan, barang kemas dan rempah-ratus. Bazar Utama Kapali Carsi merupakan satu lagi tarikan wajib di Istanbul.
Bazar yang menempatkan kira-kira 4,000 gerai di kawasan meliputi 50 lorong itu menerima kira-kira suku hingga setengah juta pelawat setiap hari, menjadikannya antara yang terbesar di dunia.
Bazar Kapali Carsi dibuka oleh Sultan Mehmed II pada 1461. Keluasan bazar berkenaan boleh dibayangkan melalui penyediaan dua buah masjid di dalam kawasan itu, barisan restoran dan air pancut yang disediakan untuk istirehat.
Bagi yang tidak kisah mengembara lebih jauh ke bahagian tengah Turki, keunikan kawasan pergunungan Cappadocia juga antara pilihan yang menyajikan pelancong seribu kejutan.
Cappadocia merupakan penempatan masyarakat Persia kuno di lereng bukit yang dibina dengan cara menebuk batu untuk dijadikan kediaman.
Penempatan sejak dari Zaman Gangsa yang dikelilingi formasi batu berbentuk kon itu merupakan tarikan pelancongan paling popular di Anatolia, bahagian tengah Turki.

Jul 18, 2011

Shanghai syurga si pengembara

 
BERMULA dari hanya sebuah perkampungan nelayan kecil, Shanghai berkembang kepada sebuah bandar pelabuhan dan kini menjadi kota metropolitan yang paling pantas membangun di dunia. Peluang ke Shanghai baru-baru ini memberi peluang kepada say menyelongkar keindahan kota yang dipenuhi bangunan pencakar langit dan serba-sedikit sejarahnya.
Kepesatan dan keunikan Shanghai bukanlah sesuatu yang baharu dikenali tetapi telah lama dikagumi dunia sebagai pusat pertembungan budaya asing seperti Inggeris, Perancis dan Amerika.
Perkembangannya bermula selepas kekalahan China kepada Inggeris dalam Peperangan Candu pada 1842 yang memaksa China melepaskan kuasa pentadbiran di Shanghai.
Pentadbiran Shanghai kemudian diserahkan kepada lapan kuasa asing iaitu Inggeris, Jerman, Amerika, Itali, Perancis, Jepun, Austria dan Hungry.
Kawasan penempatan dan pentadbiran antarabangsa yang dibentuk melalui Perjanjian Pelabuhan kemudian menjadi titik tolak kepada pembangunan yang lebih terbuka dan maju sehingga hari ini.
Sebagai kota di mana undang-undang China tidak berkuasa, Shanghai menjadi tumpuan pengembara yang datang dari seluruh dunia untuk mencuba nasib. Dikatakan, 'kota kebebasan' itu menjadi syurga persembunyian pesalah yang melarikan diri dari pihak berkuasa.
Selain itu pembangunan yang rancak akibat kemasukan pedagang dari Timur dan Barat turut mengundang masalah apabila kebanyakan kawasan di kota itu bertukar menjadi sarang ahli-ahli kongsi gelap yang mengambil kesempatan terhadap para peniaga.
Suasana itu pernah digambarkan melalui drama popular, The Bund yang dilakonkan oleh Chow Yun Fat pada awal 80-an.
Pada masa kini, budaya samseng berkapak itu menjadi sebahagian daripada kebudayaan Shanghai yang dipertontonkan kepada pelancong melalui persembahan tarian dan fesyen.
Shanghai moden
Pada masa kini kota kedua terbesar di China yang didiami oleh lebih 23 juta penduduk itu dibahagikan kepada dua wilayah utama oleh Sungai Huangpu. Wilayah Pudong di sebelah timur dan Puxi di barat.
Peluang menetap di Hotel Gran Melia Shanghai yang terletak di tepi Sungai tersebut baru-baru ini memberi peluang kepada saya menyelongkar beberapa kawasan tumpuan pelancong di Pudong dan Puxi. Tarikan utama semestinya bangunan pencakar langit yang terletak tidak jauh dari situ. 
Untuk merakam keindahan kota berprestij itu, saya ke Waitan iaitu lokasi tumpuan pelancong untuk menaiki bot persiaran yang lebih dikenali dengan nama Inggerisnya, The Bund. Selain bangunan moden, kawasan tebingan sungai itu juga dihiasi keindahan bangunan zaman kolonial.
Pemandangan pada waktu malam dari atas bot memperlihatkan susunan bangunan yang dihiasi lampu neon berwarna-warni. Setiap bangunan juga berfungsi sebagai 'papan iklan' gergasi yang berubah warna dan imej sepanjang masa.
Berdiri paling gah di situ adalah tiga struktur paling tinggi di Shanghai iaitu Menara Oriental Pearl, Menara Jin Mao dan Pusat Kewangan Dunia. Pusat Kewangan Dunia setinggi 492 meter merupakan bangunan tertinggi di China dan ketiga di dunia.
Itulah Shanghai, kota yang dipenuhi dengan 'alat-alat permainan' kerajaan. Ia digambarkan sebagai bandar contoh republik itu seratus tahun akan datang. Landskap konkritnya pula berubah secara drastik setiap tiga tahun.
Selain pencakar langit, Shanghai juga memiliki rangkaian kereta api Maglev yang merupakan kereta api terpantas di dunia. Jika berpeluang ke sana, pecutan selaju 430 kilometer sejam itu mungkin antara pengalaman yang tidak ingin dilepaskan.
Bagi yang bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Beijing dari Shanghai, sistem rel magnetik yang dibangunkan oleh teknologi Jerman itu hanya memakan masa lima jam berbanding lapan jam sebelum ini. Kelancaran lalu lintas di bandar itu juga diurus teratur dengan enam terowong bawah sungai.
Namun pembangunan yang pesat bukanlah sesuatu yang dibanggakan oleh setiap penduduknya. Ungkapan yang paling popular di situ mengatakan 'Shanghai adalah syurga untuk si kaya dan neraka bagi si miskin'.
Kehidupan di kota serba mewah itu bukan sahaja memberi tekanan kepada yang berpendapatan rendah bahkan golongan yang berpendapatan sederhana turut tertekan dalam meneruskan kehidupan. Bayangkan jika harga sebuah pangsapuri bertaraf kos sederhana boleh mencecah harga jutaan Yuan.
Namun hakikatnya, peluang pekerjaan yang menanti di kota itu tetap menarik rakyat dari serata dunia untuk mencuba nasib.
Penulis juga berkesempatan ke lokasi pelancongan terkemuka iaitu Bandar Lama Shanghai (Yuyuan). Bagi yang tidak kisah berbelanja, Yuyuan adalah peluang terbaik untuk menikmati keenakan makanan cina di salah sebuah restoran paling popular di Shanghai, iaitu Restoran Lu Bo Lang.
Untuk kunjungan lebih bermakna, tetamu boleh menempah persembahan The Changing Face iaitu tarian opera seorang perwira yang menukar topeng sepantas kilat (sebanyak enam kali).
Di dinding restoran itu tertera gambar-gambar individu ternama yang pernah bertandang termasuk Fidel Castro, Bill Clinton, Queen Elizabeth dan ramai lagi.
Walaupun Shanghai sebuah bandar mahal, peluang untuk membeli-belah dengan harga yang berpatutan masih ada. Penulis ke pasar raya bawah tanah Plaza AP yang terletak di bawah laluan Metro 2. Di sini pelawat boleh mendapatkan barang-barang tiruan yang berkualiti.
Jangan terlalu teruja membayar kerana harga bagi setiap barang boleh dikurangkan lebih separuh daripada harga yang ditawarkan.

Jul 14, 2011

Ronnie Mohamad


Niat untuk bertemu dengan seorang pelukis ternama tanah air di Kompleks Kraftangan di Jalan Stonor baru-baru ini akhirnya beralih kepada seorang pelukis muda bernama Hairani Mohamad, 33, pemilik karya bertajuk Marhabban yang dilihat sebelum itu.
Hairani yang dikenali dengan nama pena, Ronnie Mohamad cukup ramah semasa didekati, kemesraan itu menepis prasangka bahawa orang seni biasanya hidup di dalam dunia sendiri dan sukar difahami.
Melihat gaya muda dan kasualnya, agak mudah untuk meneka pengalaman melukisnya tetapi tidak apabila melihat karya-karnyanya. Lukisan-lukisan yang tersusun di tempat kerja di situ jelas memperlihatkan kematangan bakat pelukis muda yang akan terus menyinar.
Bermula sebagai pelukis potret jalanan kira-kira 15 tahun lalu, karya Ronnie kini semakin dikenali khususnya melalui pameran yang diadakan di seluruh negara termasuk beberapa pameran di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Selain lukisan bertajuk Marhabban, tumpuan saya pada pertemuan itu turut tertumpu pada sekeping lukisan besar yang masih lagi berbalut. Di sebalik bungkusan plastik, kelihatan imej seorang lelaki yang sedang menadah tangan dan berdoa.
"Itu adalah Kepadamu Kekasih. Karya saya yang baru dipulangkan oleh Balai Seni Lukis Negara selepas pameran baru-baru ini," kata pelukis kelahiran Segamat, Johor itu.
Memperincikan minatnya dalam seni lukisan, Ronnie memilih wajah manusia sebagai fokus karya. Bagi bapa kepada dua anak itu, wajah manusia menyampaikan seribu pengertian dan membuka ruang terjemahan yang sangat luas.
Namun lakaran wajah yang dihasilkan beliau bukan sekadar lukisan potret biasa. Sejak beberapa tahun lalu, Ronnie beralih kepada konsep lukisan yang lebih bergaya kontemporari.
"Saya masih melukis potret tetapi apa yang saya lakukan sekarang berbeza dengan apa yang saya lukis dahulu.
"Sekarang lukisan saya lebih kepada potret yang mempunyai luahan dan ekspresi yang lebih ekstrem dan mendalam," jelasnya yang mengidolakan pelukis Ahmad Zaki dan Bayu Utomo Radjikin.
Nyata sekali karya-karya Ronnie mempunyai keunikan tersendiri. Ia jelas dilihat pada lakaran-lakaran kasar yang diperkemaskan dengan gosokan dan sentuhan yang halus dan rapi.
Berbeza dengan lukisan biasa yang dihasilkan dengan cat dan berus, lukisan hitam putih Ronnie dihasilkan menggunakan arang yang mempunyai kekuatan dan kedalaman yang tersendiri.
Namun begitu, cabaran lukisan arang jauh berbeza dengan kaedah lukisan biasa kerana penggunaan warna yang terhad.
"Saya hanya memiliki dua warna iaitu hitam pada arang dan putih pada kanvas. Tanpa warna-warna lain, saya memaksimumkan kreativiti untuk menghidupkan sesebuah lukisan," katanya.
Kesukaran teknik itu katanya adalah untuk mendapatkan kesan warna bagi membezakan sesuatu tekstur seperti pakaian, kulit manusia, besi, kayu dan sebagainya.
Menurut Ronnie, untuk menguasai kemahiran lukisan arang, seseorang pelukis harus menguasai dan memahami sifat bahan yang digunakan. Selain lakaran yang tepat, contengan comot turut dijadikan sebahagian proses penceritaan sesebuah lukisan.
Namun sebagai artis di dalam dunia penuh kreativiti, beliau tidak boleh terlalu bergantung kepada kebiasaan identiti. Ada masanya beliau mencuba sesuatu yang berlainan daripada biasa.
Dari kerusi melukisnya, Ronnie bangun untuk menunjukkan lukisan seorang lelaki Melayu berkeris yang sedang bersilat. Lukisan itu katanya antara karya terbaik kerana penggunaan teknik lukisan terbalik.
"Untuk lukisan ini saya warnakan seluruh permukaan kanvas dengan warna hitam, kemudian baru saya 'keluarkan' warna putih dan kelabu," katanya yang tidak pernah mendapat pendidikan formal di mana-mana institusi.
Dari RM45 kepada RM8,000
Hasil kegigihan dan kesungguhannya, Ronnie membuktikan pembabitannya secara serius di dalam bidang itu telah membawa pengiktirafan dan pulangan yang berbaloi.
Daripada lukisan potret yang dijual pada harga RM45 sekeping 15 tahun lalu, kini lukisan paling mahal Ronnie sudah hampir mencecah RM10,000.
"Dimarah dan dimaki hamun pelanggan sudah menjadi perkara biasa semasa saya mula-mula melukis dahulu.
"Dulu saya melukis mengikut kehendak orang tetapi sekarang orang mahukan lukisan mengikut gaya saya," katanya juga pernah melukis Pasar Seni Kuala Lumpur.
Dengan pasaran yang semakin positif, sambutan yang diterima kini juga berubah. Ronnie berkata, dengan gaya persembahan yang berindentiti sendiri pelukis dapat melebarkan pasaran dengan lebih luas.
"Seorang pengumpul lukisan pernah membeli empat lukisan saya secara serentak. Ada juga yang menggantung lukisan saya sebaris dengan karya Ahmad Zaki," katanya dengan penuh kepuasan.

Sydney

DIKELILINGI tebingan air yang indah, seni bina ikonik dan alam semula jadi yang menakjubkan, Sydney merupakan satu daripada pilihan percutian terbaik untuk dicuba.
Apa sahaja kecenderungan minat semasa melancong, bandar terbesar di Australia yang menduduki carta 10 kota terbaik untuk didiami itu mampu memenuhi segala kehendak percutian.
Kota metropolitan yang dipenuhi warna-warni festival, seni budaya, aneka selera makanan dan aktiviti yang cukup mendebarkan itu membawa masuk tidak kurang daripada 22 juta pelancong setiap tahun.
Sydney menawarkan banyak tempat menarik untuk dipilih. Seringkali disalah-anggap sebagai ibu negara Australia, Sydney merupakan tuan rumah kepada dua ikon paling hebat di bumi Australia iaitu Opera House dan Harbour Bridge. 
Tetapi kedua-duanya bukan semata-mata tarikan di Sydney. Bagi yang pertama kali menjejakkan kaki ke bumi di tenggara pulau Australia itu, kepelbagaian tarikan pasti membuatkan mereka rambang mata untuk memilih. Seperti biasa, tarikan utama adalah destinasi pertama yang harus dicuba dan tidak boleh dilepas pandang.


Opera House
Percutian ke Sydney sememangnya tidak akan lengkap tanpa menjenguk ke pusat seni kota yang menjadi tuan rumah kepada beribu-ribu persembahan bertaraf antarabangsa setiap tahun. Bahkan bangunan berbentuk cengkerang siput yang kita kenali sejak dari bangku sekolah itu boleh dikatakan sebagai objek paling sinonim dengan Sydney. Walaupun tidak mendapat tempat duduk di barisan teater berprestij itu, berdiri di depan kubahnya sahaja sudah cukup untuk mengabadikan kenangan.
Bangunan yang penuh dengan ciri-ciri futuristik dan bentuk geometri mengagumkan itu direka oleh arkitek Denmark, Jorn Utzon. Ia disiapkan pada 1973 dengan kos AS$70 juta dan dianggap satu daripada karya bangunan teragung pada kurun ke 20. Ia pernah memenangi anugerah seni bina paling berprestij iaitu Hadiah Pritzker. 
Opera House terletak dalam kawasan Sydney Harbour di Cicular Quay tidak jauh dari satu lagi struktur tarikan utama pelancongan Sydney iaitu Harbour Bridge. Di sepanjang laluan, pelancong boleh bersantai di restoran yang banyak terdapat di kawasan itu.

 
Harbour Bridge
Mendapat gelaran The Coat Hanger, jambatan besi setinggi bangunan 50 tingkat ini merupakan salah satu daripada seni bina terhebat di Australia selepas Opera House.
Jambatan berbentuk gerbang yang kelima terpanjang di dunia itu menempatkan landasan kereta api, jalan raya lapan lorong dan laluan jalan kaki yang tergantung pada ketinggian 134 meter dari permukaan air. 
Ia yang disiapkan pada 1932 merupakan struktur paling tinggi di Sydney sehingga 1967. Namun pengalaman di Harbour Bridge bukan sekadar untuk dilihat atau dipandu lalu. Pengunjung boleh mencuba pendakian Discovery ke puncak jambatan untuk menyaksikan keindahan panorama bandar Sydney. Selain itu, sebuah muzium yang menceritakan sejarah dan kehebatan kejuruteraan jambatan itu boleh dikunjungi di Pylon Lookout. 

Menara Sydney dan Skywalk
Berdiri pada ketinggian 260 meter dari paras laut adalah menara tertinggi di Australia yang dibuka pada Oktober 2005. Dengan memakai abah-abah, pelawat boleh berjalan di atas dek pemerhatian kaca yang mengunjur untuk mendapatkan pandangan 'mata burung' di bawah tapak kaki. Cabaran ini bagaimanapun tidak sesuai untuk mereka yang lemah semangat.
Dari atas menara, pelawat boleh melihat mengelilingi sudut 360 darjah. Dari situ, pelawat boleh melihat Stadium Olimpik Sydney, Muzium Maritim dan ikon-ikon lain.


Sydney Harbour
Malam atau siang, pengalaman di salah satu daripada pelabuhan tercantik di dunia itu sering digambarkan sebagai sesuatu yang ajaib sepanjang percutian di Sydney. Pelancong boleh mencuba feri persiaran atau menyaksikan matahari terbenam dari atas kapal layar di sekitar Sydney Harbour. Bagi yang inginkan lebih cabaran di perairan itu, mencuba pecutan bot laju juga menjanjikan pengalaman yang hebat.

Membeli-belah
Melancong ke mana-mana tidak lengkap tanpa peluang membeli-belah. Di Sydney, pelancong yang gemar berbelanja tiba di destinasi yang tepat dengan pilihan barangan fesyen terkini, produk terbaru, kraftangan dan cenderahati.
Barisan kedai butik di bandar Sydney, Paddington, Surry Hills, Bondi dan Newtown misalnya antara syurga membeli-belah kegemaran ramai. Bagi yang menggemari barangan dari pasar minggu, Paddy's Market berlangsung sepanjang Rabu hingga Ahad dan Rocks Market (Sabtu dan Ahad).
Tarikan luar kota
Di pinggir kota Siydney terdapat tarikan lain seperti Blue Mountains dan Port Stephens.
Blue Mountain yang terletak hanya satu setengah jam perjalanan dari Sydney merupakan taman negara yang tersenarai sebagai warisan dunia.
Di sini para pengunjung disajikan dengan keindahan flora dan fauna melalui pengalaman menaiki kereta api khas atau kereta kabel yang dikenali sebagai Scenic Skyway.
Satu lagi tarikan di pinggir kota Sydney ialah Port Stephens yang merupakan syurga untuk ikan lumba. Di sini pelancong boleh melihat lebih 160 ikan lumba-lumba dari spesies bottle-nosed.
Pantai di Port Stephen yang terkenal sebagai kawasan berpasir terbesar di hemisfera selatan itu juga boleh diterokai dengan kenderaan pacuan empat roda quad bike . Di sini pelacong akan dapat merasai tunggangan lasak merentasi bukit-bukit pasir yang digelar Sand Tobogganing. Bagi maklumat lanjut mengenai tarikan istimewa yang terdapat di sydney boleh layari www.australia.com.

Jul 4, 2011

Keindahan Kota Rom

"KOTA ini tidak dibina sehari”. Itulah sebahagian daripada kata-kata yang akan sampai ke telinga anda jika melawat Rom, kota yang terletak di tengah Semenanjung Itali. Ungkapan itu menggambarkan dengan tepat kehebatan kota tinggalan Empayar Roman sebagai gedung seni bina terunggul yang pernah dibangunkan oleh tamadun manusia.

Bangsa Rom cukup dikenali kerana kepakaran mereka di dalam seni pembinaan, bahkan sebahagian daripada apa yang kita kenali sekarang sebagai stadium, teater dan pasar raya adalah warisan dari sentuhan mereka.

Pada masa kini, warisan berusia lebih daripada 2,500 tahun yang terselamat daripada Perang Dunia Kedua itu masih terpelihara dengan baik. Tarikan pelancongan yang ada menjadikan Rom antara tiga destinasi paling popular dikunjungi di Eropah.

Namun untuk menyelongkar kesemua tarikan di kota itu mungkin memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Untuk perjalanan yang lebih menjimatkan, kunjungan ke istana, gereja, dataran air pancut atau bazar membeli-belah perlu dilakukan dengan betul. 

Untuk menyelongkar kota terbesar dan paling padat di Itali itu, pelancong boleh melakukannya dengan berjalan kaki. Bukan sahaja lebih murah malah peluang menghayati seni dan budaya Greco-Roman itu juga menjanjikan pengalaman yang cukup romantik.
Tarikan paling popular yang menunggu pelancong di bandar ibu kota itu adalah Colosseum. Teater bulat itu pernah menjadi pentas hiburan dan medan pertarungan antara pahlawan-pahlawan gladiator dan haiwan buas.

Colosseum yang juga dikenali sebagai Flavian Amphitheater itu dibina oleh Maharaja Vespasian sekitar tahun 72 Masihi dan disiapkan sepenuhnya lapan tahun kemudian, setahun selepas kematian Vespasian. Struktur setinggi kira-kira 200 meter itu menawarkan lebih daripada 80 pintu masuk yang boleh dilalui pelawat untuk menyelami kehebatan stadium terawal ciptaan manusia. Colosseum yang mampu memuatkan kira-kira 50,000 penonton merupakan pusat persembahan yang digunakan oleh pemerintah Roman untuk menghiburkan rakyat dan meraih populariti.

Selepas menikmati salah satu daripada keajaiban dunia itu, pelawat boleh bersiar ke beberapa lagi tinggalan yang terletak pada jarak kurang daripada satu kilometer. Antaranya Gerbang Constantine, Bukit Palatine, Forum dan litar perlumbaan Circus Maximus. Berdiri setinggi 138 meter dengan kubah besar berdiameter 42 meter adalah Gereja St. Peter yang merupakan gereja Katolik terbesar di dunia. Gereja St. Peter Basilica dibina oleh maharaja Rom beragama Kristian yang pertama iaitu Maharaja Constantine di atas Bukit Vatican.

 
Ia juga dianggap sebagai permata di antara seni bina Rom. Hiasan dalaman gereja ini turut dihiasi dengan hasil seni artis-artis tersohor seperti Michelangelo, Bernini dan Canova.
Sebahagian daripada gereja ini juga boleh dikunjungi secara percuma dengan syarat pelawat mematuhi arahan pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata. Di bahagian kubah, pelawat boleh menyaksikan pemandangan Dataran St. Peter serta beberapa lokasi berhampiran seperti Muzium Vatican, Istana Sant‘Angelo dan Campo dei Fiori.

Masih ingin berjalan untuk menerokai kawasan di sekitar Piazza? Sebuah monumen batu marmar putih setinggi 135 meter adalah antara tarikan lain yang berbaloi dilawati.
Tugu Peringatan Victor Emmanuel II rekaan Giuseppe Sacconi berdiri sebagai memperingati raja Itali pertama yang menyatukan seluruh rakyat negara itu.


Di Piazza di Trevi, kunjungan pelawat disambut kemeriahan kolam air pancut Trevi yang dianggap paling cantik di Itali. Peluang bagi pelancong bersantai dan merehatkan diri sambil menikmati kesegaran kopi Itali. Mitos menceritakan pelawat yang ingin mendapat tuah perlu membuat balingan syiling ke dalam kolam dan realitinya kolam tersebut menerima kira-kira RM12,000 setiap hari.

Sekiranya kepenatan, perkhidmatan bas boleh didapati dengan mudah cuma keadaan mungkin sesak pada waktu-waktu tertentu. Pengangkutan teksi pula boleh dikatakan yang paling mahal di Rom tetapi adalah cara paling pantas dan praktikal bagi yang mementingkan masa. Masa yang semakin singkat di Rom boleh ‘dilanjutkan’ dengan kunjungan ke galeri-galeri muzium yang menyimpan khazanah budaya, hasil seni dan politik negara itu.

Muzium Capitoline adalah antara tempat pengumpulan sejarah terbesar di Rom yang terletak di Piazza del Campidoglio. Kompleks merangkumi tiga bahagian termasuk galeri bawah tanah.
Selain itu, beberapa lagi muzium yang boleh menjadi pilihan termasuk Muzium Vatican, Museo Borghese, Muzium Pasta dan Galeri Nasional Seni Moden. 
 
Kepuasan sebenar melawat Rom tidak akan tercapai sekiranya anda tidak melawat bazar Campo dei Fiori yang terletak di antara teater Pompey dan Sungai Tiber. Tapak perniagaan yang bermula sejak kurun ke-15 itu menawarkan pelbagai barangan untuk dijadikan cenderahati.

Cuma untuk memastikan perjalanan lancar, pelancong seharusnya mengenali serba sedikit adat orang Rom. Salah satu daripadanya adalah penutupan premis perniagaan dan restoran pada waktu tengah hari. Masyarakat Rom sejak sekian lama mempraktikkan amalan tidur seketika pada tengah hari.

Jun 27, 2011

Cerita di Toboh Pahu

BARU-BARU ini aku berpeluang ke Ranau, Sabah bersama kumpulan Raleigh Borneo dan Coca-Cola Malaysia untuk menyelami kehidupan masyarakat pedalaman di situ. Ini ceritanya....

Hujan yang mencurah pada petang itu tidak sedikitpun menjejaskan kegembiraan kira-kira 100 orang penduduk di pedalaman Sabah yang hadir untuk meraikan majlis penuh bersejarah di kampung mereka.

Tanpa kerusi dan meja yang mencukupi, majlis di bawah khemah berlantaikan tanah yang sudahpun becak ketika itu tetap meriah. Pada wajah mereka terpancar seribu kesyukuran. Perasmian Projek Air Bersih Untuk Komuniti yang disiapkan pada April lalu menandakan berakhirnya penantian penduduk di Kampung Toboh Pahu dekat Ranau untuk menikmati bekalan air bersih.

Hari tersebut menjadi hari pertama bagi suku kaum Dusun yang mendiami kawasan kaki Gunung Kinabalu itu melihat curahan air dari batang paip. Siapa sangka ketika kebanyakan kita sudah lama menikmati kemudahan asas itu, ada lagi sebilangan penduduk di negara ini yang masih bergantung kepada air tadahan hujan dan saliran air dari celah bukit.


Kanak-kanak sekolah di Toboh Pahu yang kini mendapat bekalan air bersih.
 

Perasmian yang cukup sederhana itu disambut dengan sorakan dan tepukan para tetamu.Majlis bersebelahan dengan perpustakaan desa itu kemudiannya dimeriahkan lagi dengan tarian Sumazau oleh murid-murid sekolah. Majlis disempurnakan oleh wakil Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun iaitu Pengerusi Rakan Pengguna Sabah (RPS), Datuk Amisah Yassin.

Amisah berkata, Kerajaan Negeri Sabah berterima kasih kepada Raleigh dan Coca-Cola Malaysia di atas sumbangan yang amat bererti kepada penduduk pedalaman di situ. Katanya bekalan air yang lebih bersih bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian bahkan dapat mengurangkan risiko penyakit akibat pencemaran air.

"Hari ini saya sendiri dapat merasakan kegembiraan di hati penduduk kampung," katanya sebelum merenjis para tetamu menggunakan air dari saluran paip yang disambung dari puncak bukit.


Amisah memutar kepala paip pada perasmian itu.
Berkongsi kegembiraan pada hari itu ialah 15 orang 'mat dan minah salleh' yang merupakan tulang belakang kejayaan projek bekalan air graviti di Toboh Pahu, kampung yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu. Kumpulan remaja berusia antara 17 hingga 25 tahun itu merupakan sukarelawan Raleigh Borneo yang bertungkus-lumus selama sembilan minggu menyiapkan projek yang ditaja bersama syarikat minuman Coca-Cola.

Selain Toboh Pahu, beberapa buah kampung seperti Solungkapit, Bompong dan Monguwou turut menikmati kemudahan daripada Projek Air Bersih Untuk Komuniti pada tahun ini. Terlebih dahulu menerima kemudahan yang sama adalah Kampung Himbaan, Kemborongoh, Linapasan, Mohimboyon, Pasu, Pitas, Randugung, Ratau, Rugading, Sosondoton, Tampasak, Tongou, Tudan dan Vunui Locos.

Sehingga kini, program yang dimulakan sejak 2006 itu telahpun membantu meringankan beban kira-kira 12,000 penduduk di lebih 16 buah kampung di Sabah. Sebelum menerima kemudahan air graviti, penduduk di Toboh Pahu dan pedalaman Ranau menggunakan kaedah tradisional iaitu membuat penyambungan buluh dari anak sungai. Selain itu, mereka juga bergantung kepada tadahan air hujan.


tangki air yang disalurkan kepada kira-kira 300 penduduk di Toboh Pahu.

Penulis yang tiba sebelum perasmian pada hari itu sempat merasai sebahagian daripada kesukaran hidup penduduk di kawasan tanah tinggi itu yang masih bergantung pada air bukit. Lokasinya yang terpencil di puncak bukit menyukarkan penyaliran air bersih melalui paip.
 


Sukarelawan Raleigh Borneo.
 Di Toboh Pahu, Projek Air Bersih Untuk Komuniti dikendalikan oleh dua Pengurus Projek iaitu Rob Collier dan Rory Batt. Menurut Rob, air dikumpul daripada sumber mata air yang ditakungkan menjadi empangan.
tiga minggu kemudian menyambung paip beberapa buah tangki disediakan untuk mendapatkan tekanan yang cukup ke setiap rumah. Kerja mereka setiap hari bermula pada pukul 8 pagi.

  "Perbezaan budaya tidak menghalang apa-apa antara kami, kerjasama lebih penting,''katanya yang baru sahaja menyertai program itu setahun lalu.

Rob berkata, pengalaman yang menarik adalah peluang bekerjasama dengan penduduk kampung semasa menyelesaikan masalah tekanan air sebelum sistem itu berfungsi sepenuhnya.

  "Kita juga terpaksa melalui pendakian ke puncak bukit yang licin dan semak. Masalah bagaimanapun dapat diatasi dengan bantuan penduduk kampung dan menggunakan sumber yang ada,'' katanya.



Jelasnya lagi, walaupun Raleigh boleh melakukan projek itu dengan tenaga profesional tetapi cara yang dilakukan itu adalah untuk menjalinkan hubungan sesama penduduk yang lebih akrab.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Mohamed Kadri Mohamed Taib berkata, pada tahun ini syarikatnya memperuntukkan sebanyak RM148,700 sebagai dana dua tahun projek Air Bersih Kepada Komuniti menjadikan jumlah terkumpul RM386,000.

"Air merupakan kunci perniagaan Coca-Cola , menyedari kepentingan kebersihan sumber air kepada manusia"

Air adalah asas kepada syarikat kami, pada 2020 kita berharap untuk 'memberi semula' jumlah sama air yang telah kami gunakan untuk menghasilkan produk melalui projek seperti itu. Usaha itu katanya bukan hanya memberi kemudahan dalam setiap kehidupan bahkan akan membantu mengurangkan separuh jumlah mereka yang tidak mendapat bekalan air bersih di negara ini.

Pengarah Raleigh Borneo, Mark Mc Carthy berkata, 160 sukarelawan (Venturer) dibahagikan kepada projek bakti komuniti dan alam semula jadi di Maliau Basin dan Sepilok. .

Penglibatan Raleigh dalam penyediaan keperluan paling asas itu - mendidik penduduk kampung untuk mengendalikan sistem itu sebaik-baiknya. Kita juga berharap untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia turut serta di dalam program anjuran Raleigh pada masa akan datang.

Majlis pada petang itu diakhiri dengan nyanyian lagu 'Sayang Kinabalu' yang dinyanyikan oleh dua gadis mat salleh. Kenangan yang pasti tidak akan dilupakan penduduk di Toboh Pahu. 

Melancong ke Tokyo

SELAIN menjadi satu daripada lima bandar terbesar di dunia, Tokyo juga dikenali sebagai destinasi paling selamat dikunjungi. Namun melancong ke kota yang didiami oleh lebih 35 juta penduduk itu tetap mempunyai cabarannya tersendiri.

Berdiri di tengah-tengah ibu negara Jepun itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan kita kebingungan dengan apa yang ada di sekeliling. Sama ada pilihan destinasi, barangan ataupun jenis-jenis perkhidmatan, melancong di hutan konkrit itu boleh mengelirukan.

Untuk memahami realiti di metropolitan itu kita perlu berfikir dan bergerak selari dengan kemajuannya. Keadaan lebih sukar kerana Tokyo tidak mempunyai bandar berpusat sebaliknya membangun sekata di lebih 20 kawasan komersial seluas lebih 2,000 kilometer persegi.

Bagi kunjungan kali pertama, peta bandar menjadi satu kemestian untuk merancang perjalanan. Untuk informasi lebih terkini, majalah berbahasa Inggeris seperti Metropolis dan TimeOut Tokyo mungkin boleh membantu anda.

Meskipun bahasa asing tidak banyak dituturkan di Jepun, namun pengembaraan di tengah Pulau Honshu itu tidak serumit yang anda fikirkan. Kebanyakan lokasi pelancongan kini dilengkapi papan-papan tanda berbahasa Inggeris.

Istana Imperial Tokyo

Salah satu daripada tarikan terbesar di bandar ini adalah Istana Imperial Tokyo iaitu kediaman Maharaja Jepun yang juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran kerajaan. Kompleks istana seluas 7.5 kilometer persegi itu terletak di kawasan Chiyoda berhampiran dengan Stesen Tokyo.

Taman sebelah timur atau Kokyo Higashi Gyoen merupakan sebahagian daripada perkarangan istana yang dibuka untuk lawatan. Seperti kebanyakan singgahsana maharaja Jepun yang lain, Istana Imperial Tokyo juga dikelilingi landskap taman yang dihias cantik dengan susunan bonsai, tasik dan jambatan melengkung.
 
Menara Tokyo
Berdiri megah di kawasan rekreasi Shiba Park di Minato-ku pula adalah Menara Tokyo, struktur paling tinggi di negara matahari terbit itu. Menara besi berwarna jingga setinggi 332.6 meter yang menyerupai reka bentuk Menara Eiffel di Paris, Perancis itu merupakan salah satu daripada simbol tersohor di Tokyo sejak pembinaannya pada 1958.

Sejak dibuka kepada pelancong, menara gelombang radio ini telah menerima kira-kira 150 juta pelawat dari seluruh dunia. Pelawat boleh menikmati keindahan panorama metropolitan dari menara tinjau yang terletak pada ketinggian 150 meter.

Selain Menara Tokyo, pelancong juga pasti terpukau dengan kehebatan binaan pencakar langit terbaru yang bakal menjadi menara tertinggi di dunia iaitu Tokyo Sky Tree di Sumida.
Menara yang dijangka siap pada 2012 dengan ketinggian 634 meter itu nanti akan menjadi struktur buatan manusia kedua tertinggi di dunia selepas Burj al-Khalifa di Dubai.
 
Tokyo Dome City
Bagi yang melancong bersama keluarga, persinggahan ke Tokyo Dome City di Bunkyo menawarkan percutian yang penuh dengan keriangan. Tarikan utama adalah permainan roller coaster Thunder Dolphin yang memecut laju melalui rel berpusar dan menembusi dinding bangunan. Gelongsor berteknologi tinggi itu juga menyajikan pemandangan kota Tokyo secara 'terbalik' yang penuh dengan debaran.

Tokyo Dome City turut menempatkan Hotel Dome setinggi 43 tingkat yang terletak tidak jauh dari stesen subway berhampiran iaitu Suidobashi. Taman tema ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan restoran beraneka selera. Bagaimanapun kunjungan ke taman tema itu mungkin agak singkat untuk lawatan satu hari.
 
Syurga beli-belah
Tokyo sebagai salah satu daripada tunggak terpenting ekonomi Jepun menawarkan 'syurga' bagi yang gemar berbelanja. Tiga kawasan utama untuk membeli-belah utama adalah Ginza, Shibuya dan Shinjuku.
Bagi yang ingin berfesyen, kawasan Ginza yang dipenuhi gudang membeli-belah paling berprestij di Tokyo menawarkan segala-galanya. Galeri jenama mewah seperti Gucci, Prada dan Burberry antara yang paling menarik untuk dikunjungi.

Namun sekiranya harga yang ditawarkan terlalu tinggi bagi poket anda, 'window shopping' sahaja mungkin memadai atau beralih ke gedung yang menawarkan harga lebih berpatutan. Untuk suasana yang lebih meriah, kunjungan ke Ginza pada hujung minggu mungkin keputusan yang baik kerana pada waktu itu jalan-jalan di sekitarnya ditutup kepada lalu lintas, menjadikan laluan penuh glamor itu sesak dengan pejalan kaki.

Selain Ginza, terdapat beberapa lokasi membeli-belah yang dibahagikan mengikut jualan komoditi tertentu. Shinjuku dan Akihabara misalnya cukup terkenal dengan jualan peralatan elektronik.
 
Taman Kebangsaan Shinjuku-Gyoen
Penat dengan hiruk-pikuk di gedung? Sebuah taman yang terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari Stesen Kereta api Shinjuku menyediakan peluang untuk merehatkan minda. Taman yang menggabungkan seni laman tradisional Jepun itu juga merupakan taman botani yang dipenuhi ribuan tumbuhan herba dari Eropah dan China. Taman Kebangsaan Shinjuku-Gyoen seluas 58.7 hektar yang digubah mengikut tema berbeza mempamerkan sekurang-kurangnya seribu spesies pada setiap tahun.